
LAMA aktres dan hos, Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar atau Dynas, 26, menyepi dari dunia hiburan sejak dia kehilangan bayi pertamanya pada April lalu.
Bayi yang berada dalam kandungannya pada ketika itu sudah mencecah usia tujuh bulan. Bagaimanapun, kerana tuhan lebih menyayangi dan maha mengetahui, bayi hasil rumah tangga yang dibina bersama Mohd. Hafizy itu 'disimpan' tuhan.
Waktu itu namanya dijulang sebagai pemenang Anugerah Bintang Popular Berita Harian (APBPH) untuk kategori Pelakon TV Wanita Popular, tetapi satu kebahagiaan lain diambil tuhan.
Dia reda. Sebagai manusia, siapa dia untuk menghalang sesuatu hal itu berlaku. Di sebalik sifat pasrah, Dynas muhasabah diri. Dia tahu bahawa rezeki baru pasti muncul buatnya lagi.
Nyata, rezeki untuk diberi kesempatan mengandung hadir lagi. Tidak jauh tempoh kedukaan yang diberi tuhan, lalu dua bulan selepas 'kosong', dia kini kembali mengandung buat kali kedua.
"Ya, saya hamil lagi. Sekarang kandungan saya sudah masuk lima bulan," akuinya teruja.
Buat sesetengah pihak, berita ini mengejutkan kerana tragedi yang dialaminya tahun lalu dijangka memberi impak yang besar dalam hidupnya.
Namun beritahu pelakon ini: "Saya tidak ada apa-apa trauma dari kejadian yang lepas. Memang pedih untuk terima hakikat tentang kematian arwah, tetapi ia tidak sesukar yang digembar-gemburkan kerana saya sentiasa berfikiran positif. Bagaimanapun untuk kehamilan kali ini, saya lebih berhati-hati."
Cantik Dynas tersenyum, menampakkan dua pipinya yang semakin gebu kala ini. Benar, sebagai seorang wanita mengandung, Dynas tampak cukup berseri.
"Entahlah. Semasa hamil kali pertama, saya bersolek ringkas pun orang kata cantik. Tetapi kali ini, saya pakai mekap lebih tebal orang kata saya tak pakai mekap pula.
Pakai baju ketat
"Yang pasti kehamilan kali ini sedikit komplikasinya berbanding kehamilan pertama. Tak ada alahan. Makan pun senang. Pendek kata kali ini saya lebih menikmati kehamilan," ujarnya ketika ditemui di butik yang diusahakan bersama hos dan aktor Awal Ashaari, iaitu DnA Celebrity Style di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur.
Jika arwah anak sulungnya diberikan nama Emma Melissa, untuk anak keduanya, ujar Dynas: "Nantilah dulu. Sehingga sekarang kami belum tahu jantinanya. Kami juga tak mahu terlalu terburu-buru. Itu salah satu pantang larang yang saya fikir perlu dituruti."
Mengakui kontra dirinya yang amat tradisional apabila berbicara tentang amalan berpantang, Dynas yang dikenali sebagai seorang yang moden bagaimanapun berkongsi rasa kesalnya atas tohmahan beberapa pihak yang mendakwa anak sulungnya meninggal dunia kerana dia tidak menjaga pantang larang ketika hamil.

"Saya marah dengan kenyataan beberapa individu yang menuduh saya tidak berpantang dan itulah yang menjadi punca anak pertama saya itu meninggal dunia. Hakikatnya, saya sangat kuat berpantang. Kebanyakan nasihat amalan berpantang yang diberikan daripada keluarga, teman-teman dan peminat saya amalkan.
"Tidak kiralah jika ia amalan orang Cina, India atau bangsa apa sekalipun. Kalau saya tak tahu tentang amalan itu semua, memang saya tak akan berpantang. Tetapi disebabkan saya tahu, saya seboleh-bolehnya berpantang," tegasnya.
Namun, Dynas tidak pula membuta tuli menuruti setiap nasihat.
"Ada juga pantang yang saya tak boleh terima. Contohnya pantang tidak boleh berpakaian ketat ketika hamil. Kalau tidak boleh, kenapa kedai pakaian ibu mengandung ada menjualnya?"
"Saya ada mencuba beberapa baju ketat yang diperbuat daripada material lycra yang dijual. Saya dapati baju-baju itu membantu dari segi memberi sokongan untuk menampung berat dan postur badan," luahnya yang banyak mendapat 'senarai' berpantang seperti itu melalui e-mel.
Kerap melayari Internet, Dynas menggunakan peluang itu untuk berhubung dengan teman-teman dan peminat melalui blog peribadi dan laman sosial, Facebook. Pada masa yang sama, Dynas mempromosikan pakaian yang dijual di butik DnA.
Rancak berbicara tentang perkembangan perniagaannya itu, Dynas mendedahkan ia sangat memberangsangkan dan bakal dikembangkan menjelang awal tahun depan. Menurutnya, dia dan Awal merancang untuk membuka satu lagi butik di aras bawah bangunan yang sama dengan memasarkan pakaian yang berkonsep sedikit berbeza berbanding sekarang.
"Ia akan berlaku pada Januari tahun depan. Pada masa yang sama saya dan suami juga akan berpindah rumah. Walaupun pada waktu itu saya sudah sarat mengandung, saya tidak nampak masalahnya kerana di butik ada Awal, di rumah pula ada suami saya untuk menguruskan kerja-kerja memindah barang," ungkapnya dalam ketawa.
Malah, drama bersiri komedi Di Bawah Ketiak Isteri musim kedua yang dibintanginya juga bakal bersiaran pada sekitar waktu yang sama.
Menolak untuk seksi
Menambah kesibukannya pada tahun depan, Dynas juga dijangka berkolaborasi dengan ibunya untuk menjayakan satu lagi label perniagaan berasaskan fesyen.

"Emak saya sebenarnya lebih kiasu ( pakar) tentang fesyen. Kalau dia ada bersama, mustahil saya dibiarkan keluar rumah tanpa mekap dan berpakaian kemas. Saya pun dihantar ke kelas grooming sejak umur saya 14 tahun lagi. Apa yang saya tahu tentang fesyen semunya hasil didikan emak.
"Untuk label ini, kami akan mempelbagaikan rangkaian pakaian ke tahap yang lebih tinggi. Mungkin kami akan memfokus kepada pakaian couture pula. Kalau ada rezeki kami akan cuba menembusi pasaran antarabangsa melalui MATRADE (Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia)," dedahnya dengan menjelaskan kedua-dua ibu dan bapanya sememangnya sudah lama bergiat dalam dunia perniagaan.
Tatkala menyentuh isu fesyen, pemilik nama Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar yang merupakan duta jenama kecantikan, Safi ini pantas mendirikan tembok pembelaan.
"Orang kata saya seksi. Sedangkan sekarang saya sudah tidak pakai baju tanpa lengan sejak saya berhenti menjadi model. Skirt mini atau seluar pendek pun saya hanya pakai jika dipadankan dengan legging. Jangan haraplah nak tengok saya pakai spagetthi strap.
"Mungkin dulu saya akan pakai apa saja kerana itu permintaan kerja peragaan. Tetapi sekarang saya sudah mula menjaga pakaian saya. Bukan hanya kerana saya sudah menjadi isteri orang atau kerana saya membawa jenama set penjagaan kulit, Safi, tetapi ia memang keputusan saya sendiri," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: