Monday, December 14, 2009

Dengarnya...: Selebriti panjang tangan tidak serik


BEBERAPA minggu lalu, Cik Normah ada menulis mengenai seorang selebriti yang dikatakan hebat dalam bab mengambil pakaian berjenama secara percuma daripada acara jualan istimewa. Kisahnya agak popular juga di kalangan orang media, penggiat fesyen dan artis. Kiranya, kes dia ni sudah boleh masuk dalam kedudukan Top 10!

Beberapa hari lalu, seorang teman baik Cik Normah yang turut menggemari pakaian dan aksesori jenama mahal menyampaikan sebuah lagi cerita hangat mengenai selebriti tangan panjang ini.

Kononnya, kisah berlaku ketika selebriti wanita yang kerap juga muncul di media massa ini menghadiri sebuah lagi acara jualan oleh jenama terkemuka. Kali ini, dia dikatakan cuba menyeludup keluar beberapa barangan menggunakan kotak kasut pula.

Dengarnya, dia memasukkan pelbagai barangan kecil seperti tali pinggang dan sebagainya ke dalam sebuah kotak kasut. Selepas kotak berkenaan agak sendat terisi dengan pelbagai barangan, dia pun beratur bersama pelanggan lain untuk membayar ‘kasut’ yang dibeli.

Sampai saja di kaunter bayaran, pembantu di meja itu pun bertanyalah, apakah dia mendapat saiz kasut yang sesuai? Maklumlah, kotak itu elok saja tertutup. Si selebriti ini pun mengakulah yang saiznya OK. Malangnya, apabila pembantu tadi membuka kotak berkenaan, banyak lagi benda lain yang turut dimuatkan di dalamnya.

Pembantu itu pun bertanyalah kepada selebriti itu, bagaimana pula dengan barangan lain yang turut termuat dalam kotak itu? Dia pun menjawab, kononnya dia memasukkan barang berkenaan untuk memudahkan dia membawanya ke kaunter.

Bagaimanapun, apabila pembantu tadi bertanya apakah dia ingin membeli kesemua barangan itu, si selebriti hanya memilih barang yang kecil saja dan membiarkan selebihnya.

Memang nampak sangat dia sedaya upaya cuba untuk melakukannya sekali lagi, cuma kali ini dengan menggunakan kotak kasut, bukan lagi jaket seperti sebelum ini.

Menyedari niat tak berapa baiknya itu serta rekod buruk yang sudah dicatat sebelum ini, Cik Normah dengar cerita, nama selebriti ini kini disenarai hitam oleh jenama terkenal daripada menghadiri acara jualan mereka. Selepas ini, nampaknya terpaksa menjayakan misi tak sihat itu di kedai yang tak berapa mahal pula.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: