![]() |
Farawahida berkongsi pengalaman berlakon dalam teater Sinbad: Batu Pertama Dewa yang akan dipentaskan di Auditorium DBKL mulai malam ini.
SEPANJANG usianya yang kini sudah menjangkau 24 tahun, inilah kali pertama perasaan cinta mula menerobos ke setiap inci badannya apabila dengan satu renungan saja jiwanya bagaikan berbunga-bunga.
Perasaan berdebar-debar sehingga setiap sendi lututnya menggeletar adalah tanda jiwanya sedang kacau seolah-olah tidak percaya apa yang sedang berlaku. Itulah pengalaman pertama penyanyi yang popular menerusi lagu Tanpamu, Farawahida apabila direnung jejaka tampan.
Sejak dilanda badai kontroversi bersama pengurusnya, ramai yang beranggapan Fara semakin kurang bergiat aktif di dalam industri nyanyian, namun dia menyangkal dakwaan itu.
“Fara masih menerima tawaran nyanyian seperti dulu dan bukan itu saja teater bangsawan ini membuktikan perjalanan seni Fara masih aktif dan alhamdulillah ia membuka cabang baru dalam dunia seni Fara. Fara menerima tawaran berlakon ini daripada pengarahnya Rosnan Nordin yang juga pegawai di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menerusi Facebook.
![]() |
“Fara mula mengenali dia sebelum ini apabila banyak mendapat tawaran membuat persembahan bersama JKKN di seluruh negara. Tawaran itu pada mulanya membuatkan Fara berbelah bagi kerana sebelum ini Fara pernah ditawar berlakon drama tetapi Fara tolak kerana belum bersedia.
“Selepas memikirkan beberapa minggu, akhirnya Fara membuat keputusan untuk menerimanya selepas memikirkan bidang seni ini bukan hanya tertumpu pada skop nyanyian saja,” katanya.
Bercerita mengenai teater, Fara akui yang dia agak kekok untuk berhadapan dengan lelaki untuk menjayakan adegan romantik.
“Terus terang Fara tidak pernah mengalami situasi seperti itu dan teater bangsawan inilah yang menjadi pengalaman pertama Fara direnung seorang lelaki. Memang Fara berdebar pada mulanya kerana biasalah ini kali pertama Fara berlakon dan kebetulan pula Fara terpaksa melakukan adegan romantik.
“Semasa menjalani latihan pertama dengan Aris, Fara terlalu gemuruh kerana kami harus merenung mata masing-masing, ditambah pula adegan dia mencium tangan Fara membuatkan Fara menggigil lutut. Namun selepas menjalani latihan hampir satu bulan ini akhirnya Fara dapat mengikut rentak yang diinginkan pengarah.
“Barulah Fara tahu sebenarnya bukan senang untuk menjadi seorang pelakon yang dapat menjiwai watak dengan baik. Jika dulu kita hanya menyanyi dan menghayati lirik saja.
“Fara sebenarnya seorang yang happy go lucky dan cepat tergelak sekiranya ada orang buat lawak. Tetapi apabila diminta membawa watak yang serius dan romantik ini menjadi cabaran buat Fara,” katanya yang sangat malu kerana ramai pelakon yang memerhatikannya dan kerap kali tergelak kalau ada yang membuat lawak. Namun lama kelamaan perasaan malu itu semakin hilang dengan bantuan dan sokongan pelakon lain.
“Memang benar hubungan kekeluargaan antara pelakon dan kru sangat rapat membuatkan kita cepat mesra dengan semua,” katanya yang turut melapangkan masa mengikuti Bengkel Pemantapan Bangsawan yang diseliakan pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Samad Salleh.
Jumpa kekasih di kedai mamak
MEMBABITKAN diri di dalam dunia lakonan teater mungkin menjadi fasa baru buat penyanyi yang berasal dari Taiping, Perak ini. Namun selepas hampir setahun tidak lagi bersama pihak pengurusannya Millenium Art Sdn Bhd, Fara akui ia juga menjadi fasa baru buatnya.
“Fara mengaku sudah mempunyai teman istimewa sejak dulu lagi namun Fara tidak suka menghebahkan kepada sesiapa, maklumlah masa itu Fara ‘terikat’. Kami mengenali antara satu sama lain sudah lama sebenarnya sejak kami di bangku sekolah lagi, namun sejak dua hingga tiga tahun ini hubungan kami semakin rapat.
“Memang ramai yang tidak mengetahui perhubungan kami kerana jarang bertemu dan keluar bersama. Sesekali pun kami keluar hanya pada waktu tengah malam saja iaitu selepas 12 tengah malam. Mak akan menemani saya setiap kali kami keluar minum dan kami hanya memilih kedai mamak sebagai tempat pertemuan kami.
“Jika tidak keluar sekalipun kami sering juga berhubung melalui telefon. Sebenarnya Fara mempunyai satu telefon rahsia khas untuk kami berhubung, namun telefon itu mak Fara yang pegang. Bila telefon itu berada di dalam beg mak Fara sudah tentu tidak seorang pun yang berani untuk membukanya.
“Fara sudah kenal lama dengannya, cuma Fara tidak mahu terlalu berangan tinggi dengan perkara ini. Untuk mengharapkan pergi jauh, ia bukan atas kuasa kita, malah Fara juga seorang yang suka berkawan dengan sesiapa pun yang berbuat baik dengan kita.
“Setiap orang pasti mempunyai perancangan untuk membina hari bahagia, begitu juga dengan kami, namun itu semuanya soal jodoh jika ditakdirkan kami bersama Insya-Allah saya merancang sebelum saya mencapai usia 30 tahun saya akan berkahwin,” katanya.
SINOPSIS:
Teater Bangsawan Sinbad mengisahkan Kerajaan Syarib, di mana Ratu Sheeba lakonan Syafinaz Selamat mencuri Batu Permata Dewa milik Puteri Jasmin. Batu Permata Dewa mempunyai kuasa sakti menukarkan manusia kepada bentuk haiwan dan batu ini menjadi pewaris kepada Kerajaan Syarib dan dijaga Puteri Jasmin.
Tiada seorang pun pahlawan dapat melawan Ratu Sheeba lalu Raja Syarib memerintah Sinbad selaku tawanan istana untuk mendapatkan Batu Permata Dewa. Sinbad diberi tempoh untuk mendapatkan batu sakti itu ataupun setiap isi tawanan Kelasi Sinbad akan dibunuh. Sinbad meletakkan syarat Puteri Jasmin turut serta dalam pelayaran itu.
Ratu Sheeba menghalang pelayaran Sinbad manakala Sinbad pula tertipu dengan muslihat sihir Ratu Sheeba dan ditawan. Kelasi - Abdul dan Puteri Jasmin disihir menjadi haiwan. Dayang istana yang bersama Sinbad memperdayakan pembantu Ratu Sheeba iaitu Mumbra, Kumbra dan Yaman serta mendapatkan kembali Batu Permata Dewa dan berlakulah pertarungan antara Sinbad dan Ratu Sheeba. Ratu Sheeba tewas dan Batu Permata Dewa Berjaya dipulangkan kepada Kerajaan Syarib.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: