
TIGA figura bernama Khadijah Ibrahim, Ramli Sarip dan Jay Jay ini sememangnya ikon yang tiada gantinya. Konsert An Evening With Datuk Khadijah Ibrahim Featuring Ramli Sarip di Convention Hall, Persada Johor, Johor Bahru malam Jumaat lalu membuktikan ketiga-tiga anak seni ini berada di kelas yang tersendiri.
Ternyata, kehebatan vokal dan persembahan hebat yang masih memukau berjaya mengumpulkan lebih 1,100 penonton termasuk yang datang dari Singapura semata-mata untuk menyaksikan persembahan artis pujaan mereka.
Konsert anjuran bersama Persada Johor International Convention Centre dan Puteri Pacific Johor Bahru ini diiringi oleh sekumpulan ahli muzik yang diketuai pengarah muzik terkenal, Acis.
Jay Jay pembuka tirai
Bekas vokalis kumpulan Carefree yang dikenali dengan imej bertopi ini membuka tirai persembahan konsert malam itu pada pukul 9 malam.
Meskipun ketika itu hidangan makan malam mula dihidangkan, namun kelunakan suara Jay Jay membuatkan penonton seakan-akan melupakan keenakan hidangan yang disediakan.
Antara lagu yang dinyanyikan Jay Jay termasuklah Joget Angan Tak Sudah, Rindu Bayangan, Belaian Jiwa, Permaisuriku dan Kita Insan Biasa.
Vokal Khaty tiada tandingan
Momentum yang dimulakan oleh Jay Jay pada awal persembahan diteruskan lagi dengan kemunculan Khadijah atau lebih mesra dengan panggilan Khaty sekitar pukul 9 malam.
Tampil jelita dengan gaun malam berwarna hitam, Khaty mengubat rindu peminatnya di selatan Semenanjung Malaysia terhadap kemerduan suaranya dengan mendendangkan lagu Ayah, Ku Sangka Siang, Kiranya Malam dan Mc Arthur's Park.
"Terima kasih kepada anda semua kerana sentiasa menyokong sepanjang 30 tahun karier seni saya,'' kata adik kepada pelakon Sophia Ibrahim dan penyanyi Latiff Ibrahim itu.
Peminat seterusnya dibuai dengan alunan lagu secara medley antaranya Mama Oh Mama, Kau Timbul Kembali, Janji Mu, Aku, Dia dan Malam, Tangisan Hati Yang Derita, Terbang Pulang dan Halimunan.
Lagu-lagu lain yang turut didendangkan termasuklah Every Day Girl, Ku Gembira Di Samping Mu, Memories, Godaan Ku dan Terbang Pulang.
Khaty turut menceritakan kisah suka duka menjalani kehidupan sebagai anak seni selain mengatakan setiap lagu yang didendangkan mempunyai ceriteranya yang tersendiri.
Tidak mahu membiarkan peminat bersendirian, Khaty turut turun pentas untuk berbual, bersalaman, bergambar sambil menyanyi bersama penonton.
Sebagai penutup persembahan, Khaty menyanyikan lagu Ku Pendam Sebuah Duka secara duet bersama anak kesayangan, Siti Hajar Aishah yang juga menjadi penyanyi latar pada konsert itu.
Ramli curi tumpuan
Kelibat Ramli atau dikenali sebagai Papa Rock ternyata berjaya mencuri tumpuan penonton malam itu. Suara serak basah Ramli berjaya membuai jiwa penonton dengan lagu-lagu Istilah Bercinta, Jikalau Bercinta dan Camelia.
Malah peminat yang teruja dengan kemunculan Ramli turut menyerbu ke depan pentas untuk mengambil gambar, bersalaman dan menikmati kelunakan suara Ramli dengan lebih dekat lagi.
Ramli dan Khaty kemudiannya bergandingan menyampaikan lagu duet popular mereka iaitu Ku Miliki Bayanganmu dan Doa Buat Kekasih.
Konsert malam itu mencipta sejarah tersendiri apabila ketiga-tiga mereka menyampaikan lagu Hidup Senandung Berbudi bersama- sama.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: