
SEORANG wanita ditimpa malang lewat bulan lalu apabila dia diserang dengan sebuah objek keras ketika sedang berjalan kaki menuju ke sebuah tokong di Seri Kembangan, Selangor. Mangsa, Kuan Choy Peng, 52, yang ketika itu sedang asyik mengatur langkah tiba-tiba berasa amat sakit di kepala dan beg tangannya disambar orang.
"Sebaik menoleh ke belakang, saya terkejut apabila mendapati seorang lelaki telah menyerang saya dengan tukul besi dan dia telah melarikan beg tangan saya," cerita Choy Peng yang cuba mengejar untuk mendapatkan semula beg tangannya yang diragut.
Namun, dia terus membatalkan hasratnya setelah melihat pandangan bengis seorang lagi rakan peragut yang menunggu di atas motosikal.
Walaupun Choy Peng terselamat dan hanya menerima beberapa jahitan pada luka di kepala, adiknya, Kuan Chee Heng, 47, begitu kesal dengan kecelakaan itu, lebih-lebih lagi ia berlaku pada siang hari.
"Saya yakin, sekiranya aktiviti rondaan dan kawalan bersekutu daripada penduduk setempat dipergiat di kawasan-kawasan perumahan atau kejiranan kejadian buruk dapat dielakkan," katanya yang berpegang kepada teori Fixing Broken Windows, satu teori pencegahan sebelum menjadi parah.
Teori pencegahan
Menurut Chee Heng teori itu diperkenalkan oleh seorang penulis, James Q. Wilson and George L. Kelling. Ia menggambarkan situasi di mana sekiranya sebuah tingkap rumah atau bangunan pecah di sebuah kawasan perumahan, ia harus dibaiki dengan secepat mungkin.

Jika tindakan tidak diambil dalam masa yang singkat, wujud kecenderungan untuk berlaku gejala-gejala lebih buruk seperti pecah rumah selain mengundang masalah vandalisme. Selain itu, sikap tidak endah dalam kalangan penduduk setempat juga memberi ruang kepada berlakunya kejadian yang tidak diingini.
Bertitik tolak daripada itu jugalah Chee Heng mengasaskan Community Policing atau Kepolisan Komuniti (CP) di Puchong, Selangor.
Ditubuhkan pada Oktober 2008, CP merupakan sebuah organisasi bukan kerajaan yang bekerjasama dengan pihak polis dalam mencegah jenayah di sesebuah kawasan kejiranan. Ahli-ahli CP terdiri daripada pemimpin penduduk, pegawai polis yang telah bersara, komuniti awam, kakitangan profesional dan sesiapa sahaja yang berminat untuk hidup dalam persekitaran rukun dan damai.
Meski konsepnya menyerupai badan-badan komuniti yang membantu menjaga keamanan kawasan setempat yang lain, CP bekerjasama secara langsung dengan pihak polis dan melakukan mesyuarat berkala dengan pihak polis.
"Penduduk setempat harus bersikap sensitif dengan sebarang perubahan yang berlaku di sekeliling agar insiden kecil dapat diselesaikan dengan cepat.
"Kalau upah pengawal berbangsa asing pun, mereka tidak memiliki semangat kejiranan dan keprihatinan yang tinggi. Lagipun, pengawal asing kerap bertukar," keluh Chee Heng.
'Mata' dan 'telinga'
CP sebenarnya diwujudkan sejajar dengan Pelan Strategik Lima Tahun yang merupakan inisiatif Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan. Berasaskan kepada kepentingan menjalinkan hubungan rapat dengan masyarakat, CP bertindak sebagai 'mata dan telinga' di antara rakyat dengan pihak polis, majlis perbandaran, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan lain-lain badan yang berkenaan.
Setakat ini, CP di bawah kelolaan Chee Heng mengawasi hampir 27 taman di kawasan Puchong, misalnya Puchong Utama, Bukit Puchong, Puchong Indah, Puchong Intan, Puchong Perdana, Puchong Permai, Bandar Puteri, Pusat Bandar Puchong, Puchong Hartamas, Saujana Puchong dan banyak lagi.
Objektif utamanya ialah mengenal pasti lokasi lazim jenayah, mengenal pasti trend jenayah di sesuatu kawasan dan mengesan aktiviti-aktiviti yang mencurigakan sebelum dilapor kepada pihak polis.
"Biasanya maklumat dan hasil perbincangan akan disampaikan kepada penduduk menerusi saluran-saluran tertentu umpamanya menerusi bengkel awam, pengedaran risalah atau poster dan pemberitahuan dari mulut ke mulut," ujar Chee Heng yang kerap berurusan dengan ahli-ahli CP yang lain.
Semenjak laman sesawang CP dilancarkan pada awal tahun ini, ia menerima sambutan yang memberangsangkan. Setakat ini, sudah 4,000 orang berdaftar dari pelbagai latar belakang, peringkat umur dan tempat. Laman http://cops.org.my juga mendapat aduan dan cadangan daripada semua pihak termasuk polis yang ingin memartabatkan imej badan beruniform tersebut.
Perbincangan umum
Chee Heng dan rakan-rakan CP mengadakan perjumpaan sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu di samping menghadiri sesi perbincangan umum di Balai Polis Bukit Puchong. Dari situ, mereka berdiskusi mengenai perkembangan terbaru kes-kes jenayah dan sosial serta usaha yang patut diambil.

"Selain isu jenayah, CP juga membantu menempatkan semula orang kurang siuman atau warga emas di dalam dan luar kawasan Puchong, membuat derma kepada pesakit kronik dan menjaga rumah semasa penghuni balik kampung," ujar Chee Heng yang menambah CP kini beroperasi di Facebook di bawah nama Community Policing.
Sementara itu, apabila ditanya sejauh manakah CP berjaya menurunkan kadar jenayah di kawasan pengendaliannya, Chee Heng mengakui secara jujur bahawa ia bukan semudah itu untuk diukur. Ini kerana pendekatan itu memakan masa dan merangkumi satu pelan tindakan yang berterusan.
"Berbalik juga kepada teori pencegahan Fixing Broken Window tadi, kalau pangsapuri yang kita duduk sentiasa kotor dengan sampah sarap, penghuni di situ pun rasa jijik dan tidak selesa. Keadaan itu juga mengundang sesetengah orang untuk lebih mengotorinya.
"Sama juga dengan usaha CP, kita harus sentiasa berwaspada dan perlu cepat membersihkan 'sampah' dari semasa ke semasa supaya kita dapat terus hidup di sini dengan aman dan sejahtera," ujarnya.
Di kesempatan itu juga, Chee Heng menyatakan harapannya untuk mendapat bantuan kewangan daripada kerajaan memandangkan CP beroperasi atas duit poket sendiri.
Sementara itu, salah seorang ahli CP yang banyak menyumbang tenaga untuk badan itu, Mohammad Azman Rianullah, 51 dari Kampung Tengah Batu 13, Puchong memberitahu tempat perumahannya memang terkenal sebagai kawasan hitam dan lazimnya didalangi oleh warga asing.
Bagaimanapun, dalam tempoh masa setahun bergiat aktif dalam CP, dia dan penduduk setempat berjaya menangkap sejumlah penjenayah tegar. Terkini, Azman dan rakan-rakannya memerangkap dua pencuri yang bersiap sedia untuk memecah sebuah rumah. Dengan bantuan polis peronda, kedua-dua pencuri itu diserahkan ke Balai Polis Putra Heights.
"Kita tangkap mereka semasa membuat rondaan pada waktu malam dari pukul 12.30 pagi hingga 5 pagi. Biasanya kita meronda dalam kumpulan seramai 12 orang di mana kita berpecah ke beberapa simpang masuk ke kawasan perumahan," sebutnya yang pernah menerima sijil penghargaan daripada pasukan polis.
Dua orang lagi rakannya di CP, Wong Voon Sun, 44 dan Wahab Sulaiman, 51, turut bersetuju dengan keberkesanan CP dalam mencari kaedah penyelesaian praktikal bagi masalah jenayah dan sosial. Dalam erti kata lain, mereka tidak mengambil pendekatan tunggu dan lihat atau bergantung sebulat-bulatnya kepada pihak berkuasa.
"Di kawasan tempat tinggal saya iaitu di Permata 1, Puchong Permai, kami golongan lelaki dewasa mengambil sikap bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan awam pada setiap malam."
"Secara bergilir-gilir kita meronda dan mengawasi sebarang tindak-tanduk yang meragukan," jelas Wahab yang merupakan seorang pegawai kerajaan selaku ketua penduduk di kawasannya.
Trauma
Pembabitan Voon Sun dalam CP pula adalah kerana beliau pernah menjadi mangsa kecurian di premis kedainya pada tahun 2004. Mengingati detik-detik cemas yang dilalui bersama isteri, katanya mereka diserbu sebaik membuka kedai makanan seawal 5.25 pagi.
"Trauma diugut dengan pistol dan parang telah meninggalkan ingatan ngeri di minda isteri saya. Selepas kejadian itu, kami terus tutup kedai dan berniaga dari rumah," cerita Voon Sun.
Pada masa yang sama, bagi mengurangkan kegiatan lumba haram, cadangan CP untuk membina beberapa bonggol di jalan-jalan perumahan diterima baik. Pihak polis juga mempergiatkan sekatan jalan raya secara berkala.

Siti Hafidzah Sheikh Ismail, 38, seorang penduduk di Puchong Utama melahirkan kesyukuran atas keikhlasan CP. Dia berharap supaya aktiviti-aktiviti keselamatan ini dapat dijalankan secara berterusan.
"Sekarang bila saya balik ke kampung di Johor, saya boleh melelapkan mata dengan fikiran yang tenang. Tidak lagi merisaukan benda yang bukan-bukan."
Begitupun, memandangkan masih ramai yang tidak menyedari kewujudan keahlian CP, Siti mengesyorkan agar menggandakan lagi aktiviti promosi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: