![]() ASHMIL mengumpul 30 replika kapal terbang Penerbangan Malaysia (MAS). |
'Skuad pengintip' berhabis wang, tenaga jejak kapal terbang idaman
HOBI mengumpul replika dan model kapal terbang sememangnya biasa dan sejak jentera udara itu wujud, pelbagai rupa replika pesawat itu dijadikan koleksi peribadi.
Namun, hobi yang biasa itu sudah pasti menjadi ‘luar biasa’ atau pelik apabila ada sesetengah peminat fanatik pesawat ini yang ternyata bukan sekadar mengumpul replika bahkan sanggup meredah panahan matahari selain basah kuyup berhujan demi merakam foto pesawat sebenar berkenaan.
Dengan bersenjatakan kelengkapan seperti kamera selain kenderaan mantap jika perlu bergerak dari satu lapangan terbang ke lapangan terbang lain, kumpulan ini tidak ubah seperti pemburu yang tidak kenal erti penat lelah. Kegilaan ini menyebabkan mereka sering disalah anggap ‘pengintip’ oleh petugas membuat rondaan.
Hakikatnya, bukan semua pesawat, sebaliknya kapal terbang tertentu saja yang diburu untuk diambil gambarnya bagi mendapatkan maklumat seperti nombor pendaftaran, iklan menghias badannya. Jika bertuah, ia mampu melakar sejarah peribadi apabila berjaya merakamkan model kapal terbang yang baru pertama kali singgah atau jarang dilihat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Pelik bukan? Mungkin ya bagi kita, tetapi aktiviti sudah lazim bagi pengikut forum Malaysianwings.net. Bagi mereka, inilah hobi yang menjanjikan kepuasan serta keseronokan tersendiri.
![]() |
Salah seorang peminat, Mohamad Nassir Shamsudin, berkata KLIA sekian lama menjadi lokasi rasmi ‘penjejak’ kapal terbang ini dan pintu masuk lain seperti Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, Selangor, diserbu sesekali apabila diberitakan ada pesawat model baru bakal mendarat.
“KLIA diketahui sebagai lokasi tumpuan. Konsepnya sama macam orang gila memancing yang tahu letak lubuk ikannya. Di sini dulu ada dua tiga tempat dikenal pasti lokasi terbaik merakam gambar namun kerana kekangan pihak berkuasa, tinggal satu lokasi diserbu penjejak ini iaitu di atas bukit menghadap landasan,” katanya.
Menurut Nassir, keahlian Malaysianwings kini mencecah 1,500 orang sejak ditubuhkan kira-kira empat tahun lalu tetapi hanya 30 orang yang benar-benar aktif sebagai penjejak. Masa dan tempat pertemuan tidak pernah ditetapkan sebaliknya bergantung kepada objektif, kecenderungan dan kemahuan mereka.
Bagi Ashmil Abdul Ghani, beliau sanggup berada di kawasan yang dianggap lokasi strategik seawal jam tujuh pagi dan pulang sejurus matahari terbenam. Disebabkan kerap mengikuti aktiviti ini, Ashmil sudah boleh mengagak jadual perjalanan turun dan naik kapal terbang baik destinasi tempatan mahupun luar negara.
![]() |
| SIMULATOR berharga berbelas ribu mengambil inspirasi suasana kokpit sebenar. |
“Kebanyakan kapal terbang berlepas pada awal pagi manakala pada petangnya pula, majoriti pesawat melakukan pendaratan. Selepas jam empat petang, terminal kita dibanjiri pesawat luar. Menerusi pengamatan saya, menjelang jam 6.30 petang, kebanyakan pesawat yang turun mengambil penumpang adalah Thai Airways dan Lufthansa, ” katanya yang gemar mengikuti kapal terbang berlepas dan mendarat di kawasan tanah tinggi bertentangan KLIA.
Selain kawasan berbukit itu, tiga lokasi dikenal-pasti strategik adalah ladang kelapa sawit berhampiran, selekoh kapal terbang membelok sebelum berlepas dan mendarat di samping menara tinjau terletak di dalam kawasan lapangan terbang itu sendiri.
Ashmil yang mengumpul 30 replika kapal terbang Penerbangan Malaysia (MAS), bagaimanapun kurang gemar mengambil gambar di menara tinjau yang disifatkan tidak mencabar selain gambarnya kaku serta kurang ‘menyengat’.
“Tidak seperti lokasi lain, merakam gambar di menara tinjau lebih selamat kerana terlepas risiko diusir serta diberi amaran. Tetapi, saya tidak seronok mengambil gambar kapal terbang statik. Bagi saya, tempat ini hanya sesuai untuk mereka yang baru hendak mencuba-cuba menjadi penjejak kapal terbang.
“Tahun lalu, saya bertuah dapat merakamkan Iranian SP Air 747 bersaiz kecil. Sebelum itu, pada penghujung 2007, buat pertama kalinya saya menyaksikan pesawat A380 Singapura yang melakukan ujian penerbangan di KLIA. Saya masih menunggu peluang merakamkan Royal Brunei bagi melengkapkan portfolio,” katanya.
Bagi Mohammad Ibrahim Rahmat, hobi yang dilakukannya ini memberi kenikmatan dan keseronokan luar biasa. Malah, dia tidak teragak-agak mengambil cuti sekiranya mendapat tahu pesawat yang dinantikan selama ini bakal mendarat di lapangan terbang selalu dikunjungi.
“Selain berpandukan jadual penerbangan di laman web rasmi, saya gemar merayau-rayau kawasan sekitar landasan mencuba nasib kalau-kalau ada pesawat tidak pernah dilihat mendarat. Minggu lalu misalnya, tanpa disangka-sangka pesawat Brunei 747 singgah di Subang. Mujur saya sentiasa bersedia dengan kamera, dapatlah saya mengambil gambarnya,” katanya yang turut mencari rujukan alternatif jadual penerbangan di blog peribadi.
'Bina simulator di rumah'
AHMAD Aiman Mohd Razali, 23, bukan sekadar mengumpul replika bahkan membina simulasi pandu pesawat di penjuru bilik tidurnya. Tidak sedikitpun dianggapnya sebagai pembaziran meskipun sudah membelanjakan kira-kira RM12,000 untuk hobi berkenaan.
“Wang dilaburkan dikira amat berpatutan berbanding mengambil lesen dan menyertai kelas penerbangan yang menelan belanja puluhan ribu ringgit. Dengan nilai serendah ini, saya berpeluang merasai pengalaman serta debaran juruterbang mengemudikan pesawatnya,” katanya yang baru tamat pengajian di peringkat diploma.
Hakikatnya, kata Aiman, nilai simulasi dipengaruhi jenis perisian digunakan selain berharga berlipat kali ganda kerana semua pembelian dilakukan dalam mata wang euro.
“Di negara ini, bukan tidak ada perisian simulasi namun yang dijual membabitkan pengenalan awal menerbangkan pesawat. Jadi, kalau inginkan program mencabar, misalnya, berlatar belakangkan lapangan terbang antarabangsa, berkomunikasi dengan menara kawalan asing selain berpeluang memandu pesawat canggih, maka harus bersedia melabur wang mendapatkan simulasi dari Eropah dan Singapura,” katanya yang mendakwa simulasi dibina hampir lima peratus menyerupai termasuk dilengkapi skrin monitor, meter penunjuk arah serta kelajuan, kelengkapan komunikasi, peralatan memandu dan sebagainya.
Sama seperti prosedur biasa mengemudi pesawat, Aiman tidak terkecuali terikat dengan langkah serta syarat wajib dipatuhi seorang juruterbang.
Misalnya, sebelum berlepas, setiap juruterbang diisyaratkan memeriksa dan menguji keberkesanan kelengkapan terlebih dulu. Dan, apabila ingin mendarat, menara kawalan perlu dihubungi bagi mendapatkan kebenaran mendarat.
Menariknya, tempoh masa penerbangan olok-olok ini juga mengikut perjalanan waktu kapal terbang sebenar sampai ke destinasi. Bahkan, supaya lebih menguji kemahiran dan kepintaran menangani risiko, diwujudkan juga halangan-halangan tertentu seperti cuaca buruk, kadar kelajuan dengan keupayaan minyak, keadaan berawan tebal dan sebagainya.
“Lama perjalanan sama seperti tempoh masa diambil sesebuah pesawat untuk sampai ke destinasi dituju. Misalnya, penerbangan Kuala Lumpur ke Kuching mengambil masa dua jam, maka dua jam jugalah kami mengendalikan simulasi itu. Penerbangan selama 16 jam pula membabitkan Kuala Lumpur menuju Eropah seperti Jerman, Perancis dan sebagainya.
“Untuk ke destinasi ini, saya lebih suka melakukan penerbangan malam kerana pesawat akan ‘mencecah landasan’ keesokan pagi. Sementara ke detik itu, saya boleh buat macam-macam perkara seperti menonton televisyen, berborak dengan kawan-kawan dan macam-macam lagi,” katanya yang selalu dileteri orang tua gara-gara bil elektrik melambung.
Bagaimanapun, perkara itu tidak pernah merencatkan minat Aiman sebaliknya tambah teruja meneroka perisian berkenaan yang menawarkan pengalaman bagai dunia benar.
“Saya seronok menjadi juruterbang alam maya. Selain selamat dan tidak perlukan insurans beribu, saya seronok mengalami pengalaman dilambung awan, mengendalikan penerbangan di altitud berbukit, menangani masalah koordinat, minyak dan sebagainya. Bahagian paling menguja dan mendebarkan pastinya ketika mendarat,” katanya yang berazam melengkapkan lagi simulasi agar benar-benar menyamai keadaan kokpit sebenar.



No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: