Monday, December 14, 2009

Bilionair pilihan utama jadi Presiden


PINERA menunjukkan kertas undi di sebuah pusat pengundian di Santiago.


SANTIAGO – Bilionair Sebastian Pinera yang memiliki kekayaan berjumlah AS$1.2 (RM4.08 bilion) menjadi pilihan utama mengatasi pencabarnya berdasarkan tinjauan keputusan awal pilihan raya Presiden di Chile semalam tetapi gagal mengelakkan daripada menyertai pusingan kedua pilihan raya.

Keadaan itu berlaku berikutan Pinera, 60, dijangka gagal memperoleh kemenangan majoriti sekali gus menamatkan pemerintahan dua dekad parti berhaluan kiri Chile sejak tamatnya pemerintahan diktator, Augusto Pinochet pada 1990.

Sebelum ini, beberapa tinjauan menunjukkan Pinera akan mengatasi pencabar terdekatnya iaitu bekas presiden, Eduardo Frei (gambar kecil) dengan kelebihan lebih 10 mata dalam pilihan raya presiden pertama di Chile sejak kematian Pinochet tiga tahun lalu.




Namun, keputusan awal itu menunjukkan Pinera perlu bertanding dalam pusingan kedua pilihan raya itu yang dijadualkan berlangsung pada 17 Januari depan.

Sebelum ini, Pinera yang merupakan seorang ahli politik berhaluan kanan, berikrar untuk mewujudkan dasar fiskal yang mampu membawa Chile menjadi pengeluar tembaga terbesar di dunia selain mengekalkan kestabilan serantau.

Sokongan kepada beliau meningkat ekoran orang ramai menganggap kerajaan sekarang yang berhaluan kiri gagal mengagihkan kekayaan negara hasil eksport tembaga yang mencecah berbilion-bilion dolar secara adil demi meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Saya mengundi Pinera kerana selepas 20 tahun, saya tidak lagi mempercayai kerajaan yang ada sekarang,” kata seorang pereka perisian komputer, Karla Espinoza, 33.

Chile kini diperintah oleh Parti Concertacion.

Pinera, 60, menjadi kaya kerana memperkenalkan kad kredit dan memiliki 25 peratus saham syarikat penerbangan LAN.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: