Wednesday, December 23, 2009

Biarlah tak popular




Walaupun nama Faezah Elai kurang dikenali, tawaran berlakon sentiasa ada

TEMPOH tiga tahun bergelumang dalam kerjaya lakonan, sudah cukup memberi pengajaran kepada Faezah Elai bahawa ia bukanlah bidang yang boleh dibuat 'main-main'.

Menceburi bidang ini bermakna dia perlu sentiasa beringat pada setiap masa. Bagi pelakon yang diperkenalkan menerusi filem Otai kira-kira dua tahun lalu, dirinya perlu cepat matang apabila penampilannya di layar perak atau di kaca TV mendapat kritikan daripada media.

Menerusi cara itu, Faezah yang kini berusia 27 tahun sudah dapat menyesuaikan diri dengan dunia artis, satu dunia yang bukan semuanya indah. Publisiti memanglah amat perlu bagi setiap artis atau selebriti untuk mengembangkan kerjaya yang diceburi, tetapi mestilah kena dengan caranya. Memang gosip hangat dan kontroversi pula menaik nama seseorang artis.

Namun, bukan itu cara Faezah untuk meraih publisiti dan populariti. Seboleh-bolehnya, dia mahu mengelakkan diri daripada publisiti merepek yang kadang-kadang boleh memakan diri.

“Sebab itulah saya tak pernah berasa popular sangat. Tak apalah kurang popular, asalkan nama saya bersih daripada sebarang cerita yang boleh membuatkan orang tidak suka, meluat dengan saya,” katanya dalam satu temu bual dengan HiP. .



Sepanjang pembabitannya dalam lakonan, Faezah sudah terbabit dalam 10 drama dan telefilem. Antaranya ialah drama bersiri Hartamas dan La Dolce Amira.

“Gaya hidup saya mungkin agak membosankan. Mana tidaknya, selepas habis sesuatu penggambaran drama, saya lebih senang melepak di rumah. Kalau ada masa terluang, selalunya habiskan masa dengan keluarga di kampung di Gelugor, Pulau Pinang,

“Saya gembira dengan cara ini. Bebas daripada dikaitkan dengan cerita kontroversi. Saya sentiasa cuba elakkan daripada cerita sensasi yang bukan-bukan.

“Baru-baru ini tersebar cerita saya berpakaian seksi. Memang betullah, tapi gambar itu dirakamkan untuk satu kempen sebuah produk di luar negara. Itu gambar pada tahun 2005, ketika saya masih bekerja sebagai pramugari. Saya rasa cerita itu sudah basi tetapi sengaja di sensasikan kerana saya ini sudah bergelar artis,” kata Faezah lagi.

Faezah berkata, selepas berjaya menempatkan dirinya dalam bidang lakonan, dia kini sedang mencuba bakat untuk menjadi pengacara TV atau majlis. Walaupun mendapat pujian kerana pernah mengacara majlis dengan baik, dia berasakan belum masanya untuk menjadikan bidang baru itu sebagai kerja sepenuh masa pula.

Sasarkan tiga tahun lagi

BERCAKAP mengenai kerjaya lakonan, Faezah berkata, dia mensasarkan tiga tahun sebagai tempoh untuk mencapai sesuatu yang boleh dibanggakan dalam bidang yang diceburinya.

“Saya sentiasa bersyukur apabila ada saja tawaran berlakon. Ada antaranya terpaksa ditolak kerana jadualnya yang bertindih. Saya masih ada tiga tahun lagi untuk terus membuktikan apa yang tercabar untuk diri sendiri.

“Saya teringin sebenarnya dan ternanti-nantikan watak sebagai orang cacat. Dapat watak perempuan kampung pun saya tak pernah dapat. Kalau ada peluang, mahu juga saya mencubanya,” katanya sambil mengakui pada masa dia berharap dapat bertemu jodoh sebelum atau pada usia 30 tahun.

“Dengan usia saya sekarang elok juga kalau saya kata memang tiba masanya untuk menamatkan zaman bujang,” katanya pendek.

Ditanya mengenai sejauh mana dia akan bertahan dalam dunia seni, Faezah yang terlebih dulu menceburi bidang peragaan sejak 2003 memberitahu bahawa, dia mengakui tidak akan selamanya bergelar pelakon.

“Apabila tiba masa yang sesuai, saya akan melupakan atau mengurangkan aktiviti dalam bidang ini. Hidup ini ada kalanya memerlukan pengorbanan. Contohnya, peragawati terkemuka Tyra Banks pun memilih untuk bersara ketika namanya meniti populariti yang memuncak. Namun dalam pada itu, Tyra bijak menjana wang dengan menerbitkan program bual bicara dan melahirkan model pelapis.

“Begitu juga dengan saya. Sampai nak bergelar artis. Mungkin dua atau tiga tahun lagi, saya tidak lagi menjadi pelakon. Saya juga mempunyai pilihan dan perancangan lain pada masa akan datang. Saya mula terfikir untuk membuka tadika kerana suka melayan kanak-kanak.

“Pengalaman sewaktu menjadi guru tadika sementara menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menguatkan hasrat untuk saya memiliki sebuah tadika. Barangkali naluri kecil saya ke arah golongan kecil ini antara yang terus mendorong minat saya berbuat demikian,” katanya yang memasang angan-angan untuk berlakon di sisi aktor Afdlin Shauki.

Diajukan dengan soalan peribadi, sambil berseloroh, Faezah berkata dia belum terfikir untuk mencari teman istimewa secara serius.

Saya jarang berkongsi hal peribadi. Kalau semua mahu dikongsi kepada khalayak, apa lagi yang tinggal untuk saya. Saya rasa tidak salah saya amalkan cara sebegitu. Saya juga perlukan ruang untuk bersendirian,” katanya.

Profil: Noor Faezah

  • Nama sebenar: Noor Faezah Elai
  • Tarikh lahir: 16 Ogos 1982
  • Asal: Pulau Pinang
  • Akademik: Diploma Rekaan Fesyen, Universiti Teknologi Mara (UiTM)
  • Kerjaya: Model, hos TV dan pelakon
  • Iklan komersial: Celcom, Radox, Varnish dan Olay
  • Drama/telefilem: Cinta & Keadilan, La Dolce Amira, Enigma, Sutera Maya, Pemanduku Jutawan dan Hartamas
  • Program TV: Mango TV, Inspirasi Comel, Gegar U dan Hypermarket Saga
  • Filem: Otai
  • Pencapaian: Best TV Look Elite Model Search 2006 (KL Fashion Week 2006) 50 Gorgeous People (Female Magazine).
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: