Thursday, December 24, 2009

Balas pengorbanan isteri



BIARPUN mereka sudah disatukan sebagai pasangan suami isteri, hakikatnya ada sebilangan masyarakat yang tertanya-tanya apa perlunya si suami, Zulkifli Majid atau Zul selalu berkepit dengan isterinya, Isma ke sana ke mari.

Bayangkan ada sahaja kelibat Zul di sisi Isma tatkala isterinya mengadakan persembahan mahupun menjayakan sesi fotografi, seolah-olah mereka tidak mampu berpisah walaupun sekejap.

Tidak dinafikan, ada yang gemar melihat keintiman Zul dan Isma. Tidak terkecuali, ada yang mula bosan dengan Zul yang seperti ingin menumpang populariti wanita berusia 30 tahun itu selepas mencipta kedudukan dalam dunia seni menerusi Akademi Fantasia 7 (AF7).

Tambahan pula pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 16 April 1998 turut menyertai program Sehati Berdansa musim ketiga, biarpun terkeluar minggu lalu, menguatkan lagi andaian bahawa Zul punya agenda untuk meraih semula glamor yang pernah dikecapi lebih sedekad lalu.

Sewaktu pasangan itu muncul di Studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini, pertanyaan sama terus diajukan kepada Zul tanpa berselindung demi mendapatkan kepastian daripada tuan badan.

Tenang sekali wajah Zul tatkala 'ditembak' dengan soalan yang menyentak hati itu. Enggan mengulas lebih lanjut, Zul sebaliknya mengisyaratkan lampu hijau kepada Isma atau nama lengkapnya Ismaliza Ismail untuk merungkaikan terlebih dahulu apa yang tersurat dan tersirat dalam lubuk jiwanya agar tidak lagi disalah erti.

"Zul sentiasa berada di sisi sebab dia membantu menguruskan karier seni saya yang baru hendak bermula. Saya sedar Zul juga tidak boleh berterusan jaga saya kerana dia bekerja dengan Suria Records Sdn. Bhd. (SRC) dan bergelar komposer.

"Selain berada di bawah kendalian Astro Entertainment Sdn. Bhd. (AESB), Zul kena selalu ada dengan saya sebagai tempat rujukan dan panduan kerana dia lebih berpengalaman dalam dunia seni.

"Saya sendiri tidak ada sebarang masalah kalau Zul terus jaga saya. Memanglah suatu hari nanti saya kena pandai-pandai bawa diri sendiri dalam dunia seni. Tetapi saya rasa lebih bagus kalau ada suami yang menemani ke mana-mana.

"Cuma Zul pernah cakap kepada saya apabila sudah sampai masanya saya bergerak sendiri, dia tidak akan mengikut lagi saya seperti awal-awal bergelar artis. Dia bagaimanapun sekadar pantau saya dari jauh," katanya bersungguh-sungguh sambil menerangkan hakikat sebenar.

Usai sahaja Isma menggulung kesimpulan, Zul mula menambah butir bicara isterinya. Zul memberitahu dia tidak lagi memerlukan kemasyhuran, jauh sekali mendampingi isterinya di laman seni semata-mata harapkan sanjungan semula.


TIDAK timbul soal siapa tumpang populariti siapa kerana yang penting bagi Zul dan Isma mereka perlu saling menyokong.

"Kalau hendak cakap tumpang glamor isteri, memang tidak benar sama sekali. Sudah puas rasanya saya melibatkan diri dengan industri nyanyian sejak tahun 1995 bersama kumpulan 2 By 2.

"Kemudian saya sertai SRC pada tahun 1999 dan pada waktu sama saya menggubah lagu. Cuma kalau dia jadi penyanyi, saya anggap ia sebagai bonus tambahan kerana Isma dapat kembangkan bakatnya dan pendapatan keluarga kami juga bertambah.

"Saya hanya bantu dia dari belakang saja. Tidak wujudlah istilah saya sengaja menempel dengan isteri sebab inginkan glamor," ujar Zul dalam nada serius.

Soal cemburu tidak timbul

Selepas menamatkan program AF7 beberapa bulan lalu, kehidupan Isma kini dilihat drastik berubah.

Tidak hanya menerajui status sebagai isteri dan ibu di rumah seperti sebelumnya, Isma sebaliknya kini menjadi individu yang dikenali ramai dan punya pemuja sendiri.

Lantaran itu, sebagai suami apakah Zul tidak pernah sesekali bimbang dengan isterinya yang memijakkan kaki di gelanggang seni yang cukup lengkap dengan pelbagai gosip dan kritikan?

Menjawab tentang atmosfera tersebut, penyanyi yang terkenal dengan lagu Kau Mawarku itu bagaimanapun tidak pernah khuatir dengan permainan dan asam-garam dunia hiburan yang dijalani oleh isteri kesayangannya.




"Soal cemburu atau bimbang tidak pernah timbul. Saya bagaimanapun kagum dengannya kerana sebelum berkahwin, dia sudah membuat album.

"Disebabkan ingin mendirikan rumah tangga dengan saya, dia sanggup lepaskan peluang untuk jadi artis sebab syarikat rakamannya enggan membenarkan dia ada sebarang komitmen kalau mahu album dia dilancarkan. Dia terus memilih untuk jadi suri rumah tangga sepenuh masa pada masa itu.

"Sekarang dia sudah bersedia sepenuhnya untuk jadi penyanyi walaupun rezekinya agak lewat. Lepas dia kahwin, saya tetap tidak halang dia daripada terus menyanyi. Dia banyak menerima undangan nyanyian untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan lain-lain.

"Sehinggalah AF6 membuka peluang kepada golongan ibu menyertainya namun, dia tidak boleh masuk dek tengah mengandung. Dia cuba nasib pada AF7 dan rezeki terus berpihak kepadanya.

"Waktu itu saya hanya cakap kepada dia kalau dapat, tangani dengan baik mulut-mulut nakal di luar sana tentang kemasukan ibu beranak lima melibatkan diri dengan AF7 maka itu saja sudah memadai kepada saya.

"Alhamdulillah, dia sahut cabaran saya dan terus kekal sehingga ke peringkat akhir AF7. Justeru, saya cukup kagum apabila lihat kegigihan dia yang bersungguh-sungguh untuk menunjukkan bakatnya dalam bidang nyanyian kepada khalayak.

"Saya juga berkata kepadanya walaupun suami sendiri kerja dengan syarikat rakaman namun saya akan biarkan dia belajar dari bawah," jelas Zul sambil mengerling manja ke arah isterinya.

Tampil dengan album duet

Walaupun punya rencana untuk tidak bergantung harap dengan suami sendiri dalam langkahnya ke persada seni, Isma tetap tidak mampu menolak untuk menyanyikan karya garapan Zul.

Lagu pertama dihasilkan Zul manakala liriknya digarap oleh Slen kepada itu Isma berjudul Bisikan... Godaan dilagukan pada peringkat akhir AF7. Selepas itu, Isma muncul dengan single kedua bersama AESB dengan mendendangkan lagu gubahan Zul dan liriknya ditulis oleh Zimi (Sofaz), Berbicara.

Terbaru, Isma berpadu suara dengan Zul menerusi lagu Andai Bisa yang sedang berkumandang di corong-corong radio tanah air.

Beritahu Zul, lagu yang mengambil masa selama dua bulan untuk disudahkan sepenuhnya itu merupakan karya berentak balada mengisahkan tentang kisah cinta mereka sebelum berakhir ke jenjang pelamin.


SUDAH lebih 11 tahun menyulam cinta, pasangan ini sudah dikurniakan lima cahaya mata.

"Lagu dengan tema cinta ini berkisar pasangan yang saling sayang-menyayangi namun ada sedikit sikap ego dalam diri salah seorang daripada mereka. Dari situlah idea untuk menghasilkan lagu ini bermula daripada awal percintaan sehingga berkahwin. Sebenarnya ada jugalah kena-mengena dengan cerita kami.

"Penghasilan lagu ini menjadi permulaan kami untuk muncul berdua. Kami mahu lihat reaksi daripada peminat terlebih dulu sebelum merancang pelbagai perkara.

"Kami ada menerima cadangan daripada orang di sekeliling yang mahukan kami buat album penuh. Tetapi kami sekadar memulakan dengan lagu Andai Bisa sebelum merancang untuk membuat album duet penuh," jelas Zul.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: