
PUCHONG - Lima warga Nigeria ditahan Jumaat lalu kerana dipercayai terlibat dalam satu kes penculikan wanita warga Filipina yang datang ke negara ini setelah terjerat kata-kata cinta melalui ruang sembang di Internet.
Wanita tersebut yang bekerja di sebuah kilang di Jepun difahamkan telah datang ke sini untuk bertemu dengan kekasih hatinya warga Nigeria yang dikenali melalui Internet.
Sebaik tiba di KLIA, wanita itu dijemput oleh kekasihnya dibawa tinggal di sebuah rumah di kawasan Sunway Mentari di Subang Jaya.
Malangnya, warga Nigeria yang berjaya memikat hatinya itu rupa-rupanya adalah penculik yang kemudiannya menghubungi kakak wanita itu di Jepun untuk meminta wang tebusan sebanyak 3 juta yen (RM113,799).
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, turut ditahan adalah dua wanita dan seorang lelaki tempatan yang bersekongkol dengan sindiket terbabit.
Katanya, penahanan itu dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat daripada seorang wanita Filipina yang bekerja di Jepun mengatakan adiknya berusia 44 tahun diculik sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) 12 Disember lalu.
"Adiknya yang merupakan pekerja kilang di Jepun telah datang ke sini untuk berjumpa suspek selepas berkenalan selama beberapa bulan melalui Internet.
"Sebaik tiba, dia kemudiannya telah dibawa menaiki kenderaan sebelum dibawa ke sebuah rumah di Mentari Court Subang Jaya dan diikat, dikurung serta didera," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pondok bit polis di Puchong Perdana di sini semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: