TAHUN ini konsert Rock The World (RTW) datang lagi. Dengan penganjuran masuk kali yang ke-9, RTW9 semakin besar dan terus membesar. Besar bukan sahaja daripada segi jumlah penonton.
Malah, bilangan kumpulan yang mengambil bahagian juga semakin bertambah ramai. RTW pernah mencatat 25,000 penonton sewaktu ia diadakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, beberapa tahun lalu.
Tahun ini jumlahnya dijangka akan lebih ramai lagi. Kali ini RTW juga bakal melakar satu lagi sejarah apabila lebih 60 kumpulan pemuzik tempatan akan menjayakan konsert itu.
Lebih 80 peratus daripada mereka merupakan kumpulan-kumpulan independent (indie) baru yang rata-rata mempunyai lagu-lagu dan album-album sendiri. Ini adalah suatu senario yang cukup positif dan membanggakan.
Sebabnya belum pernah ada festival muzik sebesar itu yang dianjurkan di negara ini, baik sejak zaman Allahyarham P. Ramlee sehinggalah kini.
Mereka ini secara tidak langsung cuba lari dari 'kepompong' pemikiran sempit yang terlalu banyak membelenggu dalam lingkaran industri muzik tanah air sekarang yang agak 'tepu'.
Macam sudah tidak boleh hendak beranjak ke mana-mana lagi. Asyik-asyik melodi yang sama, balik-balik juga muka komposer yang sama. Mana perginya bakat-bakat pemuzik kita yang lain?
Agak membanggakan juga apabila dengan persembahan yang bakal berlangsung selama hampir 10 jam tanpa henti itu, tiket yang dikenakan pula cuma RM25 sahaja. Terdapat tiga pentas bagi menampung pementasan puluhan kumpulan yang terbabit.
Antara kumpulan yang akan menjayakan konsert anjuran Fat Boys di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 26 Disember ini ialah Second Combat, Blind Tribe, Monoloque, Republic of Brickfields, John's Mistress, Brainhead, The Otherside Orchestra, Bleeding Mascara, Robot Asmara dan Y2K.
Menerusi konsert di atas, tiga pentas pada masa yang sama dan tanpa henti itu kita akan dengar dan tonton pelbagai gaya muzik serta persembahan daripada kumpulan-kumpulan terbabit.
Tidak dinafikan RTW dan kumpulan-kumpulan yang mendokong konsert itu seakan-akan memberi nafas baru dalam industri muzik di negara ini.
Dalam pada kita sibuk mengundang artis-artis luar termasuklah dari Indonesia, maka adalah lebih baik perhatian dan sokongan diberi kepada kalangan pemuzik yang akan mengadakan konsert itu kelak.
RTW seolah-olah membina identitinya yang tersendiri sama seperti festival-festival lain yang bertaburan dalam kalender dunia. Contohnya, di Sarawak yang terkenal dengan Rainforest World Music Festival sejak 10 tahun lalu.
Rugi rasanya kalau konsert sehebat RTW yang kini semakin membesar dan mengukuhkan jenamanya sendiri itu dibiarkan begitu sahaja. Diharap selepas ini akan ada lebih banyak penaja tampil memberi sokongan kepada konsert itu.
Inilah masanya mereka mengatur strategi bagi meluaskan lagi jenama produk masing-masing kerana konsert RTW sarat dengan elemen trendy termasuklah fesyen dan dunia muzik yang tanpa batas sempadan kreativiti.
Dalam hal ini, bukan setakat syarikat swasta, malah pihak kerajaan seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga boleh turut serta mendampingi golongan pemuzik yang terlibat.
Beri mereka ini semangat serta bantuan supaya konsert RTW menjadi salah satu ruang pemangkin bagi mengembangkan lagi daya kreativiti dan intelektual dalam cabang-cabang muzik yang mereka persembahkan.
Kalau sebelum ini KBS pernah terbabit dalam program Rakan Muda yang lebih menjurus kepada bidang sukan, maka apa salahnya sekali-sekala ia dihalakan pula kepada bidang muzik?
Justeru, RTW merupakan sebuah konsert atau wadah yang harus diberi perhatian bukan kerana atas faktor peluang perniagaan yang boleh dijana menerusi bidang muzik semata-mata.
Sebaliknya, ia juga boleh dijadikan salah satu aktiviti dalam mewarnai serta merancakkan lagi industri muzik di negara ini. Namun, kalau masih ada juga pihak-pihak yang belum 'buka mata' selepas lapan kali RTW dianjurkan, maka payahlah sikit...
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: