
KUALA LUMPUR - Polis menahan seramai 44 warga asing termasuk lapan wanita kerana tinggal melebihi masa di negara ini berikutan visa tamat tempoh dalam satu operasi cegah jenayah bersepadu di Mentari Court, Petaling Jaya di sini kelmarin.
Mereka yang berumur antara 20 dan 30 tahun itu ditahan dalam operasi selama empat jam 30 minit yang berakhir pada pukul 9.30 malam kelmarin membabitkan tiga blok daripada tujuh blok pangsapuri 15 tingkat itu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Supritendan Abd. Razak Elias berkata, kebanyakan daripada mereka adalah warga negara Nigeria yang juga pelajar Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan warga negara Indonesia yang bekerja kilang di kawasan berhampiran.
"Mereka tinggal di kawasan perumahan ini kerana rumah yang mereka diami itu dijadikan asrama oleh ejen pekerja dan pelajar asing di kawasan itu," kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.
Menurut beliau, mereka akan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk tindakan lanjut oleh pihak imigresen.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: