
NEGERI SEMBILAN belum lagi menjulang Piala Malaysia, tetapi mereka sudah mendapat durian runtuh.
Sejumlah RM100,000 sudah berada dalam genggaman pemain selepas kejayaan melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini.
Andai berjaya menjulang piala tersebut, pemain Negeri Sembilan boleh mengimpikan kemewahan selepas ini.
Semalam, skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan itu mendapat suntikan semangat apabila Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) memberikan insentif berbentuk wang tunai sebanyak RM100,000 pada satu majlis minum petang bersama jurulatih, pemain dan pegawai PBNS di Klana Resort, Seremban.
Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, insentif berkenaan adalah sebagai menghargai jasa pemain selepas berjaya melayakkan diri ke pentas akhir setelah menunjukkan aksi cemerlang sepanjang saingan Piala Malaysia musim ini.
"Saya berharap dengan insentif berkenaan ia dapat menyuntik semangat pemain untuk terus memberikan prestasi cemerlang dengan menjulang Piala Malaysia selepas memenanginya pada tahun 1948.
"Saya percaya pasukan ini mampu menjulang Piala Malaysia sekiranya pemain yakin dengan diri sendiri dan mengekalkan prestasi cemerlang.
"Negeri Sembilan merupakan sebuah pasukan yang serba lengkap di semua posisi," katanya.
Mohamad yang juga Menteri Besar, menambah, sekiranya skuad kendalian Wan Jamak itu berjaya menjulang piala paling berprestij itu, pemain bakal menerima insentif termasuk bonus.
Dalam pada itu, Mohamad, menyarankan penyokong-penyokong Negeri Sembilan agar memakai baju berwarna kuning kerana skuad kendalian Wan Jamak akan turun beraksi dengan jersi kuning pada perlawanan akhir itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: