![]() |
| ZAHNITA Wilson bersama anaknya, Zahrafeena Zackery yang mengagumi bakatnya sebakat model dalam dunia peragaan fesyen. |
ENAM tahun lalu, bidang lakonan tanah air pernah menampilkan Zahnita sebagai salah seorang pelakon remaja yang berjaya menarik perhatian ramai menerusi dua filem lakonannya berjudul Kuliah Cinta dan Gila-Gila Pengantin Remaja.
Walau bagaimanapun, selepas itu pelakon berusia 24 tahun ini seakan-akan menyepikan dirinya daripada dunia lakonan apatah lagi sejak mendirikan rumah tangga dengan Abdul Zackery Ghouse, 31, beberapa tahun lalu.
Zahnita atau nama penuhnya Zahnita Hussein Wilson menjelaskan, dia bukan sengaja menghilangkan diri daripada bidang lakonan, tetapi berehat seketika kerana belum mendapat tawaran watak yang sesuai untuk dilakonkannya.
"Ada banyak sebab mengapa saya sudah lama tidak berlakon dalam filem, antaranya kerana saya sering ditawarkan melakonkan watak yang hampir sama sahaja. Saya tidak mahu lagi melakonkan watak yang stereotaip seperti dulu.
"Ini kerana, selama ini saya selalu mendapat watak gadis remaja yang gedik atau suka menggoda lelaki atau teman lelaki wanita lain. Kalau boleh, saya mahu watak yang lebih lasak bagi menguji bakat sebenar saya sebagai pelakon.
"Selama ini, ramai peminat yang ingat saya seorang yang mengada-ngada sama seperti dalam filem-filem lakonan saya. Misalnya, dalam filem Kuliah Cinta ketika saya berlakon dengan Yusry KRU," katanya kepada Hits.
Ketika pertemuan itu, Zahnita ditemani anaknya, Zahrafeena Zackery, berusia dua tahun 10 bulan pada sidang akhbar berhubung isu mendapatkan hak francais rancangan Ford Models Supermodel of the World di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Satu-satunya pelakon
Rancangan yang difrancaiskan melalui Ford Models Inc. dari Amerika Syarikat (AS) itu diterbitan oleh Amber Creations Sdn. Bhd. milik model Amber Chia yang akan disiarkan menerusi stesen TV tempatan tidak lama lagi.
Program TV realiti yang dikenali sebagai Malaysia's Supermodel Search Presents Ford Supermodel of the Year itu menampilkan beliau sebagai satu-satunya pelakon yang bersaing dengan lebih 18 peserta lain.
Menurut anak kacukan New Zealand dan Melayu ini, sepanjang tidak terbabit dalam bidang lakonan dia lebih banyak menumpukan masanya terhadap bidang peragaan fesyen yang telah diceburinya sejak 14 tahun lalu.
Biarpun lebih sedekad dalam bidang peragaan fesyen, namun Zahnita masih belum puas di mana dia mahu mewakili negara bagi melebarkan lagi bakat dan namanya menerusi bidang itu hingga ke peringkat antarabangsa.
Sebab itu, tidak hairanlah ibu kepada seorang anak perempuan ini sanggup mengorbankan masa dan komitmennya dengan bertanding dalam program TV realiti Malaysia's Supermodel Search yang akan disiarkan tidak lama lagi.
"Pertandingan mencari model tempatan bagi mewakili negara di peringkat dunia itu merupakan saluran atau peluang saya untuk mencuba nasib mengembangkan nama serta bakat saya di peringkat dunia pada masa depan.
"Mana tahu kalau terpilih mewakili Malaysia pada pertandingan akhir yang akan diadakan pada 16 Januari tahun depan di Brazil, maka secara tidak langsung impian saya itu akan dapat dipenuhi sedikit demi sedikit," ujarnya.
Model peragaan fesyen, model iklan di kaca TV dan majalah ini berasakan sudah sampailah masanya beliau mengorak langkah dalam bidang yang cukup diminatinya itu selepas berjaya membariskan namanya sebagai model popular di negara ini.
Ke peringkat antarabangsa
Jelas Zahnita, menerusi bidang peragaan dia berharap bukan setakat mahu mengembangkan bakat serta namanya, tetapi turut berhasrat memperkenalkan lagi rekaan pereka tempatan hingga ke peringkat antarabangsa.
"Setakat ini saya pernah memperagakan pelbagai fesyen jenama antarabangsa seperti Fendi tetapi pada masa sama kalau boleh saya mahu mempopularkan lagi rekaan pereka tanah air seperti Tom Abang Saufi.
"Selain pereka tempatan, kita juga ada banyak elemen lain yang unik seperti pakaian berteraskan songket dan batik yang belum lagi diketengahkan secara meluas kepada para penggemar fesyen terutamanya di luar negara," katanya.
Sepanjang bergelar model, wanita tinggi lampai ini telah menimba banyak pengalaman di pentas-pentas peragaan di luar negara antaranya di New Zealand, Indonesia dan Thailand di mana ia masih belum memuaskan hatinya.
Sebaliknya, Zahnita berharap mahu mencipta lebih jauh namanya dalam dunia peragaan fesyen seperti di Milan, Itali dan New York, AS sekali gus membawa imej negara dalam bidang yang menjana pendapatan jutaan ringgit itu.
"Saya rasa tidak mustahil untuk mencapai impian itu biarpun sekarang ini saya sudah bersuami dan ada anak. Sebaliknya, mereka banyak memberi sokongan moral terhadap bidang peragaan fesyen yang amat saya minati ini.
"Terus terang saya katakan bahawa bidang peragaan fesyen adalah dunia saya di mana ia melebihi bidang lakonan dan yang lain-lainnya. Contohnya, selain berlakon sebelum ini saya juga pernah menjalankan perniagaan.
"Saya pernah membuka perniagaan makanan dengan nama Zahni Hut di Heritage Row, Jalan Sultan Ismail dan di Menara Eon, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur tetapi ia terpaksa ditutup sebelum bulan puasa lalu kerana sebab-sebab tertentu.
"Jadi, buat masa sekarang ini masa dan komitmen saya lebih menjurus bagaimana mahu melebarkan lagi nama dan bakat saya sebagai model peragaan fesyen di peringkat dunia. Sudah sampai masanya saya bergerak ke tahap lebih tinggi," impinya.
Tambah Zahnita lagi, bukan setakat dia sahaja yang begitu memberi tumpuan terhadap kerjaya sebagai model peragaan fesyen, malah anak perempuannya itu turut memperlihatkan minat yang sama dengannya.
Katanya, kecenderungan Zahrafeena itu dapat dilihat apabila anaknya itu sering mengikutinya sewaktu mengadakan peragaan-peragaan fesyen yang diadakannya sejak kebelakangan ini dengan memerhatikan segala gerak gerinya.
"Walaupun anak saya itu masih kecil tetapi dia seolah-olah tahu akan kerjaya ibunya. Sewaktu mengikuti saya mengadakan peragaan di atas pentas, Zharafeena selalu berada di tepi atau belakang pentas.
"Dia selalu berkata 'wow! mak nampak cantiklah'. Dengan adanya dia di samping saya, ia secara tidak langsung seperti memberi semangat kepada saya untuk lebih bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam bidang ini," ujarnya lagi.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: