
TIADA apa yang canggung buat Wings meskipun pertama kali mereka menggegarkan Hard Rock Cafe di Kuala Lumpur selama satu jam setengah tanpa henti malam Ahad lalu.
Sama seperti persembahan mereka di Planet Hollywood tahun lalu, Wings tetap mempunyai tarikan yang tersendiri apabila lokasi persembahan Hard Rock Cafe dipenuhi ratusan manusia yang memuja Wings.
Meskipun pada setiap persembahan mereka ada lagu yang diulang-ulang, itu bukan masalah buat peminat Wings yang datang dari seluruh negara termasuk Singapura untuk memenuhi segenap ruang kosong yang ada di kelab terkemuka itu.
Bagi anggota Wings, Awie (vokalis), Joe (gitar), Eddie (bass) dan Black (dram) setiap persembahan mereka sangat istimewa dan memberi kepuasan yang tidak terhingga.
"Setiap kali kami naik ke pentas apa yang ada dalam fikiran hanyalah peminat. Bila lihat peminat menyanyi sama dan enjoy dengan apa yang dipersembahkan itu sudah memadai buat kami.
"Kami menyanyi hari ini bukan kerana nak kutip jualan tiket tetapi demi peminat. Walaupun saban tahun kami buat persembahan bukan semuanya yang datang adalah peminat yang serupa. Sebab itu kita persembahkan juga lagu-lagu popular Wings untuk memuaskan hati semua peminat," ujar Awie.
Tambahnya, meskipun ada pihak yang mengatakan Wings asyik-asyik mengulang lagu yang sama hakikatnya mereka menghadapi kesukaran untuk memilih lagu setiap kali persembahan.
"Kami ada banyak album, banyak lagu popular dan ada lagu yang tidak pernah kami dendangkan kepada khalayak. Bila ada persembahan seperti ini, setiap daripada kami ada lagu kegemaran masing-masing dan cita rasa memang berbeza.
"Jadi mahu atau tidak kami terpaksa memilih lagu terbaik yang peminat inginkan sebab itu ada antara lagu popular kami persembahkan secara medley. Semua lagu medley itu kami pernah nyanyi penuh pada persembahan sebelum ini. Kalau tidak menyanyikan lagu-lagu itu nanti ada yang merungut pula," balas Joe.
Demi menghargai peminat, Wings turut mengambil kira pendapat daripada peminat setiap kali mengadakan persembahan.
Setiap lagu yang dipilih malam itu bukan sahaja ditentukan anggota Wings tetapi juga para peminat.
Terang Awie, kelab peminat Wings mempunyai ahli seramai 600 orang turut terlibat dalam pemilihan lagu selain permintaan yang datang daripada laman sosial Wings di Facebook.
"Kalau diikutkan terlalu banyak lagu yang diminta mereka, tetapi dengan cara itu kita tahu apa yang peminat inginkan jadi kita tidaklah syok sendiri.
"Walaupun menyanyikan lagu yang sama berulang-ulang seperti Sejati dan Bernafas Dalam Lumpur, peminat tidak bosan. Lebih baik nyanyi lagu yang peminat tahu dan suka kerana mereka boleh menyanyi bersama daripada mendendangkan lagu yang mereka tidak biasa dengar," kata Awie.
Ada benarnya pendapat Awie itu kerana Wings mendapat ratusan 'penyanyi' latar secara percuma malam itu apabila peminat ghairah menyanyikan lagu-lagu hit Wings.
Tidak perlu menjerit meminta peminat ikut menyanyi bersama, kadangkala suara Awie tenggelam dek suara peminat Wings yang bersungguh-sungguh menyanyi seolah-olah mahu menggantikan tempat Awie pula.
Sepanjang satu jam setengah peminat dihiburkan dengan 16 buah lagu antaranya, Puisi Merdeka, Jerangkap Samar, Rantai, Aku Pun Tahu, Opera Hidup, Ranggi Metropolis, Kau Bukan Brader, Jumpa Hilang, Taman Rashidah Utama, Bazooka Penaka, Bernafas Dalam Lumpur, Lipas Kudung dan Sejati.

Album baru Wings
Bercerita tentang perancangan terbaru Wings, hujung tahun ini mereka bakal merakamkan lagu untuk album terbaru selain sedang dalam perancangan untuk membikin konsert besar pertama mereka pada hujung tahun ini.
Namun, semua itu dilakukan selepas Awie menamatkan komitmennya bersama teater Cuci The Musical yang akan dipentaskan pada 23 Oktober depan.
"Selepas Awie habis dengan teater baru kami akan fokus pada pembikinan album. Bulan November kami akan berbincang dan menentukan mana lagu yang sesuai, pada Disember baru masuk studio.
"Kemungkinan besar album baru kami dijangka berada di pasaran sekitar bulan Januari atau Februari tahun depan," ujar Joe.
Walaupun pasaran album tidak semeriah dulu, itu tidak membataskan Wings untuk menghasilkan satu album penuh sekurang-kurang dengan 10 buah lagu.
"Kami pernah ditawarkan untuk merakam mini album dalam enam buah lagu tetapi rasanya konsep itu begitu tidak sesuai dengan nama Wings.
"Usia penglibatan kami dalam industri hiburan telah menjangkau 22 tahun. Sudah banyak yang kami harungi, kami bukan artis baru nak buat mini album. Kami tidak kisah jika album itu terjual atau tidak janji ia beri kepuasan pada kami dan peminat Wings," tutur Awie dalam nada yang agak serius.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: