![]() |
| SALAH satu babak dramatik pementasan teater muzikal Gamat. |
BERPELUANG menonton pementasan teater muzikal Gamat sewaktu malam pembukaan pada 3 Oktober lalu di Panggung Sari, Istana Budaya telah memberi satu gambaran yang cukup impresif dan menyakinkan.
Rasionalnya cukup mudah. Teater muzikal ini cukup menyakinkan penonton terutama sekali dari aspek solekan, kostum serta rekaan set yang berjaya menghidupkan suasana dasar laut itu sendiri.
Biarpun ia bukanlah sebuah pementasan yang boleh dianggap sebagai sebuah pementasan mega, namun kesungguhan mereka yang terlibat dalam pementasan ini cukup menyerlah.
Ia belum ditambah dengan kreativiti mereka yang terlibat di belakang tabir dalam menjadikan teater muzikal ini sebagai sebuah pementasan yang mampu meninggalkan kesan di hati penonton.
Permainan warna, muzik serta lampu juga memainkan peranan yang cukup penting dalam pementasan ini dan elemen itu telah berupaya menukar Panggung Sari menjadi dasar laut selari dengan konsep penceritaan Gamat.
Faktor-faktor ini merupakan umpan untuk memancing kanak-kanak untuk menonton teater muzikal ini selain memberikan kesan psikologi yang positif kepada mereka.
Menariknya juga, teater muzikal Gamat turut menampilkan beberapa buah lagu rakyat yang barang kali sudah dilupakan dan tidak diketahui khususnya kepada generasi muda hari ini.
Ternyata, ia sebuah langkah yang bijak untuk terus memartabatkan serta memperkasakan lagi lagu-lagu rakyat yang semakin hari semakin dipinggirkan.
Barisan pelakonnya juga berjaya menampilkan kecemerlangan lakonan yang membuat penonton merasai emosi setiap watak dalam menghadapi pelbagai situasi dan konflik menerusi jalan cerita teater ini.
Gelak tawa, humor, suspens serta aksi semuanya secukup rasa dan menjadikan muzikal Gamat lengkap segala rencah.
Sekalung tahniah dan pujian harus diberikan kepada Amy Mastura yang memegang watak sebagai ibu gamat dalam pementasan ini kerana lakonannya yang bersahaja itu telah menggamatkan Panggung Sari.
Lebih-lebih lagi, ketika menghampiri penghujung cerita Amy serta dua pelakon lain iaitu Zuhairi Ibrahim dan Nur Syahida Mohd. Marzuki berinteraksi dengan penonton yang telah memberikan satu kelainan.
Keterujaan di kalangan penonton juga terpancar jelas dan peluang itu diambil untuk bergambar bersama pelakon-pelakon tersebut.
Tidak cukup dengan itu, penglibatan kali pertama pelakon cilik, Muhammad Aidil Solehin Marhalim yang beraksi sebagai anak gamat bernama Mat juga cukup mencuit hati.
Lontaran vokal yang jelas serta bahasa tubuh yang menyakinkan dalam menghidupkan watak anak gamat cukup memberikan gambaran jelas bahawa Aidil mampu bergelar seorang pelakon yang disegani satu hari nanti.
Dalam aspek lain, jalan cerita muzikal ini hakikatnya cukup mudah untuk difahami dan berupaya untuk menghiburkan penonton khususnya kanak-kanak yang menjadi audiens sasaran untuk pementasan ini.
Namun, di sebalik kehebatan itu, Gamat juga tidak terlepas daripada cacat celanya. Harus diakui, kelemahan Gamat terletak kepada olahan dan perjalanan ceritanya yang dilihat agak meleret-leret.
Ia dapat dilihat dengan di awal pembukaan cerita yang sepatutnya boleh diperkemaskan lagi untuk menjadikannya lebih pantas dan padat.
Untuk sebuah pementasan teater muzikal kanak-kanak, durasi selama dua jam 15 minit dilihat sebagai tempoh yang cukup panjang kerana ia mampu membuatkan kanak-kanak khususnya hilang konsentrasi untuk menonton teater muzikal ini.
Bukan itu sahaja, konsep pengenalan untuk setiap kumpulan hidupan laut yang ditampilkan dalam pementasan ini juga rasanya boleh diringkaskan agar tidak menimbulkan rasa bosan kepada penonton.
Rasanya teater ini mampu menjadi lebih menarik lagi seandainya ada seorang pencerita ditampilkan untuk menggambarkan dengan lebih jelas lagi penceritaan Gamat.
Sewaktu mengemukakan permasalahan ini kepada pengarah dan penulis skrip Gamat, Zaifri Husin selepas pementasan berakhir, dia tidak menolak segala kelemahan yang terdapat dalam Gamat.
Jelasnya, dia dan pihak produksi cukup menyedari akan kesilapan tersebut dan memberitahu akan mengubah serta memperbaikinya dalam pementasan selepas ini.
"Jujurnya, sewaktu latihan semuanya berjalan dengan baik dan kemas serta mengikut apa yang dirancang.
"Mungkin bila para pelakon sudah berada di atas pentas, mereka mudah lupa dan tersasar daripada matlamat asalnya. Maka dengan itu, terjadilah masalah meleret-leret dan membuang masa.
"Semua aspek ini cukup kami titik beratkan untuk kami perbaiki segala kelemahan demi memberikan kepuasan maksimum kepada penonton," ujar anak kelahiran Muar, Johor ini penuh bersungguh.
Zaifri yang sebelum ini mengarahkan teater Di Mana Setangginya beberapa bulan lalu di lokasi yang sama juga memberitahu faktor masa juga menyumbang kepada segala permasalahan dan kelemahan dalam teater ini.
Jelasnya, pihak produksi tidak mempunyai masa yang cukup untuk berlatih dan menyesuaikan diri di atas pentas Panggung Sari bagi memantapkan serta mengemaskan lagi jalan cerita Gamat.
Mengenai konsep pencerita pula yang dilihat mampu menguatkan lagi jalan cerita Gamat, Zaifri memberitahu memang pada awalnya seorang pelakon telah dipilih untuk memegang watak berkenaan.
Namun, di saat akhir katanya, konsep itu terpaksa digugurkan kerana pelakon tersebut tidak dapat meneruskan watak itu ekoran terikat dengan komitmen lain.
"Pada saya, ada pencerita atau tidak, itu bukan satu masalah kerana kalau dalam tempoh lima minit pertama sesebuah teater itu tidak mampu menyakinkan penontonnya, memang susah.
"Biarpun teater Gamat memakan masa yang boleh dikira agak lama, tetapi saya lihat penonton khususnya kanak-kanak masih lagi mampu duduk dan menontonnya sehingga habis," katanya penuh optimis.
Teater muzikal Gamat yang diterbitkan oleh CTRA Production Sdn. Bhd., ini menggabungkan hampir 300 orang termasuk pelakon, pemuzik, krew pentas, pereka kostum dan juga tata rias.
Sempat berkongsi cerita dengan pihak media tentang cabarannya mengarahkan teater muzikal ini, memang tidak dinafikan ia cukup menguji kesabarannya sebagai seorang pengarah.
Apatah lagi dengan barisan pelakon yang kebanyakannya adalah kanak-kanak, Zaifri mengakui ada kalanya dia tidak berupaya untuk mengawal mereka.
"Kanak-kanak ini begitu aktif dan kita tidak boleh menghalang mereka untuk bergerak bebas. Apabila kita sedang berlatih, di satu sudut mereka akan berlari dan membuat bising.
"Saya sebagai seorang pengarah harus menggunakan pendekatan terbaik untuk mengawal dan mendidik mereka.
"Kerana itu juga, dalam setiap kumpulan hidupan laut yang ditampilkan, saya terpaksa meletakkan seorang dewasa agar dapat membantu dan mengawal mereka.
"Jika mahu mereka bergerak sendiri, memang tidak boleh kerana mereka tidak tahu biarpun sudah berlatih banyak kali.
"Itulah cabaran buat saya tetapi saya cukup seronok dengan keletah mereka yang mencuit hati serta menghiburkan," cerita Zaifri tentang pengalamannya itu.
Menggunakan gamat sebagai satu metafora, apa yang mahu disampaikan Zaifri dalam pementasan ini adalah tentang kegoyahan institusi kekeluargaan hari ini yang telah mencetuskan pelbagai polemik dan perdebatan.
Seboleh-bolehnya Zaifri mahu penonton dan masyarakat melihat Gamat bukan sekadar hiburan semata-mata tetapi mesej yang terkandung di dalamnya.
"Itu yang cuba saya sampaikan kerana saya mahu ibu bapa khususnya melihat implikasi yang akan terjadi seandainya institusi kekeluargaan itu tidak dijaga dan dipelihara sebaliknya.
"Selain itu juga, Gamat juga mahu menyedarkan masyarakat tentang betapa pentingnya kita sebagai manusia untuk memelihara khazanah laut yang cukup berharga," ujar pemegang Ijazah Sarjana Pengarahan Teater, Universiti Middlesex, United Kingdom ini lagi.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: