![]() |
| BOB AF2 (dari kiri), Hafiz Hamidun, Huzz, Wan Hisham, Nadia, Zurzaliza, Aizat, Lan dan Ameng Spring pada majlis pelancaran konsert Kick-off Monsoon Cup 2009 di Bangi, baru-baru ini. |
BAKAL berlangsung di Pulau Duyong, Kuala Terengganu, Terengganu dari 2 hingga 6 Disember ini, Monsoon Cup 2009 pastinya berlangsung dalam suasana penuh kemeriahan.
Bukan hanya 'menghidangkan' saingan sengit 12 pelayar bertaraf antarabangsa yang bertanding, pengunjung Monsoon Cup turut berpeluang menemui barisan artis popular menerusi sebuah konsert yang akan diadakan pada 1 Disember.
Bermula pukul 8.30 malam di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, konsert dinamakan Kick-off Monsoon Cup 2009 itu dianjurkan bersama majalah URTV, terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB).
Antara barisan artis yang akan menjayakan Kick-off Monsoon Cup adalah Dayang Nurfaezah, Aizat, Dafi, Adam, Ramlah Ram, Jay Jay dan Tomok.
Menariknya, konsert tersebut akan dimulakan dengan memperkenalkan 12 pelayar terlibat yang mana, Monsoon Cup merupakan destinasi terakhir bagi sirkit World Match Racing Tour.
Sebagai destinasi akhir, ia bukan hanya menjadi penentu kepada siapa juara Monsoon Cup 2009 tetapi juga juara dunia untuk World Match Racing Tour.
Menurut Pengarang URTV, Huzz, pada tahun lalu, Monsoon Cup dimeriahkan dengan acara sampingan seperti Pertandingan Mewarna Kawan yang dianjurkan majalah Kawan.
Namun, jelasnya, bagi tahun ini, pihak penganjur Monsoon Cup berminat untuk menjalin kerjasama dengan URTV bagi penganjuran konsert.
"Ini merupakan kerjasama kedua Utusan Karya bersama Monsoon Cup.
"Kami di URTV berperanan untuk mendapatkan artis serta publisiti.
"Sememangnya kami cukup teruja kerana penganjur telah menjemput URTV untuk sama-sama memeriahkan Monsoon Cup 2009,'' katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran konsert Kick-off Monsoon Cup 2009 Bersama URTV di Kompleks Sri Utusan, Bangi, baru-baru ini.
Pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah Monsoon Cup, Datuk Wan Hisham Wan Salleh.
Hadir sama, Pengurus Besar Operasi UKSB, Zurzaliza Bajuri serta barisan artis-artis yang bakal menghangatkan Kick-off Monsoon Cup 2009.
Kata Huzz, selain Kick-off Monsoon Cup 2009, konsert mini juga akan diadakan di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa mulai 2 hingga 4 Disember.
Berlangsung di sebelah petang, ia menampilkan artis seperti Bob AF2, Alya, Wana (My Star LG), Azlan & The Typewriter, Hafiz Hamidun, Suhaimi (In-Team), Hijjaz, Hujan, Nadia AF6 dan Ameng (Spring).
Untuk Kick-off Monsoon Cup 2009 dan konsert mini berkenaan, Fara Fauzana dan Iqram Dinzly bakal bertindak selaku pengacara konsert.
"Untuk di Dataran Shahbandar, saya dimaklumkan ia mampu memuatkan 30,000 orang penonton.
"Justeru, saya mengharapkan agar orang ramai akan dapat sama memeriahkan lagi konsert tersebut.
"Begitu juga dengan konsert mini yang turut sama dianjurkan,'' jelasnya.
Sambutan 40 tahun URTV
Sementara itu, jelas Huzz, kehadiran URTV selaku penganjur bersama konsert Kick-off Monsoon Cup 2009 dijangka akan dapat menguatkan lagi jenama URTV sebagai majalah hiburan popular tanah air.
Ia juga, katanya, dilihat mampu meningkatkan jumlah jualan dan pembaca URTV.
"Kehadiran URTV di acara Monsoon Cup juga dilihat penting memandangkan URTV bakal menyambut ulang tahun ke-40, tahun depan.
"Secara tidak langsung, Kick-off Monsoon Cup dijadikan platform untuk menguar-uarkan sambutan 40 tahun URTV,'' katanya.
Menurutnya, selain Monsoon Cup, URTV turut berminat untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak untuk bersama menganjurkan apa jua konsert.
"Jika ada permintaan, URTV berminat untuk bekerjasama,'' tambahnya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: