![]() Linda Onn |
Linda Onn enggan beri komen, malah tidak tahu Fahrin dan Scha sudah berpisah
TERDIAM seketika Linda Onn apabila dikhabarkan bahawa bekas teman tapi mesranya, Fahrin Ahmad kini sudah berpisah dengan buah hatinya, pelakon dan pengacara, Scha Alyahya. Berulang kali juga penyampai radio popular itu bertanyakan akan kebenaran cerita itu sambil mempamerkan wajah yang terpinga-pinga.
“Betul ke? Saya tak tahu, saya memang tak tahu. Kalau boleh saya tak nak tahu dan tak nak ambil tahu. Apa yang berlaku itu adalah hal peribadi mereka. Saya tidak ada komen apa-apa mengenai mereka dan saya tak nak masuk campur.
Bukan sengaja mahu membangkitkan nostalgia lama yang sudah menjadi sejarah atau mengguris kembali luka lama tetapi soalan itu ditanyakan kerana ingin mendapatkan komen Linda apakah Fahrin dan Scha mampu menjalankan tugas mereka sebagai pengacara Sehati Berdansa berdasarkan tragedi yang menimpa mereka itu.
Maklumlah, sebagai insan yang pernah melalui situasi itu, tentunya Linda mempunyai cara tersendiri bagaimana untuk berdepan dengan situasi seperti itu.
![]() |
| ANTARA artis yang turut menyumbangkan tenaga pada acara amal jualan kek coklat di Great Eastern Mall, baru-baru ini. |
“Saya percaya Scha mampu bersikap profesional. Kalau saya dulu boleh melalui situasi itu, mengapa Scha tidak boleh? Bagi Linda sendiri, kalau kita berada di set, Linda akan fokus pada kerja dan ketepikan soal peribadi.
“Saya percaya mereka juga akan bersikap sebegitu,” kata Linda.
Apabila berlakunya perpisahan itu, tentunya sedikit sebanyak orang akan menyalahkan Fahrin dan menuduh jejaka itu sebagai punca perpisahan mereka. Begitupun, sama seperti reaksinya ketika tersebarnya cerita hubungan mereka dilanda badai, Linda tetap mendiamkan diri. Enggan mengulas berlebih-lebihan.
“Saya tidak mahu memberikan sebarang komen mengenai perkara itu. Malah sejak cerita perpisahan kami tersebar luas, saya lebih suka berdiam diri. Dan kerana tindakan saya itu, kerap juga saya dipersalahkan banyak pihak dan dan wartawan juga teruk menghentam saya. “Saya telan apa saja tuduhan mereka. Dalam hal ini, biarlah masa yang menentukan kebenarannya. Saya perlu kekalkan prinsip yang ada untuk tidak memberikan sebarang ulasan mengenai perkara itu.
![]() |
| AKSI Linda dan Lisa Surihani ketika menjual kek milik Hotel Holiday Inn Glenmarie yang diwakili mereka. |
“Kalau ada pun cerita yang keluar, itu dari mulut orang lain dan bukannya dari mulut saya,” tegas Linda yang cukup anggun mengenakan baju kurung rona hijau.
Pada ketika Fahrin kini kembali bersendirian, apakah ada kemungkinan untuk dua hati itu bercantum kembali? Daripada bahasa tubuh yang ditunjukkan Linda sudah cukup jelas untuk menerangkan segala-galanya.
“Itulah, kalau dulu, bila saya masih bersama dengannya, orang akan tanya mengapa pilih dia. Apabila kami berpisah, orang akan tanya bila hendak berbaik semula. Perkara ini tidak akan terhenti dan orang akan terus bercakap mengenainya sampai bila-bila.
“Jadi, kita buatlah apa yang kita fikirkan baik untuk kehidupan kita,” tutur Linda matang.
Linda dan Fahrin sebelum ini pernah dianggap sebagai pasangan sejoli bagaikan pinang di belah dua, terutama apabila mereka digandingkan sebagai pengacara program realiti Sehati Berdansa selama dua musim berturut-turut. Bagaimanapun, hubungan pasangan ini mula dingin dan hampir setahun lalu akhirnya mereka membawa haluan masing-masing.
Ketika Linda terus kekal menyendiri, Fahrin pula dikaitkan dengan Scha. Walaupun kehadiran Scha dianggap sebagai pengubat kekecewaan kepada Fahrin, tetapi laporan terkini menyatakan hubungan pasangan pelakon ini gagal untuk dipertahankan apabila putus di tengah jalan.
Bagi Linda pula, walaupun lebih selesa untuk hidup bersendirian namun jauh di sudut hatinya, dia seperti kebanyakan wanita yang masih solo, pastinya tetap mendambakaan kehadiran lelaki sesuai untuk memikul tanggungjawab sebagai suami.
Namun, tegasnya buat masa ini, mencari pasangan hidup bukanlah agenda utama dalam hidupnya.
“Buat masa ini saya lebih selesa hidup sendirian. Tumpukan perhatian terhadap kerjaya. Soal jodoh, biarlah dulu. Saya memang tidak mencari. Saya bersyukur kerana keluarga saya tidak pernah mendesak saya untuk berkahwin. Sewaktu pulang bercuti sempena hari raya baru-baru ini, soalan jodoh tidak keluar dari mulut mereka.
“Mungkin mereka takut saya kecil hati agaknya,” balas Linda sambil tertawa.
Setengah jam sudah habis
SEMENTARA itu, pertama kali menyertai acara jualan kek amal itu, Linda yang mewakili Hotel Holiday Inn Glenmarie berkata berkata dia gembira kerana jualannya petang itu laku macam goreng pisang panas.
“Caranya mudah saja. Saya melelongnya dengan berkata terdapat tiga perisa dalam setiap kek iaitu oren, coklat dan rasberi. Tak sangka taktik itu menjadi dan saya berjaya menjualnya dalam tempoh setengah jam,” katanya yang bergandingan dengan Lisa Surihani ketika sesi menjual kek itu.
Kegiatan amal yang dijadikan program tahunan ini disertai lebih 30 selebriti mewakili 14 hotel di sekitar ibu negara. Setiap hotel dibantu empat hingga lima selebriti yang membantu menjual kek ini.
Antara artis atau selebriti yang menyumbang tenaga menjayakan acara itu termasuklah Diana Danielle, Julia Ziegler, Sazzy Falak, Farahdhiya, Iqram dinzly, Azharina Azhar, Sharifah Amani, Tini Hot FM, Kamal Adli, Fizo Omar, Rafidah 3R, Arash Mohamad.



No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: