
![]() |
| |
TEHERAN - Seorang pengebom berani mati membunuh tujuh komander pasukan Pengawal Revolusi Iran dan 23 lagi di sebuah kawasan di tenggara negara itu yang merupakan lokasi pemberontakan pejuang Sunah, lapor agensi berita IRNA semalam.
Menurut agensi itu, mereka yang terbunuh terdiri daripada timbalan komander pasukan darat Pengawal Revolusi, Jeneral Noor Ali Shooshtari (gambar) dan ketua komander pasukan tersebut di wilayah berkenaan, Rajab Ali Mohammadzadeh.
Turut terbunuh ialah anggota-anggota Pengawal Revolusi.
Menurut laporan sebuah stesen radio, berpuluh-puluh orang cedera dalam serangan itu.
Menurut IRNA, komander-komander itu dalam perjalanan untuk menghadiri mesyuarat dengan beberapa pemimpin tempatan di daerah Pishin dekat sempadan Pakistan apabila seorang penyerang yang mempunyai bahan letupan di pinggangnya meletupkan dirinya.
Letupan tersebut berlaku di pintu masuk sebuah kompleks sukan iaitu lokasi tempat mesyuarat itu berlangsung.
Seorang pendakwa raya, Mohammad Marzieh berkata, sebuah kumpulan militan berfahaman Sunah, Jundallah mengaku bertanggungjawab melakukan letupan itu.
Wilayah di tenggara menjadi tumpuan serangan ganas oleh kumpulan Jundallah yang melakukan pemberontakan sejak beberapa tahun lalu.
Kumpulan itu mendakwa pemerintah yang dikuasai Syiah telah melakukan penindasan terhadap penganut Islam berfahaman Sunah.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: