Friday, October 2, 2009

TUDM bawa pulang pelajar kita


Kawasan kompleks membeli-belah di Padang musnah teruk dalam kejadian gempa bumi di Sumatera, Indonesia yang meragut ratusan nyawa semalam.


KUALA LUMPUR 1 Okt. – Seramai 290 pelajar Malaysia yang terperangkap di Padang akibat kejadian gempa kuat semalam akan diberi keutamaan untuk dibawa pulang dengan segera ke tanah air melalui pesawat yang diaturkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Konsul Jeneral Malaysia di Medan, Fauzi Omar berkata, setakat ini berdasarkan komunikasi dengan beberapa pemimpin pelajar di Padang, kesemua penuntut Malaysia di sana dilaporkan berada dalam keadaan selamat.

Katanya, cuma ada sebahagian mereka yang hilang tempat tinggal berikutan rumah sewa mereka musnah dalam kejadian gempa bumi semalam dan kini mereka telah diminta berlindung di kawasan yang selamat.

‘‘Berdasarkan maklumat, kira-kira 80 pelajar yang kehilangan tempat tinggal akan diberi keutamaan untuk dibawa pulang ke Malaysia manakala selebihnya kita akan lihat sama ada mereka boleh berada di Padang atau perlu pulang,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di Medan hari ini.

Sehingga kini angka korban akibat gempa bumi itu masih beluh dapat dipastikan dengan tepat namun ia dianggarkan sudah mencecah 770 orang.

Gempa berukuran 7.6 pada skala Richter itu yang berpusat di Kilometer 57, Padang Pariaman dengan kedalaman 87 kilometer di bawah laut itu dilaporkan berlaku pada pukul 5.16 petang waktu tempatan (pukul 6.16 petang waktu Malaysia), 53 kilometer ke barat laut bandar Padang.

Gempa di Sumatera Barat itu berlaku hampir sebulan selepas Tasikmalaya, wilayah Jawa Barat digegarkan dengan gempa kuat yang mengorbankan 123 orang.

Malaysia malam ini menghantar tiga pesawat tentera ke Padang untuk membawa pulang penuntut-penuntut Malaysia yang terlibat dengan kejadian gempa bumi itu.

Tiga pesawat pengangkut jenis Hercules, yang membawa 26 orang termasuk 11 wakil media berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang dekat sini pada 10 malam menuju ke Padang.

Sementara itu menurut Fauzi, walaupun keadaan mencemaskan namun pelajar Malaysia bernasib baik terselamat daripada sebarang mala petaka besar berikutan lokasi universiti mereka yang tidak berada betul-betul di kawasan pusat gempa.

Katanya, selain itu rumah sewa yang menjadi kediaman pelajar ini rata-ratanya bukan terdiri daripada bangunan tinggi dan ini sekali gus membolehkan mereka terselamat.

‘‘Alhamdulillah semua selamat dan 290 orang itu berada di lokasi yang sama. Kita telah berhubung dengan mereka dan saya harap keluarga mereka di tanah air tidak bimbang.

‘‘Kita di Indonesia saling bekerjasama dengan semua agensi berkaitan bagi memastikan keperluan pelajar kita itu akan dapat dipenuhi,’’ jelasnya.

Ditanya mengenai rakyat Malaysia di Padang selain pelajar, Fauzi berkata, setakat ini hanya 10 orang pelancong yang dikenal pasti berdasarkan makluman syarikat pelancongan dan keluarga di tanah air.

Katanya, dari segi rakyat Malaysia yang bekerja di Padang juga tidak ada memandangkan kebanyakan yang berkhidmat di Sumatera adalah di kawasan penanaman sawit seperti di Riau.

Menurut Fauzi, detik-detik selepas kejadian gempa yang berlaku pada pukul 5.16 petang waktu Indonesia Barat itu agak mencemaskan kerana kekuatannya yang mencecah 7.9 skala Richter.

Kata beliau, pihaknya cuba menghubungi seberapa segera pelajar di Padang namun segala usaha komunikasi gagal berikutan segala bentuk hubungan yang terputus.

‘‘Alhamdulillah kira-kira tengah malam waktu tempatan kita dapat hubungi beberapa pemimpin pelajar di sana dan ketika itu kami lega apabila kesemua 290 pelajar di Universitas Andalas disahkan selamat dan sedang berkumpul di satu tempat yang sama.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: