
JANGAN lupa untuk meluangkan masa pada hari Rabu minggu depan, 21 Oktober, pukul 7.30 malam untuk menonton saluran NTV7. Ini kerana stesen televisyen tersebut akan menyiarkan program berkaitan dunia pemotoran yang dikenali sebagai Getacar.
Ditaja oleh pihak CIMB Preferred, rancangan yang sudah berlangsung sejak bulan Ogos sehingga Oktober itu (10 minggu) merupakan inisiatif Paragon Publishing yang sebelum ini bertanggungjawab menerbitkan majalah pemotoran Getacar.
Untuk makluman, rancangan Getacar menawarkan isi kandungan yang cukup menarik terutama buat para peminat kereta di seluruh negara. Ia dihoskan oleh Adian Yein, seorang pelumba profesional dan Lynn Teoh.
Mereka akan membawa penonton meneroka kehebatan dan keistimewaan pelbagai model kereta seperti Ford Focus S, Peugeot 308, Peugeot 207 Coupe Cabriolet, Mazda RX8, Mazda3 Sport, Porsche Cayman S, Kia Rondo, Kia Optima, Audi A6 dan Honda City.
Secara asasnya, Getacar mengupas bagaimana kereta-kereta itu dinilai oleh para juri dalam pelbagai kategori termasuk dua penerima anugerah utama iaitu People's Choice Award dan Performance Car Award.
"Kerjasama kami dengan Paragon Publishing telah melangkah ke peringkat lebih tinggi, buktinya program televisyen ini. Sebelum ini, kami menjalin kerjasama dengan menawarkan ahli-ahli CIMB Preferred peluang untuk memandu uji kereta-kereta berprestasi tinggi sebagai salah satu keistimewaan buat mereka.
"Kami harap para penonton akan teruja menonton program ini sama seperti keterujaan CIMB Preferred menyokong program yang melibatkan gaya hidup," jelas Ketua Perbankan Runcit CIMB Bank, Peter England.
Sementara itu, Pengarah Urusan Paragon Publishing, Adlin Yusman memberitahu, inisiatif untuk menghasilkan program televisyen adalah kerana khalayaknya jauh lebih ramai berbanding dengan pembaca majalah.
Dengan penglibatannya dalam dunia penyiaran, Paragon Publishing kini mencari peluang untuk mengedarkan program televisyen Malaysia kepada audiens global.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: