Wednesday, October 7, 2009

Tidak serik...Elfira




Elfira anggap masih terlalu awal untuk fikir masa depan dalam bidang seni

SEKALI pandang, wajah gadis darah campuran Cina dan Arab berusia 15 tahun ini seakan-akan wajah pelakon cilik drama dari Indonesia. Namun, sebenarnya dia yang bernama Elfira Loy ini hanya sekadar bakat baru di arena seni tempatan. Mewarisi kecantikan daripada ibunya, pesona wajahnya mungkin dapat diketengahkan sebagai pelakon pelapis di negara kita.

Bagaimanapun masih terlalu awal untuk meramalkan perjalanan kerjaya seninya yang bermula 2006. Ketika ini pun saat ditanya ke mana hala tujunya dalam bidang seni, dia masih belum mempunyai jawapan pasti. Semuanya masih seperti di awang-awangan.

Bukan bermaksud tidak tetap pendirian, yang pasti langkahnya masih terlalu jauh untuk dibicarakan. Hakikatnya, Elfira mempunyai dunianya yang tersendiri kerana dia masih belajar dan bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bulan ini.


Seperti remaja lain, dia juga mempunyai cita-cita untuk bergelar itu dan ini. Angan-angan kosong itu tak salah untuk dikongsi dan siapa tahu ia mungkin menjadi pendorong terbaik masa depan.

Katanya, dia masih mengingati pesanan Datin Seri Tiara Jacquelina supaya belajar bersungguh-sungguh sebagai jaminan masa depan.

ELFIRA dilihat mempunyai pakej lengkap untuk bergelar pelakon hebat suatu masa nanti.

“Soal glamor atau apa-apa yang kita impikan akan datang dengan sendirinya jika rezeki menyebelahi hidup kita. Tapi untuk mencapai apa yang diidamkan, ia juga perlu diiringi dengan usaha. Saya sebenarnya belum tahu apa yang bakal saya lalui pada masa mendatang.

“Begitu juga dengan sama ada saya mahu serius dalam dunia lakonan atau tidak. Saya boleh katakan semuanya bergantung kepada keputusan peperiksaan PMR. Saya tidak tahu sama ada saya akan menjadi pelakon untuk selama-lamanya,” katanya yang cukup meminati pelakon remaja Hollywood, Selena Gomez.

Dalam pembabitan seni keluarganya, adiknya, Ezzrin Loy, 12, terlebih dulu terjun ke bidang lakonan. Bahkan adik beradiknya yang lain, Ezzlisa Loy (13) dan termasuk abangnya, Ezzra Loy (18) turut mengikuti jejak yang sama.

Elfira sebenarnya lebih terdedah kepada dunia iklan komersial, namun selepas melihat adiknya sibuk di lokasi penggambaran, mula terbit perasaan cemburu di hatinya untuk mencuba bakat dalam bidang lakonan. Ternyata sikap cemburunya itu memberi makna dan tafsiran tersendiri.


Rezeki mula menyebelahinya apabila dapat berlakon teater muzikal Ali Baba yang dipentaskan di Istana Budaya pada 2006 di samping pengacara popular, Aznil Nawawi. Daripada situ, minatnya terhadap dunia lakonan semakin bercambah dan dia tidak betah duduk diam dengan mengisi masa untuk berlakon.

“Saya bertuah kerana dapat mengasah bakat lakonan menerusi bidang teater terlebih dulu di bawah bimbing pengarah, Zaifri Husin yang mengarahkan teater Ali Baba. Malahan teater itu mendapat pengiktirafan Persembahan Terbaik Muzikal kanak-kanak di India November 2007 dan saya turut ke sana meraikannya.

“Ketika mula berlakon teater dan asyik dimarahi pengarah, saya pernah bercakap dalam diri dengan mengatakan teater itu akan menjadi lakonan pertama dan terakhir saya. Tapi perasaan itu hanya singgah seketika saja kerana daripada sisi lain, saya banyak menimba pengalaman berharga dan berguna di pentas teater.

“Teater banyak menyuntik semangat saya. Daripada tidak boleh menari dan seperti ‘kayu’, saya sudah boleh menari. Jadi tidak rugi berlatih selalu dan dimarahi, saya berjaya membuatkan hati puas. Selain Ali Baba, saya juga pernah berlakon dalam teater muzikal Ibu Zain musim pertama dan kedua memegang watak Ibu Zain di zaman remaja,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn itu.

Berbakat sebagai pengacara TV

APABILA ditanya mengenai senario perkembangan dunia hiburan tempatan, Elfira mula mengerut dahi memberi isyarat betapa kosong pengetahuannya terhadap perihal itu. Mungkin ada bagusnya juga jika Elfira tidak terlalu mengambil tahu mengenai dunia hiburan kerana otaknya masih belum ‘tercemar’ dengan apa juga kaitan bidang itu.

“Saya juga tidak tahu sebarang gosip hiburan. Kehidupan saya hanya di lokasi penggambaran dan kemudian kembali menjadi pelajar seperti remaja lain. TV pun saya jarang tengok. Saya lebih suka menonton DVD cerita dari Korea.

“Lagipun saya banyak memberi tumpuan kepada belajar dan dan kelas tuisyen. PMR pun akan bermula tidak lama lagi,” katanya yang baru saja muncul dengan drama Qalisha bagi siaran Astro Prima bersempena Ramadan lalu.

Menurut Elfira, dia bersyukur biarpun memilih jalan untuk menjadi pelakon ketika ini, pelajaran tidak sesekali diabaikan. Malah, sepanjang membabitkan diri dalam dunia seni, akuinya, dia tidak pernah menimbulkan masalah di sekolah dan cikgu turut memberi sokongan padu.

Selain berlakon, Elfira turut mempunyai kebolehan mengacara. Antara program yang pernah menggunakan khidmatnya seperti Berani Jadi Bos (Astro Ceria), Cuti-cuti Famili (RTM 1), Selamat Pagi Putera Puteri musim 1 dan 2 (TV1), Shana dan Nina, Kids n Cash (TV3).

Profil: Elfira Loy

  • Nama penuh: Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri
  • Tarikh lahir: 8 Mac 1994
  • Tempat lahir: Kuala Lumpur
  • Bilangan adik beradik: Anak kedua daripada empat beradik
  • Pengalaman seni: Sejak 2006
  • Emel atau Myspace: nurulelfiraloy@yahoo.com
  • Iklan: Motosikal Honda, Sunway Lagoon, Mee Sedap, Institut Jantung Negara, Bank RHB, Mamee Slurp.
  • Teater: Ali Baba, Ibu Zain 1 & 2
  • Drama dan telefilem: Tentang Bulan The Series, Persis. Kak Long, Permata Hati, Persinggahan, Sanggar Cinta Raudhah dan Cinta Itu Buta.

    Daripada kaca mata Elfira Loy

  • Lakonan: Bidang ini perlu banyak mengkaji watak kerana kalau tidak lakonan itu tidak akan menjadi dan sebaik-baiknya ia perlu dijadikan seperti dalam dunia realiti.

  • Teater: Adalah langkah pertama saya untuk terus mengasah bakat dalam bidang lakonan.

  • Impian: Mahu berjaya dalam apa juga bidang yang diceburi.

  • Dunia seni: Ketika ini, dia tidak terlalu mempedulikan apa yang terjadi dalam dunia seni. Katanya, dia cuma hidup dalam dunianya yang tersendiri.

  • 20 tahun lagi: Barangkali sudah berkahwin dan mempunyai kerjaya. Malah, apa juga yang diingininya dapat dibeli.
  • 1 comment:

    1. ELFIRA JANGAN ASIK PONTENG SK JE.KITA MESTI KENA PANDAI BAHAGIKAN MASA UNTUK SYUTING N SK

      ReplyDelete

    Tinggalkan Komen Anda Sini: