Thursday, October 8, 2009

Tiada rahsia kisah silam


GOO HARA


JIKA kebanyakan selebriti Korea bimbang foto atau kisah masa silam mereka didedahkan kepada umum seperti wajah asal sebelum pembedahan plastik dan perangai liar sebelum menjadi selebriti, lain pula halnya dengan penyanyi muda Goo Hara yang merupakan salah seorang anggota kumpulan wanita terkenal Kara.

Gadis yang berusia 18 tahun itu dengan bangganya mendedahkan masa silamnya meskipun banyak pihak mempertikaikan kejelitaannya yang dilihat terlalu sempurna.

Banyak pihak beranggapan Goo Hara turut menjalani pembedahan plastik seperti mana kebanyakan selebriti yang lain.

Bagaimanapun, dalam satu dokumentari yang dirakamkan ketika Goo Hara berusia 14 tahun jelas kelihatan kejelitaannya adalah asli, mungkin yang bezanya adalah bahagian mata yang sedikit berubah daripada yang asal.

Dalam dokumentari itu, Goo Hara menceritakan impiannya untuk bergelar seorang penyanyi apabila dewasa. Nampaknya, impian Goo Hara tercapai kerana kini Kara merupakan antara kumpulan wanita yang terkenal di Korea.

Antara sedutan dokumentari itu adalah keazaman Goo Hara ketika kecil demi impiannya. Selain sibuk dengan pelajaran di sekolah, dia tetap menghadiri kelas lakonan dan tarian. Ini membuktikan untuk menjadi seorang idola, usaha yang gigih diperlukan.

Ketika satu sesi temu bual dijalankan, Goo Hara memberitahu: "Semasa kecil hidung saya selalu berdarah kerana terlalu penat menjalani latihan tarian, lakonan dan juga belajar. Saya juga kerap pengsan.

"Pada mulanya keluarga menentang habis-habisan impian saya untuk menjadi seorang selebriti tetapi inilah yang saya inginkan. Saya akan kurang keyakinan jika tidak menghadiri kelas lakonan dan tarian, jadi saya harus datang kelas setiap hari.

"Saya suka memberi tekanan kepada diri jika saya tidak menjadi selebriti seperti hari ini," terang Goo Hara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: