
SEBELUM pukul enam petang lagi para peminat bintang tenis, Fernando Gonzalez sudah mula memenuhi ruang Starbucks Suria KLCC, Kuala Lumpur. Mereka sedia membentuk barisan untuk bersua muka dengan atlet pujaan itu. Akhirnya, riak-riak kegelisahan yang menyelubungi bertukar ceria apabila Gonzalez tiba tepat pada waktunya.
Gonzalez yang merupakan pemain tenis dari Chile kini menduduki kedudukan ke-12 dalam Rangking Persatuan Pemain Tenis Profesional (ATP) Perseorangan. Kunjungan beliau ke negara ini baru-baru ini adalah untuk menyertai kejohanan Tenis Terbuka Malaysia Proton.
Kesempatan itu, digunakan untuk bertemu dan beramah mesra dengan peminat setia. Selain memberi peluang kepada peminat untuk bergambar dengannya, sesi autograf turut diadakan selama sejam setengah.
Ternyata keterujaan bertemu dengan Gonzalez bukan sahaja dirasai oleh peminat tempatan malah kumpulan ekspatriat dari Amerika Selatan yang bermastautin di Malaysia.
"Kami berasa gembira dengan kunjungan Gonzalez di restoran kami. Rata-rata pelanggan dan peminat yang hadir memberi sambutan yang menggalakkan," ujar Pengarah Pasaran dan Komunikasi Berjaya Starbucks Coffee Company Sdn. Bhd., Sydney Quays.
Dalam pada itu, Starbucks yang merupakan penaja pada perlawanan tenis terbuka itu turut menganjurkan pertandingan cabutan bertuah. Istimewanya, hadiah cabutan bertuah itu ialah memenangi raket yang ditandatangani oleh Gonzalez. Insan bertuah yang memenangi cabutan bertuah itu, Nur Syazana Mohd. Shahib berasa sangat gembira dengan kemenangan yang tidak dijangka.
Gonzalez digelar dalam kalangan masyarakat Latin sebagai Mano de Piedra (Tangan Batu). Pencapaian dalam kariernya termasuklah mara ke akhir dalam Terbuka Australia 2007, separuh akhir dalam Terbuka Perancis 2009 serta suku akhir dalam Wimbledon 2005 dan Terbuka Amerika Syarikat 2002.
Di Sukan Olimpik Athens, Greece, Gonzalez memenangi gangsa dalam acara perseorangan manakala di Sukan Olimpik Beijing, China beliau meraih emas dalam acara beregu dan perak dalam acara perseorangan.
Sepanjang kariernya, Gonzalez pernah menewaskan ramai pemain utama dunia seperti Lleyton Hewitt, Andre Agassi, Roger Federer, Rafael Nadal, Andy Roddick, Juan Carlos Ferrero, Carlos Moyà, Gustavo Kuerten, Marat Safin dan Pete Sampras.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: