Saturday, October 10, 2009

Tentera AS bantu mangsa gempa


MANGSA-MANGSA gempa bumi berebut-rebut mendapatkan bantuan makanan yang diedarkan oleh tentera Indonesia di Koto Dalam, Sumatera Barat semalam.


PADANG - Beberapa kapal tentera laut dan helikopter Amerika Syarikat (AS) tiba di Padang semalam bagi membantu mangsa gempa bumi.

Kehadiran tentera negara kuasa besar itu adalah untuk bersama-sama membantu mengagihkan bantuan kepada beribu-ribu mangsa yang terjejas pada minggu lalu akibat gempa tersebut yang berukuran 7.6 pada skala Richter.

Beberapa pegawai Indonesia berkata, angka kematian akibat gempa bumi kuat yang menggegarkan wilayah Sumatera Barat meningkat kepada 784 orang manakala harapan bagi menemui 242 mangsa yang dikategorikan hilang amat tipis.

Empat buah helikopter dari beberapa buah kapal perang AS tiba di sebuah pangkalan tentera Indonesia di sini sebelum memulakan operasi mengagihkan bantuan dan membawa mangsa cedera dari kampung-kampung yang terputus hubungan akibat tanah runtuh.

Sekurang-kurangnya 180,000 bangunan ranap atau rosak dalam gempa itu yang turut mencetuskan tanah runtuh yang menimbus beberapa buah kampung di kaki bukit.

Penghantaran bantuan oleh tentera AS itu merupakan yang terbesar di Indonesia sejak tragedi tsunami di Lautan Hindi pada 2004 yang menyebabkan 230,000 orang terbunuh di beberapa buah negara, separuh daripada kematian tersebut berlaku di Aceh, Sumatera.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: