Thursday, October 8, 2009

Tekanan bakal pengantin





Serina kian gelabah hadapi saat mendebarkan dalam hidupnya

DEBARAN menunggu hari bersejarah tentunya amat dirasa sesiapa saja yang bakal melalui detik diijabkabulkan bersama pasangan tercinta. Ketika yang sama, tentunya ramai bakal pengantin berasa seperti tidak cukup tangan tatkala menyediakan persiapan perkahwinan.

Pelakon dan pengacara Serina Redzuawan turut berasa ‘pening’ ketika hari yang paling bermakna dalam hidupnya kian hampir. Dia bakal dinikahkan dengan jejaka keturunan Irish dari England, Gavin Edward O'luanaigh atau Salahuddin Ghaffar pada 1 Januari nanti.

Kata Serina, tekanan cukup dirasakan bukan saja kerana dia perlu kelihatan lebih langsing pada hari perkahwinan dan persandingan, bahkan majlis besar-besaran juga pasti diharapkan orang ramai daripadanya berikutan status selebriti yang dipegang.

"Bapa saya seorang chef yang dikenali bukan saja di negara sendiri, malah pada peringkat antarabangsa. Semua itu meletakkan saya dalam keadaan sedikit tertekan. Tentunya kami perlu mengadakan majlis agak besar, apatah lagi ia perkahwinan pertama dalam keluarga kami.

"Lebih memeningkan apabila persiapan perkahwinan serta majlis bersejarah itu nanti akan turut dirakam oleh kru televisyen Asian Food Channel (AFC). Dua pengarah daripada Britain khabarnya akan turun ke sini bagi menjayakan rakaman berkenaan, bermula dari majlis berinai kecil, majlis berinai besar, akad nikah serta persandingan.

JEJAKA dalam foto ini bukan Gavin, sebaliknya rakan sepasukan dalam drama bersiri Akademi Polis, Raja Azrey.

"Kononnya, majlis saya nanti akan mempromosikan majlis perkahwinan mengikuti gaya orang Melayu. Sudah tentunya saya gembira apabila pihak luar berminat merakamkannya, seterusnya menayangkan majlis itu untuk tontonan penonton antarabangsa. Pada masa yang sama, ia memberikan tekanan bukan sedikit buat saya.

"Banyak proses yang harus saya lalui, bukan hanya untuk majlis pernikahan ini, malah untuk menjayakan rakaman terbabit," kata Serina ketika ditemui selepas diperkenalkan sebagai pengacara musim keempat program Inspirasi Koko tajaan Lembaga Koko Malaysia dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi di Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia, Datuk Azhar Ismail dan pegawai kanan agensi kerajaan itu.

Jelas Serina, antara tekanannya juga adalah untuk mengurangkan lagi berat badan. Sehingga kini dia berjaya mengurangkan sebanyak lima kilogram untuk mendapat berat 61 kilogram.

AZHAR dan Serina bekerjasama menjayakan Inspirasi Koko buat kali ketiga.

"Saya kena kurangkan lagi berat badan ini bagi mendapat bentuk tubuh lebih menarik pada majlis perkahwinan nanti. Saya kerap ke gimnasium, bermain tenis dan kena menahan selera pada musim perayaan," kata Serina yang mengendalikan program Inspirasi Koko sejak musim kedua.

Tidak terlepas daripada mengganggu mindanya adalah hakikat dia tidak dapat mengundang kesemua rakan terdekat pada majlis yang berlangsung selama tiga hari itu.

"Jika boleh, saya mahu undang semua kenalan dan rakan taulan. Bagaimanapun ia bukan kuasa saya untuk menentukan siapa yang harus dijemput atau sebaliknya. Majlis resepsi umpamanya hanya boleh memuatkan 600 tetamu.

"Jadi, saya ingin memohon maaf awal-awal andainya saya tidak dapat mengundang semua kenalan pada majlis perkahwinan saya ini," katanya lagi yang kini masih sibuk di lokasi, apabila penggambaran siri Roda-Roda KL belum lagi selesai dan pada masa yang sama, dia juga bakal kembali ke lokasi sebuah lagi siri kepolisian, Akademi Polis.

“Kerana sibuk bekerja, cincin perkahwinan pun belum sempat dibeli,” kata gadis berusia 26 tahun ini. Begitupun dia amat bersyukur walaupun cukup sibuk di lokasi apabila rezekinya dalam lakonan tetap murah sejak beberapa tahun lalu.

Menurut anak kedua daripada dua beradik ini, dia juga perlu menyusun semula jadual kehidupannya apabila sudah bergelar isteri. Katanya, jika dilihat kepada rutin kerjanya ketika ini, jelas sekali ia tidak adil buat Gavin, 33.

"Bayangkan, saya habis penggambaran jam 2 atau 3 pagi. Macam mana kami ingin melayari kehidupan berumah tangga seperti pasangan lain? Jika boleh, saya tidak mahu berhenti daripada dunia lakonan selagi masih ada yang menerima kehadiran saya dalam arena seni.

"Begitupun, saya perlu mengatur semula kehidupan selepas berkahwin nanti. Mungkin tidak patut membenarkan diri saya terbabit dalam penggambaran hingga awal pagi. Pembabitan dalam drama kepolisian juga mungkin perlu saya hadkan sedikit.

"Saya percaya, sebagai suami, Gavin pasti mahukan perhatian daripada isterinya. Isteri mana yang tidak mahu menguruskan keperluan suami? Bagi saya, menyediakan segala keperluan seperti pakaian serta makanan untuk suami, masih antara resipi paling bernilai dalam kebahagiaan sesebuah keluarga hingga ke hari ini," ujarnya.

Setia bersama Inspirasi Koko

BERMULA 4 Oktober lalu, Serina kembali ke kaca TV mengendalikan program Inspirasi Koko yang kini sudah pun memasuki musim keempat, sejak diperkenalkan pada 2006. Rancangan sepanjang 30 minit itu disiarkan di TV2 pada setiap Ahad, jam 11 pagi.

"Saya umpama sebahagian daripada keluarga rancangan ini apabila mula bersama mereka pada musim kedua. Nampaknya Lembaga Koko Malaysia berpuas hati dengan cara saya mengacarakan rancangan tajaan mereka, justeru sekali lagi saya dipilih untuk mengendalikan Inspirasi Koko bagi musim terbaru ini," kata Serina.

Program terbabit dihasilkan bagi mendidik serta menyebarkan maklumat dan fakta mengenai teknologi terkini, penggunaan, khasiat dan kebaikan koko kepada penonton terutama golongan suri rumah. Ia juga satu usaha untuk membangunkan industri koko, di samping meningkat dan menggalakkan lagi penggunaan koko di pasaran tempatan.

Kali ini, program terbabit mempunyai empat segmen utama, menyaksikan Serina dibantu Chef Kamarul Hasni Che Rose untuk segmen Sajian Koko. Segmen lain ialah Bicara Koko dan Info Koko, Fakta dan Mitos serta Kreatif Koko. Tidak ketinggalan dimuatkan ialah Kuiz Inspirasi Koko yang menawarkan hadiah berupa wang tunai, buku resipi dan pelbagai hadiah iringan lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: