Monday, October 5, 2009

Tarian aerobik dari Colombia

Zumba merupakan pergerakan yang berunsur tarian membawa mood yang menyeronokkan kepada si penari dan membantu menguatkan otot.




"ADAKAH ini tarian Orang Asli puak Afrika?" soal Thanuja Ananthan sambil menunggu kelas latihan Zumba dimulakan. Rakannya, Laura Yong Choi Yi hanya mampu mengulang nama yang aneh itu ketika ditanya berhubung perkara tersebut.

Thanuja, Laura dan rata-rata peserta Miss World Malaysia 2009 yang lain tidak begitu pasti dengan Zumba. Barangkali sebahagian besar pembaca juga tidak mengenali Zumba kerana ia masih baru.

Zumba bukan berasal dari Afrika, tetapi ia adalah pergerakan yang mempunyai unsur-unsur tarian. Perkataan Zumba bermakna parti dalam bahasa Latin berasal dari Colombia, Amerika Selatan.

Zumba popular pada tahun 1990-an dan sangat dikenali di Mexico, Jepun dan Amerika Syarikat (AS). Ia diperkenalkan oleh Beto Perez bersama dua orang usahawan lain iaitu Alberto Pelman dan Alberto Aghion.

Beto Perez merupakan seorang penari dan koreografer dari Miami, AS mencipta program senamrobik itu secara tidak sengaja. Kisahnya bermula apabila pada suatu hari dia terlupa menyediakan pita rakaman muzik untuk kelas latihan anak-anak buahnya.

Suntuk masa

Ekoran kesuntukan masa, beliau mengeksploitasi muzik tradisional Latin.

"Sambil mendengar beberapa koleksi muzik di dalam kereta, Perez kreatif menghasilkan adunan muzik dan pergerakan lincah dalam kelas senamrobik," jelas Sunny Cheong Meng Sun, jurulatih aerobik di Celebrity Fitness, Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor.


PERGERAKAN Zumba boleh membakar 500 kalori.


Dari situ, Zumba yang menghimpunkan genre muzik fusion Latin dan variasi rentak lagu antarabangsa disemarakkan dengan tema tarian tertentu. Kombinasi itu seterusnya melahirkan sebuah sistem pergerakan atau senaman yang cukup dinamik dan efektif untuk membina otot yang kuat.

"Senaman aerobik Zumba semakin dikenali di Malaysia. Ia dibawa ke negara ini pada April tahun lalu," ujar Meng Sun.

Latihan fizikal

Menurut Meng Sun, seramai 19 peserta peringkat akhir Miss World Malaysia 2009 mengikuti latihan fizikal di Celebrity Fitness. Akhirnya, Tanuja dinobatkan sebagai pemenang Miss World Malaysia 2009 pada Jumaat lalu.

Berbanding kelas Yoga dan senamrobik yang lain, Zumba lebih segar dalam membawakan mood keseronokan. Ia mudah dipelajari oleh sesiapa pun.

"Mereka yang berada di tahap asas juga digalakkan menyertai kelas aerobik Zumba yang terbukti dapat menghasilkan bentuk tubuh yang kuat dan menawan," kata Meng Sun.


BARISAN jelitawan peserta Miss World Malaysia 2009 bergambar di gimnasium Celebrity Fitness Centre Sunway Pyramid.





Jika anda layari laman web video, YouTube, keunikan Zumba dapat disaksikan secara langsung. Ia bagaikan satu wabak yang melanda hampir di semua kelab-kelab atau gimnasium di peringkat antarabangsa.

Di pasaran tempatan, Zumba boleh diikuti di pusat-pusat kecergasan Celebrity Fitness yang terletak di Sunway Pyramid, Lot 10, Mid Valley, Kuala Lumpur dan 1 Utama.

Meng Sun yang sudah lebih tiga tahun bertugas sebagai seorang pakar pembimbing aerobik menjelaskan, setakat ini dia mempunyai sekurang-kurangnya 60 orang pelajar yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, umur, kerjaya dan saiz badan.

Kuatkan otot

Kombinasi rutin tarian seperti salsa, merengue, rumba, gelek pinggang dan flamenco tetap mencuri perhatian pelajar-pelajar yang asyik menggoyang anggota badan secara bebas.

Meng Sun menegaskan Zumba yang menyasarkan bahagian kaki, tangan dan abdomen, membantu menguatkan otot. "Anda bukan sahaja terasa gembira, ia membangkitkan keyakinan dalam diri, terasa muda dan bersemangat," ujarnya.

Menerusi tarian Zumba, seseorang boleh membakar sehingga 500 kalori. Bagaimanapun, ia bergantung pada kekerapan seseorang mengikuti kelas tersebut.

"Dua atau tiga kali dalam seminggu dianggap sudah memadai.

"Penggemar Zumba disyorkan untuk mengangkat dumbell dan berlari di atas treadmill untuk mengimbangkan kesihatan kardiovaskular," tambahnya.

Thanuja, 24, yang kerap melakukan Asthana Yoga selama 45 minit, tidak ketinggalan menikmati kegirangan Zumba. Aksi tariannya sudah cukup menyempurnakan kesungguhannya untuk mendalami senamrobik itu.

Laura, 19, yang gemar dengan aktiviti memanjat dinding batu, kelihatan asyik menari apabila lagu Jai Ho daripada filem Slumdog Millionaire berkumandang.

Kesihatan

Pelajar di salah sebuah institusi pengajian tinggi itu berpendapat, Zumba merupakan salah satu senaman ringan yang baik untuk mengekalkan kesihatan mereka yang sentiasa sibuk.


DARI kiri : Chantelle Chuah Shee Peng, Thanuja Ananthan dan Laura Yong Choi Yi teruja melakukan tarian Zumba.


Terasa lebih bertenaga, Chantelle Chuah Shee Peng, 24, menjelaskan : "Saya suka tarian kerana sebelum ini pun saya minat dalam tarian balet dan salsa. Ia membantu mengekalkan kecergasan fizikal dan mental secara serentak."

"Zumba yang rancak dengan muzik hip hop, rumba dan sedikit salsa, menambat hati walau pada perkenalan pertama ini," jelasnya.

Walaupun mengambil jurusan perakaunan, Shee Peng dengan ketinggian 174 sentimeter itu bercita-cita menceburi bidang fesyen dan hiburan.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran dan Promosi Kanan Celebrity Fitness, Evelyn Low berharap agar gadis-gadis itu menggunakan peluang yang ada mempelajari tarian aerobik Zumba sebaik-baiknya.

"Kami berharap mereka berasa lebih sihat dan yakin setelah melakukan tarian Zumba.

"Selepas ini finalis Miss World Malaysia 2009 boleh berlatih dengan selesa di rumah masing-masing dan memaksimumkan rutin seharian," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: