Wednesday, October 7, 2009

Sondhi jadi ketua parti politik




BANGKOK - Pengasas kumpulan 'Baju Kuning' Sondhi Limthongkul (gambar) semalam dipilih sebagai ketua sebuah parti politik baru yang ditubuhkan oleh pergerakan itu, kata kumpulan berkenaan.

Kumpulan baju kuning yang diterajui Sondhi aktif menentang bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra sehingga menyebabkan Thaksin digulingkan oleh junta tentera.

Pada tahun lalu, beliau turut mengetuai satu kepungan ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di sini.

Kumpulan tersebut berkata, Sondhi dipilih mengetuai parti baru itu yang dinamakan Parti Politik Baru pada mesyuarat agung pertamanya.

Pemangku Ketua Kumpulan Baju Kuning, Somsak Kosaisuk pula dipilih sebagai timbalan presiden parti berkenaan.

"Inilah ketua baru kita, Sondhi," Somsak memberitahu satu perhimpunan di sini yang disiarkan secara langsung menerusi saluran televisyen ASTV milik Sondhi.

Pada mesyuarat agung parti baru itu, sebanyak 1,741 perwakilan memilih Sondhi sebagai presiden, 61 menentang manakala 73 yang lain memilih untuk tidak mengundi.

Bekas parti yang dipimpin Sondhi iaitu Pakatan Untuk Demokrasi (PAD) menyatakan parti baru itu ditubuhkan bagi memperjuangkan politik bersih yang bebas daripada pelbagai amalan buruk terutamanya rasuah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: