Saturday, October 17, 2009

Simbolik Jyothi Villaku




DEEPAVALI disambut setahun sekali oleh lebih daripada satu bilion umat Hindu di serata dunia. Kemeriahan sambutannya boleh disaksikan dari bumi sejauh Texas, Amerika Syarikat sehinggalah ke Trinidad, United Kingdom, Fiji, Afrika Selatan, Myanmar, Singapura, Australia, New Zealand dan sudah tentu, negara kita Malaysia.

Biasanya, perayaan yang juga dikenali sebagai Perayaan Cahaya itu jatuh pada bulan Aippasi mengikut kalendar Hindu. Namun, tahun ini, ia jatuh pada hari terakhir bulan Puratasi sebelum bermulanya Aippasi.

Masyarakat di selatan India meraikannya selama tiga hari berturut-turut berbanding lima hari di sebelah utara negara itu.

Di Malaysia, perayaan Deepavali disambut sehari tetapi terpulang kepada individu untuk mengadakan rumah terbuka sebanyak mana hari yang mereka mahu. Namun begitu, masyarakat India yang tinggal di kawasan ladang dan estet menyambut perayaan itu lebih lama dalam suasana kampung.

Selain mandi minyak seawal pukul 3 pagi, penganut Hindu akan mengenakan pakaian tradisional seperti sari, salwar dan jeepa untuk meraikan Deepavali. Mereka juga bersembahyang di kuil sebelum pulang semula ke rumah untuk menyambut tetamu dengan sajian istimewa.

Dalam pada itu, terdapat beberapa versi yang menjelaskan kebesaran sambutan itu. Dalam kalangan masyarakat Hindu, legenda sambutannya berkait rapat dengan kejayaan Dewa Krishna menewaskan makhluk jahat iaitu Narakasura, pemerintah Pradyoshapuram. Ada juga kisah lain yang menceritakan tentang kepulangan Dewa Rama ke Ayodhya selepas dibuang negeri selama 14 tahun dan berjaya menumpaskan kuasa jahat, Ravana.

Apapun signifikan yang disampaikan, kemeriahannya lebih menyerlah seandainya barisan pelita yang diperbuat daripada tanah liat disusun rapi menghiasi kawasan persekitaran rumah. Perbuatan menyusun pelita itu amat penting kerana ia secara langsung menterjemahkan maksud kegelapan hidup yang dilalui selama ini akan diterangi cahaya yang membawa kebahagiaan dan kesejahteraan.

Malangnya dalam zaman sekarang, sebahagian besar penganut Hindu tidak tahu tentang upacara memasang pelita yang dinamakan Jyothi Villaku. Upacara itu sebenarnya bersangkut paut dengan penghayatan terhadap kuasa cahaya atau dikenali sebagai jyothi dalam bahasa Tamil. Untuk pengetahuan umum, perkataan Deepa daripada perkataan Deepavali mengungkapkan makna jyothi.

Pasangan suami isteri, Santhiran Chinnathamby, 48, dan Jayasree Raman, 40, mengakui mereka adalah antara individu yang tidak peka tentang keunikan upacara Jyothi Villaku.


SARAWATHY (kanan) memegang pelita utama memasuki perkarangan rumah Jayasree sambil diiringi sekumpulan kanak-kanak.


"Saya mendapat tahu tentang upacara ini daripada seorang kawan. Setelah berbincang dengan suami, kami bersetuju mengadakannya di rumah menjelang Deepavali," jelas Jayasree, ibu kepada empat cahaya mata semasa ditemui Kosmo! di rumahnya di Puchong Perdana, Selangor.

Ketika bertanya kepada orang ramai tentang upacara itu, Jayasree secara kebetulan diperkenalkan kepada kumpulan Thirunavukkarasu Kullivinar. Kumpulan itu merupakan antara pengasas yang giat mempelopori upacara Jyothi Villaku sejak tiga tahun lalu. Selain ahli dewasa, turut menyertai kumpulan itu adalah 32 kanak-kanak dan remaja yang berusia di antara empat hingga 17 tahun.

Lazimnya, kumpulan itu memenuhi jemputan ke rumah pada hujung minggu memandangkan ramai ahli hanya mempunyai kelapangan pada waktu itu, selain tidak mahu menganggu perjalanan persekolahan anak-anak. Lagipun, upacara kerohanian itu berlangsung selama sebulan sebelum tibanya Deepavali.

Pada tahun pertama pelancaran kumpulan itu, hanya 17 buah rumah berminat menjemput kumpulan itu untuk mengadakan aktiviti nyanyian keagamaan di rumah mereka. Namun, pada tahun lalu, bilangan rumah bertambah kepada 40 buah.

"Sambutan pada tahun ini lebih memberangsangkan kerana 60 buah rumah di sekitar Puchong dan Klang menyatakan keinginan untuk mengadakan upacara ini," jelas koordinatornya, Saraswathy Kannan, 60, yang dibantu oleh Bharathi Balakrishnan, 42, Navaletchumy Munisamy, 34, Sundari Moniandy, 39 dan Vasuge Perumal, 39.


KANAK-KANAK daripada kumpulan Thirunavukkarasu Kullivinar sedang asyik menyanyikan lagu keagamaan.


Tambahnya lagi, penganut Hindu hanya perlu menyediakan barangan sembahyang yang paling asas seperti kemenyan, bunga melor, buah-buahan dan sedikit juadah makanan.

Menurut Saraswathy, upacara Jyothi Villaku dimulakan tepat pukul 7.30 malam di mana pelita utama dinyalakan di rumahnya sebelum pelita-pelita kecil dibawa oleh kanak-kanak ke rumah mereka yang menjemput kumpulan itu.

Sewaktu memenuhi jemputan ke rumah Jayasree, Saraswathy mendahului perarakan diikuti kanak-kanak yang berzikir. Dari perkarangan luar rumah, mereka perlahan-lahan berjalan masuk ke dalam rumah dan menyusun pelita di hadapan tempat sembahyang.

Kumpulan itu kemudiannya mengambil tempat duduk di atas lantai sebelum melengkapkan tiga pusingan persiapan menyanyikan lagu keagamaan.

Pertama, Mounam (bertafakur) disusuli Thyanam (duduk dalam posisi bersila dengan tangan di atas paha) dan akhirnya Pranavam (menyebut perkataan 'Aum' sebanyak tiga kali). Apabila selesai, barulah kanak-kanak itu akan melagukan enam buah lagu selama 30 minit. Sambil memanjatkan kepujian dan kesyukuran kepada Tuhan, pelita yang dibawa dipastikan tidak terpadam dengan menuang minyak yang cukup.

"Kami berasa kagum dengan dedikasi dan akauntabiliti yang ditunjukkan," ujar Jayasree dengan bersungguh-sungguh.

"Saya dan keluarga kini dapat mengamati dan menghargai kemuncak sambutan Deepavali. Kami sedar, ia lebih daripada sekadar berpakaian baru," katanya lagi yang gembira kerana kumpulan Thirunavukkarasu Kullivinar sudi menyempurnakan upacara Jyothi Villaku di rumahnya dengan baik.


PELITA yang dibawa disusun kemas di hadapan tempat sembahyang.


Penghayatan itu turut dipersetujui oleh seorang kawannya, Selvi Selvathurasamy, 49, dan suaminya, Manokaran Puttappan, 52. Baru pertama kali menyaksikan kesederhanaan dalam meraikan Deepavali, mereka bagaikan terpanggil untuk menganjurkan upacara itu di rumah sendiri pada tahun akan datang.

"Dalam sehari, kami berkunjung ke tiga buah rumah dan berpatah balik untuk memadamkan pelita di rumah asal," sambung Saraswathy yang mengharapkan lebih banyak sokongan dan dorongan diterima agar dapat diperluaskan ke seluruh Malaysia.

Sebelum berangkat pulang, kanak-kanak itu disajikan dengan hidangan tradisional seperti vadai dan minuman jus. Turut aktif menjayakan upacara itu ialah anak-anak Bharathi, Navaletchumy, Sundari dan Vasuge.

"Upacara ini sememangnya membangkitkan kesedaran dalam diri supaya sentiasa taat kepada Tuhan dan mendoakan yang terbaik buat seisi keluarga," ujar Navaletchumy.

Daripada aspek pembentukan kendiri kanak-kanak, Sundari dan Vasuge yakin bahawa upacara itu membantu memupuk dan memelihara peribadi baik seseorang sejak usia muda.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: