Tuesday, October 13, 2009

Sheila, Nadia senasib


SHEILA Abdul (kiri) dan Nadia.


MENGATUR langkah sendiri mengharungi arus dunia hiburan, dua anak seni berwajah manis ini masih menaruh keyakinan positif akan nasib masa depan bidang nyanyian yang diceburi.

Biar populariti yang cuba diraih seakan kurang memihak, itu semua bukanlah alasan mudah untuk mereka menyerah kalah di peringkat awal.

Pernah diuji dengan hilangnya 'tempat bergantung' ekoran syarikat rakaman yang dinaungi sebelum ini 'tutup kedai', ujian itu dianggap mereka sebagai penguat semangat bagi meneruskan perjalanan seni masing-masing.

Begitulah ujian yang dilalui Nursheila Abdullah atau nama komersialnya, Sheila Abdul serta pemilik diri bernama Nadia Haswani Hasnan yang lebih dikenali sebagai Nadia.

Bagi mereka, memilih hidup sebagai penyanyi bukanlah sesuatu yang perlu disesalkan lantaran minat yang mendalam terhadap bidang tersebut.

Justeru, hidup perlu diteruskan dan tidak perlu lagi untuk 'meratapi' kekalahan yang dilalui.

Berkongsi nasib yang sama, namun, kedua-dua mereka mampu menarik nafas lega apabila disunting sebuah syarikat rakaman untuk bernaung di bawahnya.

Dream Music Sdn. Bhd., meski masih baru, ia menjadi tapak baru untuk mereka memulakan segala-galanya.

Menurut Sheila, menandatangani tiga tahun kontrak bersama Dream Music, dirinya diberikan kebebasan untuk memilih konsep dan genre lagu bagi album atau single seterusnya nanti.

Jelasnya, ekoran kurang menyerlah selepas muncul dengan album terdahulu, album kedua nanti pasti memperlihatkan imejnya yang baru.

" Kalau dulu, saya suka konsep lagu-lagu yang diketengahkan tetapi agak kurang menarik perhatian pendengar.

" Saya tidak anggap ia satu kesilapan. Insyaallah, untuk konsep seterusnya, saya lebih suka kepada eksperimental pop.

" Sekarang ini sedang proses cari material untuk lagu. Mungkin selepas ini tidak akan hasilkan album tetapi lebih kepada single,'' katanya ketika ditemui pada sambutan rumah terbuka Aidilfitri Dream Music di Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ujar Sheila yang pernah popular dengan lagu Mungkinkah, walaupun bernaung di bawah Dream Music, tetapi segala urusan mengenai kariernya diuruskan sendiri melalui syarikat pengurusan miliknya, Purple Dot Agency.

Katanya, sebaik syarikat rakaman yang dinaungi sebelum ini ditutup, dirinya mengakui agak tertekan dan gentar untuk melalui hari mendatang.

" Waktu itu, album saya baru sahaja berada di pasaran. Nama pun masih baru dikenali.

" Tapi saya bersyukur kerana tidaklah tergantung lama sangat. September lalu saya menyertai Dream Music.

" Nasib baik saya sudah pelajari macam-macam sewaktu berada dengan syarikat rakaman sebelum ini mengenai selok-belok dunia hiburan,'' jelasnya.

Ditanya mengenai peluang-peluang di bidang lain yang mahu diterokainya, Sheila bagaimanapun berkata : "Buat masa ini, saya mahu tumpu kepada nyanyian terlebih dahulu. Mungkin, kalau ada tawaran, saya akan cuba berlakon atau bidang seni lain.''

Nadia selesa bergerak sendiri

Sementara itu, bagi bekas pelajar Akademi Fantasia musim keenam (AF6) ini pula, dia selesa bergerak dan menguruskan karier dengan sendiri melalui syarikat pengurusan miliknya, Nadia Cribs Entertainment.

Turut mengakui susah untuk dirinya lebih dikenali atau popular, Nadia berkata, dia tidak lupa berdoa dan berusaha demi masa depannya.

"Saya sudah bersama Dream Music beberapa bulan lalu. Tetapi, kontrak saya bersama syarikat rakaman itu hanyalah untuk satu single sahaja.

"Selepas itu, saya bebas untuk membuat keputusan. Single saya berjudul Kita Sama pun sudah siap dirakam.

"Kita Sama, lagunya ciptaan Amir dan lirik oleh saya sendiri. Ia mengisahkan tentang percintaan remaja,'' ujarnya.

Kata Nadia, bergerak secara sendiri, ia lebih memberinya kepuasan dan banyak yang dipelajarinya termasuk berkaitan mencari peluang-peluang undangan persembahan dan sebagainya.

" Segalanya kita kena ambil tahu. Walaupun risikonya amat tinggi, saya bersyukur kerana ahli keluarga banyak membantu,'' jelasnya yang berlakon dalam drama Angguk-Angguk Geleng-Geleng yang sudah memasuki ke musim ketiga.

Ujar si pemilik bertubuh genit ini, konsep yang diperjuangkan tetap rock kerana ia sudah sebati sebelum dirinya memasuki Akademi Fantasia lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: