
Akan tetapi, entah di mana silapnya, penyanyi lagu tersebut, Sheila Abdull yang baru sahaja berusia 21 tahun tidak mendapat publisiti meluas daripada media-media tempatan.
“Ketika lagu tersebut sedang popular di radio-radio tempatan, saya bernaung di bawah syarikat rakaman antarabangsa, EMI. Malangnya, selepas sahaja album saya dilancarkan, syarikat tersebut menghentikan operasinya sedangkan ketika itu saya baru sahaja memperkenalkan single kedua, Lepaskanlah dan single ketiga, Cinta Luar Biasa.
“Jadi, proses mempromosikan album dan single saya terbantut disebabkan penutupan EMI. Itulah antara faktor peminat lebih mengenali lagu Mungkinkah berbanding orang yang menyanyikan lagu itu. Apa pun, saya anggap itu sebagai cabaran yang perlu dihadapi sebagai artis,” katanya meluahkan isi hatinya.
Kini, atas kegagalan tersebut, Sheila bangkit menguruskan sendiri aktiviti seninya dengan menubuhkan syarikat pengurusannya sendiri yang dinamakan Purple Dot Agency.
“Selepas melihat sendiri pengalaman artis yang menguruskan sendiri kerjaya seni mereka, saya pun membuat keputusan untuk menguruskan sendiri aktiviti seni saya. Lagi pun, pihak EMI pernah memberi tunjuk ajar cara-cara untuk menghadapi masalah dan cabaran yang bakal ditempuhi sebagai seorang anak seni.
“Dengan adanya syarikat pengurusan ini, saya berharap segala perjalanan seni saya berjalan dengan lancar. Harap tidak ada apa-apa masalah yang timbul,” jelas anak kelahiran Johor ini.
Selain itu, Sheila baru sahaja menandatangani kontrak dua tahun bersama sebuah syarikat rakaman tempatan yang baru ditubuhkan iaitu Dream Music Sdn Bhd. Di bawah syarikat rakaman ini, Sheila ingin menjenamakan semula dirinya dengan mengetengahkan genre eksperimental pop untuk lagu-lagu terbarunya nanti.
“Ketika album bersama EMI dahulu, saya memang meminati genre pop ballad. Tetapi, kini saya ingin fokuskan terhadap konsep atau genre yang lebih diminati ramai,” katanya kepada media ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka anjuran Dream Music dan Dream Chorus di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay, baru-baru ini.
Menyentuh mengenai seni yang lain, katanya, minat untuk mengacara dan berlakon itu ada tetapi beliau ingin mengukukuhkan karier di bidang nyanyian.
"Lagipun saya baru lagi dan nama saya masih belum dikenali ramai," katanya.
Sheila berkata, tidak lama lagi beliau akan mula sibuk mengumpulkan bahan untuk menghasilkan single terbarunya sebelum tampil dengan album terbaru.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: