Monday, October 19, 2009

Sehati Berdansa yang kontroversi


Khairul Mizan Shagul ( berdiri sembilan dari kiri) bersama para peserta dan koreografer yang bakal beraksi dalam Sehati Berdansa musim ketiga.


SEHATI Berdansa kini kembali untuk musim ketiga. Sebanyak sembilan pasangan selebriti serta sembilan koreografer diperkenalkan baru-baru ini, turut sama membantu mengumpul dana untuk disalurkan kepada badan-badan kebajikan yang diwakili.

Pasangan-pasangan selebriti yang terpilih ialah Sazzy Falak dan Nazril (koreografer Papa J) yang mewakili Persatuan Parkinson Malaysia, Didie Alias dan Nor Isham (Koreografer BB) mewakili Persatuan Epilepsi Malaysia, Enot dan Zainul (koreografer Anuar) mewakili Yayasan Paru-paru Malaysia serta Isma dan Zul (koreografer Markyong) mewakili Persatuan Klef Bibir dan Lelangit Malaysia.

Tidak ketinggalan, Anita Baharom dan Ismadi (koreografer Emma) mewakili Persatuan SLE Malaysia, Dira dan Ash (koreografer Ezrey) mewakili Persatuan Thalassemia Malaysia, Mirnawan Nawawi dan Norah (koreografer Dayana) mewakili Persatuan Kanak-Kanak Spastik Selangor dan Wilayah Persekutuan, Oshin dan Firdaus (koreografer Lilly) mewakili Persatuan Angin Ahmar Kebangsaan Malaysia serta Sein dan Nana (koreografer Bayu) mewakili Persatuan Albinisma Kuala Lumpur dan Selangor.

Program yang mendapat tajaan utama oleh Celcom dan tajaan bersama Modenas itu membuka tirainya menerusi slot Kenali Sehati Berdansa pada 17 dan 18 Oktober lalu pukul 9 malam.

Manakala slot berbentuk diari, Detik Sehati Berdansa bakal memulakan siarannya pada 19 Oktober ini setiap Isnin hingga Khamis pukul 9 malam.

Malam Sehati Berdansa pula bersiaran setiap Sabtu pukul 9 malam bermula 24 Oktober ini. Sementara, slot penyingkiran Debaran Sehati Berdansa bersiaran setiap Ahad pukul 9 malam bermula 25 oktober ini.

Bagaimanapun, belum pun bermula program realiti berkonsepkan tarian bagi musim yang ketiga itu, kontroversi sekali lagi melanda.

Jika sebelum ini kontroversi di kalangan beberapa pesertanya yang mengalami keruntuhan rumah tangga selepas menyertai program tersebut, kali ini kocakannya lebih kuat apabila kontroversi terbaru yang tercetus melibatkan pengacaranya pula.

Entah di mana silapnya, pasangan serasi Scha Alyahya dan aktor kacak, Fahrin Ahmad baru-baru ini dikatakan sudah tidak lagi sehati.

Kisah cinta tidak kesampaian itu sekali lagi mengheret nama program terbitan Astro itu untuk sama-sama menanggung impaknya.

Tidak cukup dengan itu, rakan pengacara mereka, Awal Ashaari pula dikatakan kononnya mempunyai hubungan cinta dengan Scha.

Tidak habis-habis kontroversi khalayak memperkatakan tentang rancangan tersebut.

Mungkin kerana ia merupakan program yang disertai oleh golongan selebriti, maka tempiasnya secara tidak langsung terpalit juga. Namun, segalanya terpulanglah kepada kebijaksanaan masyarakat untuk membuat tafsiran.

Bagi Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul pada sidang media memperkenalkan peserta program tersebut di Hotel Sunway Resort baru-baru ini, segala yang berlaku adalah secara kebetulan.

"Bagi saya hal putus cinta adalah perkara peribadi kepada mereka. Kami memilih Scha kerana popularitinya dan percaya kepada kebolehannya.

"Mengambil Scha bergandingan sebagai pengacara untuk musim ini sebab dia juga merupakan pelakon siri yang cukup popular di Astro Ria iaitu Awan Dania.

"Mereka saya lihat begitu profesional dalam mengendalikan rancangan ini. Apa yang saya harapkan perjalanan Sehati Berdansa untuk musim ini berjalan dengan lancar," katanya.

Program yang mengangkat nama dua pasangan popular, Vanidah Imran dan Rashidi Ishak serta Lisdawati dan Fauzi Nawawi sebagai juara itu sebenarnya bukanlah pencetus kepada keretakan rumah tangga.

Selain bertujuan mengumpul dana membantu badan kebajikan yang diwakili, program tersebut secara tidak langsung mengeratkan lagi hubungan suami isteri di kalangan selebriti yang bertanding.

Pasangan ini mungkin dilihat mempunyai kelebihan dari segi undian memandangkan kedua-duanya sudah mempunyai peminat yang ramai. Zul sebelum ini terkenal sebagai anggota kumpulan 2 by 2 manakala Isma pula merupakan bintang kelahiran Akademi Fantasia.

Tidak mahu faktor peminat dipertikaikan, kata Isma, kesemua selebriti yang bertanding mempunyai kelebihan dan peminat yang tersendiri.

"Saya menonton Sehari Berdansa sejak musim pertama lagi dan apa yang saya lihat, undian serta pemarkahan kebanyakannya bergantung kepada kebolehan setiap pasangan.

"Berbanding dengan rancangan realiti lain, pemarkahan dalam Sehati Berdansa turut diperolehi daripada juri. Maka peluang terbuka kepada sesiapa sahaja yang bertanding," kata Isma.

Biarpun sudah terbiasa berhadapan dengan kamera, namun, Sazzy dan suaminya, Nazril mengakui kekok beraksi apatah lagi menari di hadapan penonton.

Bagi Sazzy yang sebelum ini sudah mempunyai asas menari, kesukaran tersebut tidak seberapa jika dibandingkan dengan Nazril.

"Kami telah ditawarkan oleh Astro untuk menyertai program ini sejak musim pertama lagi. Namun, setelah menghubungi Vanidah dan bertanya tentang pengalamannya dan kami terfikir kenapa tidak kami cuba sertainya.

"Apa yang menarik saya lihat tentang program ini, kami dapat luangkan waktu bersama kerana sebelum ini masing-masing sibuk. Bila lagi nak dapat pengalaman menari bersama seperti ini," kata Sazzy yang menggemari tarian Latin termasuk salsa.

Bagi pelakon komed, Didie Alias, menyertai Sehati Berdansa 3 memberi pengalaman berbeza buat dirinya apatah lagi, kehadirannya menambah keceriaan dalam program itu yang memerlukan sedikit humor untuk musim kali ini.

"Biarpun saya antara yang senior dalam program ini, namun saya tidak rasa langsung untuk bersaing. Sebaliknya, saya memikirkan ia sebagai salah satu cara untuk lebih mengenali rakan-rakan artis yang turut sama bertanding," kata Didie.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: