Wednesday, October 14, 2009

Sayang Qabil sebagai kawan




PADA awalnya, dia berjanji akan mengumumkan siapakah lelaki yang bakal menjadi suaminya apabila tiba masanya nanti. Namun apakan daya, manusia hanya merancang tapi Tuhan yang menentukan segala-galanya. Belum sempat Fasha Sandha berkongsi kegembiraan mengenai hari bahagianya itu, tiba-tiba lelaki yang dikatakan bakal menjadi suaminya itu tampil membuat pengakuan di akhbar mengatakan yang dia tidak jadi untuk berkahwin dengan pelakon itu.

Menerusi laporan yang dikeluarkan akhbar Harian Metro minggu lalu, atlit ekuin kebangsaan, Qabil Ambak Mahamad Fathil mengatakan dia terpaksa mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana tidak mahu ada pihak keliru atau tersalah anggap. Tanpa menjelaskan alasan sebenar perpisahan mereka Qabil cuma menyatakan Fasha sudah sedia maklum mengapa hubungan mereka tidak mampu kekal lama

Andai benarlah lelaki yang Fasha maksudkan sebelum ini adalah Qabil, pastinya hakikat itu amat sukar untuk ditelan. Bayangkan, lelaki yang sebelum ini diharapkan menjadi payung buatnya tiba-tiba mengundurkan diri begitu saja. Namun jelas Fasha, keputusan untuk tidak mendirikan rumah tangga itu sebenarnya dibuat atas persetujuan bersama. Bagaimanapun, alasan serta punca mengapa mereka berbuat demikian, dibiarkan Fasha tanpa sebarang jawapan.


Realistik dengan lumrah alam percintaan yang tidak pernah memberi apa-apa jaminan, Fasha berkata dia menerima keputusan itu dengan hati terbuka. Tegasnya, apa yang berlaku itu semuanya adalah ketentuan Tuhan dan dia akur menerimanya. Jauh di sudut hati dia juga percaya bahawa tidak semua yang berkasih akan bersatu di penghujungnya dan bukan semua percintaan itu berakhir di jenjang pelamin.

Hip: Adakah Qabil lelaki misteri yang dikatakan Fasha sebagai calon suami seperti yang diuar-uarkan sebelum ini?

Fasha:
Sebenarnya sejak awal lagi saya memang tidak pernah memberitahu mana-mana pihak siapakah lelaki yang bakal menjadi suami saya. Saya hanya katakan yang saya akan umumkan perkara itu apabila tiba masanya nanti. Tapi memandangkan Qabil terlebih dulu membuka mulut membuat penafian itu, jadi saya akui lelaki yang saya maksudkan sebelum ini memang Qabil. Kami memang berkawan baik dan pernah merancang untuk mendirikan rumah tangga. Tapi lumrah kehidupan, kita hanya mampu merencana tapi yang melaksanakannya adalah Tuhan. Saya tidak sedih dengan apa yang berlaku kerana saya pernah melalui ujian lebih teruk dari itu. Cuma apa yang ingin saya jelaskan adalah keputusan untuk tidak meneruskan hasrat untuk berkahwin ini bukanlah keputusan Qabil seorang diri, tetapi saya juga.

FASHA dan Saiful Apek ketika di lokasi penggambaran filem 4 Madu di Sepang Gold Coast.

Hip: Apakah Fasha menyalahkan Qabil apabila hal ini diperbesarkan media? Dan dalam artikel itu, Qabil kata Fasha sedia maklum punca perpisahan itu. Boleh jelaskan?

Fasha:
Saya tidak menyalahkan Qabil kerana saya tahu kenyataan itu dikeluarkannya apabila ditanya media. Dan saya juga memberikan reaksi terhadap apa yang dikatakannya dalam artikel itu. Tidak ada pihak yang bersalah dalam hal ini. Ingin saya tegaskan, perpisahan kami bukan disebabkan keluarga atau adanya orang ketiga. Tapi ia lebih kepada perkara peribadi yang tidak mungkin dapat saya kongsikan bersama masyarakat.

Hip: Mengapa Fasha tidak bersemuka dengan Qabil untuk mendapatkan penjelasan memandangkan dia terlebih dulu membuka cerita ini pada media?

Fasha:
Sewaktu artikel itu tersiar di akhbar, saya berada di Kangar, Perlis kerana anak saudara saya dimasukkan ke hospital kerana alahan ubat. Jadi tumpuan saya pada itu lebih padanya. Lagipun tak perlu saya hendak memanjangkan perkara ini kerana kami berpisah pun cara baik. Jadi biarlah hubungan kami selepas ini kekal begitu.

Hip: Mungkin Fasha mengharapkan keajaiban akan berlaku iaitu hubungan ini akan bertaut kembali jika segala masalah yang membuatkan kalian terpisah berjaya diatasi?

Fasha:
Saya sayangkan Qabil hanyalah sebagai kawan. Dalam hal ini, hati dan perasaan tidak boleh dipaksa-paksa. Biarlah kami kekal berkawan baik saja selepas ini. Kami juga saling mendoakan kebahagiaan masing-masing.

Hip: Kalau begitu mengapa Fasha mengaku yang Qabil adalah calon suami yang Fasha maksudkan sedangkan Fasha menyayanginya sebagai seorang kawan?

Fasha:
Itulah uniknya hubungan kami. Saya memang berkawan rapat dengannya dan kami pernah sama-sama merancang untuk mendirikan rumah. Rasanya bukanlah sesuatu yang luar biasa kalau seseorang itu berkahwin terlebih dulu dan kemudian baru bercinta. Macam orang dulu-dulu. Kami juga mahu menjadi begitu tetapi disebabkan tiada jodoh, hasrat itu terpaksa kami lupakan.

Hip: Fasha tak sedih apabila kejadian seperti itu menimpa diri Fasha?

Fasha:
Saya pernah lalui dugaan yang lebih teruk dari itu. Jadi dalam hal ini, saya anggap apa yang berlaku adalah ketentuan Tuhan. Jodoh, ajal maut semuanya di tangan-Nya. Hidup mesti diteruskan dan saya bersyukur kerana keluarga saya banyak memberi sokongan dalam hal ini.

Hip: Bagaimana pula hubungan Fasha dengan Rizal? Apakah dia punca sebenar impian perkahwinan Fasha musnah di pertengahan jalan?

Fasha:
Hubungan saya dengan Rizal macam biasa. Kami memang berkawan baik tapi dia bukanlah punca perpisahan kami. Malah segala cerita yang tersebar di internet kononnya antara sebab kami tak jadi kahwinnya disebabkan gambar di trek litar lumba kereta bersama Rizal serta majlis rumah terbuka yang saya hadiri, memang tidak benar sama sekali. Cukuplah, hentikanlah menyebarkan cerita yang tidak benar sama sekali. Apa yang berlaku sebenarnya, hanya kami saja yang tahu. Saya juga berharap selepas ini, cerita saya dan Qabil tidak lagi diperbesarkan. Ini adalah kenyataan terakhir dari saya berhubung isu ini.

Hip: Memandangkan Fasha sudah kembali solo, apakah mungkin Fasha akan membuka pintu hati untuk lelaki lain singgah?

Fasha:
Buat masa ini saya tidak mahu memikirkan hal itu. Bukan serik tetapi mahu memberi sepenuh tumpuan saya hanyalah untuk kerja saja. Pun begitu, kalau tiba-tiba ditakdirkan saya bertemu jodoh, biarlah dengan lelaki yang saya cinta.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: