Tuesday, October 13, 2009

Saya tidak terlibat - Faiz


FAIZ menyerahkan buku Merintis Masa Depan, Impian Menjadi Kenyataan kepada Maximus sambil disaksikan Ketua Pengarah Angkasa, Dr. Mustafa Din Subari
di Banting semalam.


KUALA LANGAT - Angkasawan Negara kedua, Mejar Dr. Faiz Khaleed menafikan penglibatannya mahu mendaftarkan Persatuan Angkasawan Malaysia dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) bersama 57 calon Program Angkasawan Negara.

Menurut Faiz, kekeliruan timbul apabila nama jurucakap persatuan tersebut, Kapten Mohammed Faiz Kamaludin hampir sama dengan namanya sehingga ramai keliru bahawa beliau yang mengeluarkan kenyataan berhubung hasrat menubuhkan persatuan itu.

"Sebenarnya orang tersilap, saya tidak membuat kenyataan itu. Itu Faiz Kamaludin yang merupakan salah seorang empat calon angkasawan terakhir.

"Apa yang saya boleh bagi tahu, saya berkhidmat dengan Agensi Angkasa Negara (Angkasa) di bawah MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) dan saya akan beri sumbangan kepada Yayasan Angkasawan Malaysia (YAM)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir ke majlis pelancaran YAM, buku buku Merintis Masa Depan, Impian Menjadi Kenyataan di Pusat Angkasa Negara, Banting di sini semalam.

Baru-baru ini, sekumpulan 57 orang calon Program Angkasawan Negara membuat pendaftaran Persatuan Angkasawan Negara dengan ROS, namun pihak pendaftar menolak permohonan tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: