| SELEPAS kecoh isu adik iparnya, Awie digandingkan dengan bekas tunang, Erra Fazira dalam filem Andartu Terlampau... 21 Hari Mencari Suami terbitan aktres, Haliza Misbun, sekali lagi wanita tabah ini diduga dengan isu 'penyamaran' di Internet. |
Menerusi laman sosial Facebook (FB), nama baik Haliza, 36, tercemar dengan perbuatan individu tidak bertanggungjawab yang menyamar dirinya. Sekali gus, 'melayan mesra' peminat pelakon itu yang mendaftar masuk dalam senarai kenalan.
Haliza dihubungi Harian Metro kelmarin, memaklumkan demi menjaga dan membersihkan nama baiknya, dua laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur pada 11 September lalu dan Balai Polis Bukit Indah, Ampang, Selangor (12 September).
Bahkan, pelakon drama Cinderella ini turut menghantar kedua-dua salinan aduannya kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SSKM) di Cyberjaya. Katanya lagi, sekarang dia masih menunggu dipanggil SKMM untuk memberi keterangan.
"Apa yang boleh dikatakan, perkara yang berlaku ini menyusahkan hidup saya. Malah, banyak masa sepatutnya saya uruskan perkara lain 'dibazirkan' untuk menyelesaikan masalah itu. Justeru, tidak sepatutnya individu berkenaan berbuat demikian.
"Saya berharap dengan aduan selanjutnya di SKMM dapat menyelesaikan masalah ini secepat mungkin terutama mengesan siapa individu terbabit. Ini kerana 'menyamar' diri sebagai individu lain itu adalah kesalahan dari segi undang-undang.
"Sekiranya SKMM dapat mengenal individu yang menyamar itu, saya tidak teragak-agak membawa perkara ini ke tengah. Saya akan mengambil tindakan undang-undang untuk menegakkan kebenaran dan menjadi pengajaran kepada orang lain.
"Jangan sewenang-wenangnya mengambil kesempatan. Malah, kepada 'individu' itu (penyamar) kena berhati-hati sekarang. Apa yang pasti, semua maklumat mengenai diri saya diperolehnya daripada laman web, www.halizamisbun.com," katanya.
Tegas berbicara, Haliza berkata sesiapa yang kenal dirinya, mereka akan tahu bintang utama filem Abang 92 itu bukan seorang yang suka menghabiskan masa dengan melayan peminat di laman siber. Menurutnya, dia lebih gemar membaca buku.
"Saya tidak tahu apa motif sebenarnya 'menyamar' diri sebagai Haliza Misbun. Tetapi, didapati si penyamar ini sangat seronok dapat beramah mesra dengan peminat saya. Namun, jika maklum balas daripada rakan artis atau penggiat seni tanah air pula, tidak dilayan.
"Dalam soal ini, si penyamar terbabit boleh dikatakan cerdik dan licik orangnya. Bagaimanapun, ingin saya jelaskan kepada peminat dan rakan artis serta penggiat seni semua bahawa Haliza Misbun tiada FB sendiri. Saya bukan orang yang suka melayan Internet," katanya.Ditanya bila dia mula mengesan 'penyamaran itu', Haliza berkata dia mengetahuinya daripada teman rapat yang juga penulis skrip untuk filem Andartu Terlampau... 21 Hari Mencari Suami, Sofia J Rhyland ketika berkunjung di rumah wanita itu di Ampang.
Katanya lagi, sebaik Sofia memaklumkan dia terus membuat laporan polis. Menurut Haliza, dia mengesyaki si penyamar itu dalam lingkungan usia awal atau lewat 20-an yang suka melepak dengan rakan. Ini berdasarkan gaya bahasa digunakan si penyamar.
"Apa yang saya baca dalam FB itu contohnya, mata I (saya) kuyu-kuyu jer. Hakikatnya, saya bukan jenis orang yang biasa gunakan ayat seperti itu. Bagi sesiapa yang kenal saya mereka tahu gaya bahasa biasa digunakan ada unsur undang-undang atau macam kerajaan bercakap.
"Oleh itu, saya tidak 'mesra' dalam penggunaan bahasa pasar. Namun, kepada rakan artis semua saya nasihatkan supaya berhati-hati. Jadikan apa yang kini saya alami sebagai pengajaran kerana ada individu tidak bertanggungjawab sanggup ambil kesempatan.
"Jangan begitu mudah menambah kenalan sebaik melihat nama tertera di FB. Begitu juga dengan peminat. Selidik dulu supaya anda tidak menjadi mangsa penipuan," katanya turut mengakui sekalipun tidak 'buta IT' (teknologi maklumat) tetapi Haliza tidak tahu membuka FB.
Menurut dramatis ini, dia tidak malu mengakui kebenaran dirinya tidak tahu membuka FB kerana itulah realitinya. Kata Haliza, dia tidak kisah apa pandangan orang terhadapnya, asalkan kebenaran mengenai si penyamar itu dapat didedahkan kepada umum.
Berdasarkan laporan Harian Metro pada 12 September lalu, Haliza memaklumkan dia malu dan kesal apabila ada individu tidak bertanggungjawab sanggup menipu peminat dengan menyamar sebagai dirinya di FB, Ia juga dianggap mencemarkan imejnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: