Thursday, October 8, 2009

Ringankan beban penerbit

"Duti hiburan untuk filem Malaysia yang ditayangkan di luar negara perlu diperkenalkan demi memberi kesenangan dan kemudahan kepada penerbit" – NORMAN


PENERBIT filem di Malaysia akan mendapat pulangan sebanyak 14 peratus daripada 20 peratus keseluruhan duti hiburan.


Pegawai Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim berkata, pemulangan duti memainkan peranan penting dalam membantu penerbit mengembangkan industri perfileman.

"Kesan duti hiburan sangat besar kerana ia menyelamatkan penerbit dalam pelbagai sudut.

"Kalau kos membikin sesebuah filem sebanyak RM1.5 juta dan kutipan yang diperoleh pula adalah RM3 juta, ditambah dengan 14 peratus pulangan duti hiburan saya percaya penerbit masih mampu meraih keuntungan.

"Selain sumber pendapatan yang didapati menerusi hak VCD, saya lihat pemulangan duti hiburan banyak membantu penerbit untuk terus berkembang sekali gus memberikan mereka peluang untuk terus mewarnai industri seni.

"Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak kerajaan yang sanggup mendahulukan wang terlebih dahulu untuk membayar pulangan duti hiburan kepada penerbit.

"Sebelum ini duti hiburan dibayar lambat dan memakan masa untuk diterima oleh para penerbit filem. Kini semuanya tidak lagi berlaku apabila kami boleh mendapat semula wang ini dalam waktu lebih singkat.

"Sekurang-kurangnya pihak kerajaan mengetahui payah dan perih penerbit filem yang kekurangan kos untuk membikin filem baru lain," jelasnya.


DAVID dan Norman (kanan) antara penerbit yang mendapat pulangan duti hiburan yang tinggi.


Norman mencadangkan agar inisiatif baru diwujudkan untuk filem-filem yang ditayangkan di luar negara. Skim duti hiburan tidak dilaksanakan untuk filem yang dibawa ke negara asing.

"Kebiasaannya penerbit yang membawa filem mereka ke luar tidak mendapat sebarang tajaan daripada mana-mana pihak. Saya rasa perlu ada usaha diwujudkan bagi membawa lebih banyak filem kita ke luar negara.

"Oleh itu duti hiburan untuk filem Malaysia yang ditayangkan di luar negara perlu diperkenalkan demi memberi kesenangan dan kemudahan kepada penerbit," luah Norman lagi.

Penerbit Metrowealth Movies Production (MMP), David Teo merupakan penerbit filem paling banyak menerima tunggakan duti hiburan dari tahun 2000 hingga 2004 dengan jumlah kira-kira RM500,000.


MUSTAPHA


Pemulangan duti hiburan yang diberikan pada Ogos 2006 itu meliputi lapan filem terbitan MMP berjudul Syukur 21, Mistik, Mami Jarum Jr., Cinta Kolesterol, Mami Jarum, No Problem, Mendam Berahi dan Jutawan Fakir.

Filem Impak Maksima di bawah terbitan Excellent Pictures Sdn. Bhd. sebelum ini turut menjadi penerima pulangan duti hiburan berjumlah RM365,675.35 pada Jun 2008.

Pengarah filem berkenaan, Ahmad Idham memberitahu, pulangan duti hiburan tidak diberikan 100 peratus oleh Finas kepada para penerbit. Sebaliknya sebanyak enam peratus ditolak daripada jumlah kutipan duti hiburan untuk kegunaan tertentu.

"Seingat saya, Finas akan memperuntukkan sejumlah wang untuk tabung pembangunan, Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) dan tujuan pentadbiran sebelum baki 14 peratus diberikan kepada penerbit.

"Paling penting, saya lihat pemulangan duti hiburan cukup membantu penerbit untuk terus berkarya. Sebelum ini duti hiburan diberikan kepada para produser disebabkan industri seni agak goyah dan tidak menentu kedudukannya.


AHMAD IDHAM


"Banyak penerbit yang bergantung kepada jualan tiket panggung semata-mata sebelum ini sekali gus menyukarkan mereka untuk mendapatkan pulangan kos menghasilkan filem sebelum kewujudan duti hiburan.

"Kini walaupun tidak membantu sepenuhnya, sekurang-kurangnya penerbit dapat bernafas dengan lega untuk membikin karya masing-masing apatah lagi selepas mendapat bayaran duti hiburan daripada kerajaan," jelasnya.

Penggiat seni veteran, Datuk Mustapha Maarof dalam kenyataannya kepada pihak media sebelum ini memberitahu dia cukup berbangga dengan usaha yang dilakukan oleh kerajaan untuk meringankan beban para penggiat seni.

"Pemulangan duti hiburan membolehkan lebih ramai artis berkarya dan meluaskan bakat yang dimiliki. Kesannya, industri hiburan dan filem tempatan mampu berkembang dengan wujudnya skim bantuan tersebut.

"Cuma saya mahu beri cadangan kepada pihak kerajaan supaya menambah jumlah pawagam sedia ada. Ini kerana jumlah pawagam yang ada sekarang tidak mencukupi untuk menampung tayangan filem-filem terutama karya tempatan," ujarnya ringkas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: