
![]() |
| A. RAHMAN menunjukkan laporan Kongres Kebangsaan Industri Hiburan dan Kesenian Malaysia yang telah dibukukan. |

SEBELUM ini sudah banyak persatuan dan pengamal seni bersuara tentang dilema yang telah lama menghantui industri hiburan. Bukan sedikit masalah yang terpaksa dipikul karyawan seni semata-mata demi minat, menghiburkan orang serta menyambung warisan budaya.
Sehubungan itu, bermula dari Kongres Kebangsaan Industri Hiburan dan Kesenian Malaysia yang diadakan pada tahun lalu di Johor Bahru, maka terhasil laporan yang kini dibukukan hasil usaha Majlis Perundingan Industri Hiburan Dan Kesenian Tanah Air (Mahkota) dengan kerjasama kerajaan negeri Johor serta Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Ia sebagai panduan dan kajian pihak berkenaan.
Pada majlis sidang media buku Kongres Kebangsaan Industri Hiburan dan Kesenian Malaysia yang diadakan di Istana Budaya baru-baru ini, banyak agenda dan cadangan yang diketengah terutamanya untuk membela nasib penggiat seni yang selama ini dipandang sepi bukan sahaja masyarakat tetapi juga pihak kerajaan.
Pengerusi Mahkota, Datuk. A Rahman Hassan menjelaskan, terbitnya buku tersebut bukanlah untuk menyalahkan sesiapa tetapi ia adalah hasil pembentangan, pengupasan dan perbahasan semasa kongres berlangsung.
"Semua yang terkandung dalam buku ini adalah hasil pemerhatian dan kajian daripada masalah yang begitu lama membelanggu nasib orang seni.
"Dengan adanya buku ini lebih mudah untuk pihak yang berwajib menjalankan tugas mereka kerana kita telah menyenaraikan cadangan untuk penambahbaikan pada setiap masalah yang dihadapi.
"Bukan itu sahaja, ia juga sebagai bahan rujukan untuk pembuat dasar, kalangan sarjana, pelajar, pihak media dan pihak-pihak yang ada kepentingan dan kaitan dalam bidang ini," jelasnya.
Tambahnya lagi, buku tersebut menumpukan kepada empat bidang utama dalam industri hiburan iaitu perfileman, muzik (kontemporari dan tradisonal), media massa (cetak, radio, televisyen dan media baru) dan seni persembahan (teater dan tarian).
Boleh dikatakan hampir semua bidang seni di Malaysia berdiri di atas kaki sendiri dan kerana itu mereka tiada tempat bergantung jika ada masalah melanda mereka.
"Industri seni saling memerlukan antara satu sama lain. Jika industri hiburan malap, macam mana penggiat seni nak cari makan. Kita harus ingat seni bukan sekadar sumber rezeki kepada mereka yang terlibat tetapi juga sebagai penyambung kepada warisan budaya," ujarnya.
Terdapat 26 resolusi kongres daripada empat bidang dan sebahagiannya menurut A. Rahman telah pun dihantar ke kementerian untuk diteliti.
"Kita menghantar dengan harapan dan saya mohon pada kementerian dan kerajaan supaya mengambil berat akan industri seni tempatan.
"Bukan tiada usaha dilakukan sebelum ini, sudah banyak tetapi biasanya hiburan pada mereka tidak penting walhal ia antara medium yang mampu mendidik rakyat," ulas beliau.
Ungkapnya lagi, perkembangan hiburan dan kesenian tanah air menjadi tidak tentu hala. Wujudnya unsur-unsur eksploitasi dan monopoli di kalangan individu atau sekumpulan orang yang cerdik dan berduit.
Oleh kerana itu, para penggiat dan pengamal seni tidak ada perlindungan, apatah lagi jaminan masa depan. Inilah yang terjadi kepada pelakon filem, pelakon pentas, pemuzik, penyanyi, penari, pelawak mahupun pengamal seni tradisi seperti bangsawan, wayang kulit, mak yong, mek ulong dan lain-lain.
Dalam erti kata lain, tiada perancangan khusus dalam membangunkan dan memajukan kegiatan hiburan dan kesenian yang lazimnya diguguskan di bawah payung kebudayaan.
"Walaupun banyak cadangan dan pelbagai usaha telah dijalankan namun, sampai ke hari ini saya masih belum bertemu dengan mana-mana penerbitan kementerian yang mentafsir secara jelas tentang tanggungjawab mereka dalam perkembangan kebudayaan dan kesenian.
"Pembangunan industri itu yang penting, sebab sekarang ini industri kita semakin hari semakin malap. Tiada orang berani nak labur buat album sebab tidak ada pulangan. Jadi hanya mereka yang berduit sahaja mampu lahirkan album.
"Orang yang berbakat tetapi tiada duit tiada peluang untuk berkarya. Kalau sebut cetak rompak sekarang ia sudah jadi perkara kedua kerana sejak berzaman masalah ini tidak selesai. Tekanan memang besar buat penggiat seni ditambah dengan teknologi moden yang memudahkan proses cetak rompak," terangnya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: