Tuesday, October 13, 2009

Realiti kemusnahan dalam filem


gempa bumi dan ombak besar merupakan realiti kemusnahan yang cuba diketengahkan menerusi Tsunami At Haeundae.


PERISTIWA gempa bumi di Padang, Sumatera, Indonesia dan tsunami yang melanda Samoa dua minggu lalu menjadikan filem ini seperti suatu amaran dan datang tepat pada masanya.

Tsunami mega pada 26 Disember 2004 yang melanda Aceh dan sebahagian besar pantai Asia di Lautan Hindi telah mengorbankan ratusan ribu orang dan apa yang berlaku di Samoa menjadikan tsunami satu daripada kemusnahan alam yang sangat menakutkan. Tsunami datang bersama gempa bumi.

Filem tentang kemusnahan besar bukanlah genre baru bagi sejarah filem. Genre kemusnahan sudah muncul seawal sejarah filem itu sendiri. Disebabkan filem tentang kemusnahan mega ini sudah mempunyai ciri genrenya sendiri, maka bentuk dan dasar filem ini sememangnya sudah dapat diduga oleh para penonton.

Pada dasarnya filem-filem dalam genre kemusnahan akan berkisar pada kemusnahan yang diakibatkan oleh alam semula jadi seperti gempa bumi, banjir dan tsunami; kemalangan besar seperti kebakaran bangunan tinggi, letupan kapal terbang; Kemusnahan bumi seperti pelanggaran komet; serangan makhluk asing, krisis nuklear yang membawa kesan kepada bumi; dan juga kegagalan teknologi yang memberikan impak kepada penduduk bumi.

Sungguhpun filem kemusnahan ini sudah berkembang selari dengan sejarah filem Hollywood, tetapi era kebangkitan filem kemusnahan yang membawa bentuk baru genre ini sebenarnya berkembang pada dekad 1970-an. Ia bermula dengan filem Airport (1970, George Seaton), diikuti oleh The Poseidon Advanture (1972, Ronald Neame), The Towering Inferno (1974, John Guillerman) dan Earthquake (1974, Mark Robson).

Ia kemudian turut memberikan definasi baru elemen kemusnahan dan ancaman yang menakutkan kepada genre ini seperti filem Jaws (1975, Steven Spielberg).

Jika sebelum ini filem-filem genre kemusnahan dikuasai oleh pembikin filem Amerika dan Jepun, maka apabila Korea turut menghasilkan filem genre ini, apakah Korea membawa pendekatan dan elemen baru sepertimana mereka lakukan kepada filem-filem genre seram?

Berbanding filem-filem kemusnahan yang dihasilkan pada dekad 1970-an, agen dan kesan kemusnahan yang spektakular untuk filem genre ini lebih mudah dilakukan dengan adanya teknologi digital imej janaan komputer (CGI).

Filem genre ini bukan sahaja perlu bersifat spektakular terutama pada aspek kemusnahan besar yang dibawanya tetapi untuk menghasilkan filem dalam genre ini turut melibatkan perbelanjaan yang besar.

Filem Tsunami At Haeundae arahan dan lakonlayar oleh Yoon Je-kyun ini merupakan antara filem Korea yang mempunyai budget paling tinggi (RM34 juta) dan dilabelkan sebagai filem genre kemusnahan terbesar pertama dalam sejarah filem Korea.

Untuk memastikan kesan khas yang menjadi elemen utama filem-filem genre ini, Tsunami At Haeundae menggunakan khidmat pengarah kesan khas Hans Uhlig yang pernah menyelaras untuk filem The Perfect Storm dan The Day After Tomorrow.

Tsunami At Haeundae mengambil kota peranginan Haeundae yang berada di selatan Korea dan dikunjungi oleh kira-kira sejuta orang setiap tahun sebagai latar utamanya.

Apa yang menjadi tumpuan filem seperti ini tentulah agen pemusnah besar iaitu ancaman besar tsunami yang membawa kemusnahan kepada seluruh kota Haeundae dan juga penduduknya.

Namun, plot filem ini digerakkan oleh sejumlah individu yang akan mempelihatkan sifat-sifat angkuh, lalai, sedia berkorban, dan tentunya nilai kasih sayang serta kemanusiaan.

Naratif Tsunami At Haeundae sebenarnya tidak lari daripada mengulangi stereotaip naratif, elemen panik dan kacau orang ramai yang hilang punca dan klise elemen komik ditengah ketegangan.

Ciri-ciri ini telah menjadi dasar naratif filem genre ini dari Amerika iaitu amaran dan ancaman kemusnahan serta sifat-sifat beberapa individu yang mencorakkan naratif filem ini.

Kim Hwi (Park Joong-hoon) seorang geologis yang telah mengesan kemungkinan tsunami besar akan melanda kota itu mewakili saintis yang mana amarannya dipandang sinis oleh ketuanya dan ahli politik yang hanya memikirkan aspek ekonomi.

Kim-hwi dan bekas isterinya akhirnya terkorban selepas berjaya menyelamatkan anak perempuan mereka, Man Sik (Seol Kyeong-gu) seorang nelayan di Haeundae yang mengalami kekecewaan akibat kehilangan rakan pelaut yang menyebabkannya tidak lagi ke laut.

Sebaliknya, dia membantu teman wanitanya Yeon He (Ha Ji-won) menjalankan perniagaan makanan laut. Dong Choon (Kim In-kwan) jiran Man sik yang lurus bendul memberikan elemen komik pada filem ini dan akhirnya muncul sebagai wira yang tidak diduga.

Bagaimanapun yang menjadi wira sebenar adalah Hyeong-sik (Lee Min-ki) adik kepada Man-sik yang merupakan seorang pengawal pantai yang sanggup berkorban diri untuk menyelamatkan seorang lelaki kawan teman wanitanya.

Sebuah filem tentang kemusnahan tidak bergantung sepenuhnya kepada elemen spektakular kemusnahannya sahaja untuk menguatkan elemen dramatiknya.

Namun, apakah kesan atau trauma yang dialami oleh individu tertentu dan pengajaran moral seperti pengorbanan serta usaha mengangkat semangat mereka yang tinggal daripada kemusnahan itu?

Serta sejauh mana keupayaan manusia dengan skilnya berhadapan ancaman alam seperti ini? Filem arahan Yoon Je-kyoon ini tidak membezakan antara bentuk kemusnahan di Barat atau Timur, juga sikap manusianya yang cekal, bersemangat dan sanggup berkorban disebalik sebuah kemusnahan.

Kepada penonton yang menjadikan mereka teruja menonton filem walaupun sudah menduga pengulangan sterotaip dan klisenya adalah kerana mereka sebenarnya secara fizikal selamat daripada trauma realiti ancaman tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: