![]() |
| PARA pelakon dan tenaga kerja Cinta Tikar Sejadah selepas pelancaran dan doa selamat drama bersiri itu di pejabat MIG di Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini. |
BAGI penerbit seperti David Teo, jumlah kutipan tiket filem-filemnya yang ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara menjadi penanda aras sama ada dia mampu mengaut keuntungan atau tidak bagi menghasilkan produk-produk yang seterusnya.
Sementara itu, bagi penerbit MIG Production Sdn. Bhd. (MIG) ini, drama-drama bersiri dan telemovie-telemovie yang diterbitkannya pula amat mengambil kira soal rating atau jumlah penonton yang menontonnya ketika ia ditayangkan di televisyen (TV).
Sehubungan itu, David percaya bahawa setiap penerbit, pengarah mahupun pelakon drama TV seharusnya berusaha keras bagi memastikan produk yang ingin mereka terbitkan mampu berdaya saing agar ia mampu menarik jumlah penonton seramai mungkin.
“Bagi saya, mana-mana rancangan TV yang tidak mendapat rating penonton yang tinggi, maka kita bolehlah menganggapnya sebagai ketinggalan zaman. Semua orang mesti berlumba-lumba untuk menarik perhatian para penonton termasuklah melalui produk yang berkualiti.
“Kita semua harus berusaha bagi mengangkat mutu dan sambutan produk drama TV kita ke suatu tahap yang lebih baik. Tidak kiralah melalui apa cara sekalipun,” katanya pada majlis pelancaran dan doa selamat drama bersiri terbaru MIG berjudul Cinta Tikar Sejadah di Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Menurut penerbit berasal dari Segamat, Johor ini beliau sentiasa berusaha mencari formula tertentu bagi memastikan setiap drama bersiri dan telemovie terbitannya bukan setakat mampu menarik perhatian para penonton tetapi juga di kalangan stesen-stesen TV.
Malah, David yang merupakan penerbit filem, drama dan telemovie Melayu juga sentiasa mencari jalan agar produk-produk yang dihasilkannya itu turut disaksikan oleh kalangan penonton bukan Melayu.
“Saya dapati drama-drama bersiri yang MIG terbitkan sekarang ini bukan sahaja ditonton oleh penonton Melayu tetapi hampir 25 peratus daripadanya juga ditonton oleh bukan Melayu. Inilah peningkatan atau rating yang saya mahukan.
![]() |
| David Teo |
“Ini adalah petanda yang positif bukan sahaja bagi saya sebagai penerbit, malah stesen TV yang menayangkan produk-produk saya itu. Contohnya, drama bersiri Mertua vs Menantu yang disiarkan di Astro Prima baru-baru ini mencatat rating 2.7 juta penonton.
“Disebabkan sambutan yang amat menggalakkan itu jugalah, maka Astro telah meminta MIG menyambung drama bersiri itu untuk musim yang kedua. Bagi saya, rating yang tinggi adalah kerana tarikan yang ada pada sesuatu drama itu termasuklah soal kualitinya,” ujarnya.
Kepercayaan stesen-stesen TV terhadap sambutan para penonton dan kualiti yang dihasilkan menerusi drama-drama terbitan MIG menyebabkan syarikat produksi itu menerima tawaran bagi menerbitkan lebih banyak produk-produk pada masa depan.
Astro Oasis merupakan antara saluran TV yang mula menaruh kepercayaan terhadap MIG apabila drama bersiri Cinta Tikar Sejadah yang mempunyai 13 episod telahpun memulakan penggambarannya sejak 9 Oktober lalu di sekitar Tanjong Karang, Selangor.
“Cinta Tikar Sejadah merupakan drama bersiri pertama terbitan MIG untuk siaran Astro Oasis. Ia antara lain kerana kejayaan kami sebelum ini menerbitkan filem Syurga Cinta yang mempunyai genre hampir sama dengan drama bersiri tersebut iaitu romantik komedi keagamaan.
“Genre itu amat sesuai diperbanyakkan apatah lagi dalam keadaan sekarang masyarakat kita banyak didedahkan dengan gejala-gejala sosial yang negetif terutamanya di kalangan generasi muda. Saya berharap dapat menerbitkan sekurang-kurangnya enam drama dalam genre sebegini dalam setahun,” katanya.
Hadir sama pada majlis itu ialah pengarah Cinta Tikar Sejadah, Azhari Zain dan para pelakonnya seperti Farid Kamil yang melakonkan watak Hazry, Fida Ibrahim (Siti Zulaikha), Bob Lokman (Haji Akhbar) dan Luqman Hakim (Cikgu Othman).
Sementara itu, Azhari selaku pengarah serta penulis skrip drama dengan durasi 30 minit setiap episod itu tidak menafikan hasrat MIG yang mahu menerbitkan lebih banyak drama bersiri genre romantik komedi keagamaan sesuatu yang positif kerana ia mudah menarik perhatian para penonton.
“Cinta Tikar Sejadah merupakan drama bersiri yang sarat dengan elemen kritikan sosial di dalamnya. Walaupun jalan ceritanya ringan tetapi elemen di sebaliknya iaitu unsur keagamaan sedikit sebanyak akan dapat dihayati oleh para penonton yang menontonnya kelak.
“Dalam hal ini, pendekatan kita bukannya mahu mengajar orang secara langsung tetapi secara tidak langsung apatah lagi menerusi bidang hiburan. Sekurang-kurangnya para penonton kelak akan memikirkan sedikit sebanyak mesej yang hendak disampaikan ketika mereka mahu melelapkan mata pada waktu malam,” jelasnya.
Drama terbaru arahan Azhari itu antara lain mengisahkan tentang Hazry seorang jejaka yang dibesarkan di Perancis sejak berusia enam tahun digambarkan melalui gaya kehidupan yang sosial dan kurang mengambil berat soal agama.
Sekembalinya ke tanah air, Hazry tinggal bersama datuknya, Haji Akhbar yang mengusahakan ladang kelapa sawit dan kebun tembikai di mana sewaktu di sana bermulalah suatu perubahan yang besar dalam dirinya.
Sungguhpun begitu, pada masa sama kepulangan Hazry adalah atas kemahuan ibunya, Salina yang mahu agar anaknya itu mendampingi Haji Akhbar supaya harta orang tua itu tidak jatuh ke tangan orang lain.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: