Saturday, October 17, 2009

Program holistik PikLife




"TAK sukalah. Aku buat trend sahaja, semua orang nak ikut," seloroh seorang teman pada satu malam, sambil mulutnya asyik mengunyah seketul ayam Kentucky Fried Chicken (KFC).

Dia tidak merujuk kepada vest berwarna hitam yang sering dipakainya ke pejabat. Sebaliknya, dia bercerita tentang perut buncitnya yang sudah agak jelas kelihatan.

Rakan saya itu nyata tidak keseorangan. Selain saya, seorang lagi rakan turut mengakui dan berasa kurang senang dengan keadaan tubuhnya yang seakan-akan sudah kembali kepada bentuk asal. Sebelum ini, dia antara yang paling rajin pergi bersenam di gimnasium. Namun, semuanya terhenti apabila Ramadan tiba.

"Macam mana tak gemuk semula, celik mata terus makan nasi kandar. Bukan satu bungkus, sekali makan tiga pula tu," katanya yang berasal dari Pulau Pinang.

Biarpun begitu, dia tidak keberatan untuk menemani saya ke kantin. Menunya pada hari itu, cuma mihun sup. Tidak terlalu mengeyangkan, tidak berminyak dan kurang lemak, katanya.

Bukan sedikit yang mengeluh kerana berat badan kembali naik secara mendadak selepas menyambut Syawal. Hilang sudah diet sementara yang dilakukan pada bulan puasa. Harus diakui bahawa bukan mudah untuk menyekat nafsu makan ketika menghadiri rumah-rumah terbuka yang menyediakan pelbagai juadah enak.

Justeru, kepada yang masih bingung untuk memilih cara terbaik untuk menguruskan badan, apa kata anda mencuba program PikLife yang ditawarkan oleh pusat kecergasan Celebrity Fitness.


DAPATKAN manfaat program PikLife di pusat kecergasan Celebrity Fitness.


Ia merupakan kerjasama antara pihak PikLife dan Celebrity Fitness. Sebenarnya, program itu mengetengahkan pendekatan holistik dalam aspek pengurusan berat badan. Di samping itu, ia mempromosikan kesihatan tubuh secara keseluruhannya.

Berasal dari Australia, program PikLife bukan sekadar satu bentuk diet untuk mengurangkan lemak di badan. Tetapi ia melibatkan program seperti merancang pemakanan, menggalakkan senaman, mengekalkan sokongan secara personal serta mengajar teknik-teknik untuk menjadi lebih relaks.

Program yang berlangsung selama 12 bulan itu mengenakan caj sekitar RM3,999. Mungkin kedengaran sedikit mahal, namun manfaat yang diperoleh pastinya berbaloi dengan pelaburan yang anda buat itu.

Pengasas program PikLife, Dr. Gary Jackson memberitahu, program tersebut dibangun berdasarkan penyelidikan saintifik dan perubatan. PikLife memberi penekanan terhadap interaksi antara hormon-hormon, kesannya dan bagaimana lemak disimpan serta digunakan oleh tubuh.

"Impak program yang disokong oleh keputusan klinikal ini mampu diperoleh selepas tempoh setahun. PikLife cukup sesuai buat mereka yang mahu meningkatkan tahap kesihatan dan menguruskan badan.

"Tidak perlu bimbang tentang kepelbagaian budaya dan diet. Kami akan mereka bentuk program untuk disesuaikan dengan keperluan klien yang datang dari semua peringkat umur," kata Gary sewaktu ditemui pada majlis pelancaran Program PikLife di Celebrity Fitness di pusat beli-belah 1 Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Gary memberitahu, program PikLife telah dijalankan di Indonesia. Justeru, katanya, masyarakat Malaysia boleh menerimanya dengan tangan terbuka. Gary memuji usaha kerajaan dalam mempromosikan gaya hidup sihat. Namun, baginya kesedaran dalaman individu adalah lebih penting.

Tidak perlu bimbang dengan keberkesanannya kerana semua peserta yang menyertai program PikLife berjaya mengurangkan berat badan mereka.


WANITA dilihat lebih bersungguh-sungguh untuk menguruskan badan berbanding kaum lelaki.


"Tugas kami adalah memastikan semua peserta mampu mencapai berat badan yang diingini," tambahnya.

Pengarah Urusan Celebrity Fitness, Choi KwangHo menyatakan, program itu telah dilaksanakan di rangkaian pusat kecergasan terkemuka di Amerika Syarikat (AS).

Pusat kecergasan itu nyata berbesar hati kerana boleh bekerjasama dalam menyediakan program PikLife. Ini kerana kedua-dua pihak berkongsi matlamat yang sama iaitu menawarkan gaya hidup sihat dan menyeluruh kepada semua pihak.

"Kami tidak mahu klien mengambil pendekatan diet secara mendadak. Sebaliknya, apa yang lebih penting bagi mereka adalah bagaimana untuk mengimbangi senaman, diet dan mengamalkan gaya hidup sihat.

"Menerusi sinergi ini, Celebrity Fitness menawarkan ahli-ahli dengan program baru, selain daripada senaman biasa di gimnasium," jelas KwangHo sambil memberitahu walaupun Celebrity Fitness tidak mempunyai jurulatih khas untuk program itu, namun jurulatih yang sedia ada akan menyokong program itu sewajarnya.

Program PikLife turut dibangunkan untuk mereka yang mengalami masalah kesihatan. Golongan itu biasanya tidak digalakkan mengambil produk-produk menguruskan badan. Justeru, ia sesuai diaplikasikan oleh penghidap diabetes, sakit jantung dan mempunyai kadar kolestrol yang tinggi.

Menurutnya, para peserta program PikLife perlu menjalani siri ujian darah. Berasaskan kepada keputusan ujian darah, program PikLife yang terperinci akan direka bentuk. Pelan pemakanan personal dibangunkan dan dimasukkan sekali dalam pakej latihan.

Para perunding program PikLife kemudiannya akan memberi panduan kepada klien bagaimana untuk mengikutinya. Setiap minggu, perkembangan akan direkodkan ke dalam laman web PikLife.

Bukan itu sahaja, klien akan menerima buku Better Body Better Health yang mengandungi informasi berguna. Antaranya adalah program senaman terkini, maklumat tentang kalori, lemak, karbohidrat, protein, pelan pemakanan dan sebagainya.

Mereka juga diberi lima keping cakera padat panduan yang membantu mengurangkan tekanan. Terdapat juga pilihan cakera padat bagi mereka yang kurang berminat untuk menonton video panduan mengenai program tersebut.

Menyentuh tentang pelan pemakanan pula, program PikLife tidak percaya kepada produk-produk gantian makanan. Sebaliknya, klien dinasihatkan supaya mengambil makanan setiap hari sebagaimana yang telah ditetapkan. Makanan yang disarankan itu mengandungi nutrisi dan kalori seimbang.


GARY sewaktu menerangkan program PikLife kepada tetamu yang hadir.


Selepas itu, program PikLife mencadangkan suplemen yang boleh dibeli di farmasi atau pasar raya. Ini kerana ia percaya seseorang tidak akan dapat semua nutrien daripada makanan semata-mata.

Akhirnya, dengan bantuan dan seliaan jurulatih Celebrity Fitness, klien dilatih dengan senaman yang sesuai.

Berdasarkan hasil kajian PikLife, kebanyakan individu cenderung untuk menjadi semakin gemuk. Di beberapa buah negara, dianggarkan 70 peratus lelaki dewasa dan 60 peratus wanita dewasa mempunyai berat badan berlebihan. Sementara itu, satu daripada empat orang kanak-kanak turut mengalami masalah yang sama.

Daripada angka tersebut, 78 peratus wanita dan 40 peratus lelaki cuba untuk menguruskan badan dengan menggunakan pendekatan berdiet. Semua orang tahu bahawa obesiti meningkatkan risiko seseorang untuk menghidap diabetes, sakit jantung, strok, kanser dan banyak lagi.

"Kami berharap boleh menarik lebih ramai individu untuk menyertainya. Lagi pun, kami menerima banyak maklum balas daripada ahli yang berminat mengenainya," kata KwangHo.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: