Baik hospital kerajaan mahupun hospital swasta, masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri dalam memberi layanan kepada wanita yang bakal melahirkan anak.

"NANTI nak bersalin di hospital mana?". Ini soalan yang sering diajukan kepada wanita yang sedang sarat mengandung.
Bagi mereka yang mampu, jawapan yang biasa diberikan ialah hospital atau pusat perubatan swasta. Layanan dan perkhidmatan yang agak istimewa mungkin antara alasan yang diberikan.
Meskipun terpaksa menanggung kos perubatan yang mahal apatah lagi bagi kes yang melibatkan komplikasi seperti bersalin secara pembedahan, masih ramai yang memilih institusi bersalin swasta.
"Ada ibu bapa yang mungkin bangga jika sijil kelahiran mencatatkan anak mereka dilahirkan di sebuah hospital swasta yang terkenal," kata Timbalan Pengarah Kesihatan Kelantan, Dr. Wan Mansor Hamzah kepada Bernama.
Melambangkan status
Menurut Wan Mansor, sikap sebegini seolah-olah menjadi satu ikutan kerana ia melambangkan status yang dimiliki ibu bapa berkenaan.
"Bersalin ialah satu proses semula jadi yang akan dilalui kebanyakan wanita. Tidak kira siapa wanita itu, apa pangkat atau kedudukan mereka. Semuanya melalui proses yang sama iaitu melahirkan anak.
"Soal bersalin di hospital kerajaan atau swasta bukan satu ukuran yang membandingkan hospital mana lebih baik kerana hospital kerajaan juga memiliki kemudahan dan peralatan yang sama atau pun lebih baik daripada hospital swasta," kata beliau.
Apa yang membezakan hanyalah mungkin tahap penjagaan, suasana dan kemudahan di hospital swasta yang lebih selesa selain daripada bilangan jururawat yang mencukupi jika dibandingkan dengan hospital awam yang agak sesak kerana bilangan pesakit yang ramai.
Meskipun jururawat di hospital awam mencukupi, bilangan pesakit yang lebih ramai menyebabkan layanan yang diberikan agak terhad, kata Wan Mansor.
Hospital kerajaan
Ada juga yang mendakwa perkhidmatan dan layanan yang diberikan kakitangan hospital kerajaan mengecewakan menyebabkan mereka beralih kepada hospital swasta meskipun terpaksa mengeluarkan bayaran yang tinggi.
"Jururawatnya ada yang garang dan marah kalau kita banyak bertanya. Sebenarnya pesakit ingin tahu secara lebih jelas tentang bersalin, apatah lagi pengalaman pertama menjadi ibu," kata Sarah Maliki, 29, seorang kakitangan awam.
Sarah yang melahirkan anak pertama di sebuah hospital awam dan kini mengandung anak kedua berkata, bukan layanan sangat istimewa yang diharapkan tetapi cukup sekadar layanan mesra yang sering digambarkan.
"Sebab itulah untuk kelahiran anak kedua ini saya pilih hospital swasta. Mereka mesra dan boleh bantu kurangkan rasa takut nak bersalin. Tidak apalah kalau mahal sedikit," katanya.
Wan Mansor berkata, memang tidak dapat dinafikan adakalanya doktor atau jururawat secara tidak sengaja meninggikan suara atau bersikap kurang mesra terhadap pesakit tetapi situasi sebegitu merupakan kes terpencil.

Lebih selesa
Menurutnya, doktor mahupun jururawat juga manusia biasa yang turut mengalami tekanan kerja apatah lagi di saat genting ketika menyambut kelahiran ramai bayi secara serentak.
"Kita tidak nafikan ada kes begitu tetapi tidak banyak dan ia melibatkan salah faham, kadangkala mereka penat sehingga kurang senyum dan nampak sombong tetapi itu bukan sebab utama kenapa masyarakat semakin ramai memilih bersalin di hospital swasta," katanya.
Beliau berkata, teknologi ICT, peranan media dan kewujudan sebegitu banyak hospital swasta kini menjadikan orang ramai semakin bijak atau cenderung menilai. Mereka membuat pilihan terhadap penyediaan perubatan yang diinginkan termasuk suasana persekitaran yang lebih selesa.
Seorang guru, Nik Zairiha Nik Hassan, 44, berkata, keselesaan yang ditawarkan di hospital swasta sebenarnya menjadi punca utama orang ramai memilih untuk bersalin di situ dan bukan semata-mata kerana perkhidmatan dan layanan yang didakwa mengecewakan di hospital kerajaan.
"Saya ada empat anak lelaki semuanya dilahirkan di hospital kerajaan, tak ada masalah dengan doktor atau jururawat. Cuma biasalah, berkongsi wad dengan ramai pesakit tetapi yang lain-lain tidak ada yang kurang pun," katanya.
Ikut kemampuan
Wan Mansor berkata, tiada halangan bagi bakal ibu bapa memilih mana-mana hospital untuk melahirkan anak masing-masing tetapi beliau mengingatkan supaya tidak begitu ghairah dalam soal ini.
"Buat pilihan ikut kemampuan, itu yang paling penting. Jangan nanti terpaksa menanggung hutang yang banyak hingga ribuan ringgit, bahkan pernah ada kes sampai terpaksa buat pinjaman peribadi semata-mata nak bayar kos bersalin. Lepas itu terseksa setiap bulan bayar hutang pinjaman," ujarnya.
Bagaimanapun bagi mereka yang inginkan suasana lebih selesa dan privasi, bersalin di hospital swasta ialah satu alternatif, berbanding hospital kerajaan yang wadnya menerima kemasukan ramai pesakit.
"Tetapi perlu diingat, bagi ibu-ibu yang kurang risiko memang tidak salah untuk bersalin di mana-mana hospital pun tetapi bagi ibu yang disahkan ada memiliki risiko, kita nasihatkan bersalin di hospital kerajaan kerana sebarang komplikasi yang terjadi pada ibu di saat waktu bersalin akhirnya akan dirujuk kepada hospital kerajaan juga," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: