Saturday, October 10, 2009

Presiden AS diumum pemenang Hadiah Nobel Keamanan


JAGLAND menunjukkan gambar Obama di Oslo semalam.


OSLO - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama yang baru memimpin AS kurang sembilan bulan diumumkan semalam oleh Jawatankuasa Nobel Norway sebagai pemenang anugerah Nobel Keamanan.

Bagaimanapun, beberapa pihak mengkritik pemilihannya sebagai pemenang termasuk pergerakan Taliban yang kini berperang dengan askar-askar AS di Afghanistan.

Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid berkata, Obama sepatutnya menerima Hadiah Nobel bagi meningkatkan keganasan dan membunuh orang awam.

"Kami tidak melihat sebarang perubahan berhubung strategi keamanannya," katanya.

Pemimpin kanan parti konservatif Jamaat-e-Islami di Pakistan, Liaqat Baluch berkata, tindakan penganjur Hadiah Nobel memalukan kerana Obama tidak melakukan sebarang perubahan untuk tujuan keamanan.

"Anugerah itu merupakan satu lawak jenaka. Apakah perubahan yang dilakukan oleh Obama untuk Iraq, Asia Barat atau Afghanistan," kata Liaqat.

Obama, 48, diumum pemenang Hadiah Nobel Keamanan 2009 dan akan menerima hadiah wang tunai AS$1.4 juta (RM4.75 juta).

Beliau akan menerima hadiah itu dalam satu majlis di sini pada 10 Disember depan.

Pengerusi Jawatankuasa Nobel, Thorbjoern Jagland menolak dakwaan bahawa kemenangan Obama itu terlalu awal untuk diberikan kepadanya.

Jawatankuasa itu sebaliknya memuji Obama kerana melakukan usaha luar biasa bagi mengukuhkan diplomasi antarabangsa dan kerjasama antara manusia.

Antara pemimpin dunia yang telah memenangi Hadiah Nobel Keamanan termasuk Nelson Mandela dari Afrika Selatan, bekas presiden Rusia, Mikhail Gorbachev dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan,

Obama ialah individu ketiga daripada Parti Demokrat yang memenangi Hadiah Nobel Keamanan selepas Al Gore pada 2007 dan Jimmy Carter pada 2002.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: