Wednesday, October 14, 2009

Populariti sari nama filem

Kemeriahan sambutan Deepavali dapat dirasai di sepanjang Jalan Lebuh Pasar di Pulau Pinang dengan kemunculan pelbagai gerai selain kedai kain dan aksesori sedia ada.


SARI bercorak penuh koleksi Kanthasamy yang boleh didapati di Anita Sarees Centre.


WALAUPUN sibuk melayan pelanggan yang tidak berputus-putus datang, pemilik kedai sari, Anita Sarees Centre, M.P. Alagarsamy, tidak keberatan melayan penulis dengan menunjukkan sebahagian koleksi terbaru sari yang menjadi buruan pelanggan.

Seperti tahun-tahun lalu, Alagarsamy yang berumur dalam lingkungan 50-an memberitahu, tahun ini fesyen sari didominasi oleh beberapa nama filem.

"Beberapa tahun dulu apabila industri filem Tamil, Tollywood menerima ramai pelakon wanita baru, sari-sari dinamakan bersempena nama mereka.

"Tetapi sejak dua tahun yang lepas kita dapat melihat trend di mana nama-nama sari dan aksesori diambil bersempena nama filem," katanya.

Sambil membentangkan dua jenis sari paling popular untuk tahun ini, Alagarsamy memberitahu, kedua-dua sari tersebut diambil sempena nama filem Kanthasamy lakonan pelakon seksi Shreya dan Ayan gandingan pelakon Surya dan Tamana.

"Sama ada pelakon wanita memakai sari yang sama dalam filem tersebut tidak menjadi masalah. Nama diberikan mengikut filem paling popular dan sari fesyen terbaru itu sahaja," kata Alagarsamy pada kebanyakan masa nama sari dan pelakon atau filem tiada kaitan langsung.


MASYARAKAT India mula membanjiri Lebuh Pasar untuk membeli-belah barang keperluan bagi membuat persiapan menyambut Hari Deepavali.


Golongan muda

Tambah beliau, memandangkan golongan muda-mudi sekarang lebih menggemari sari yang mempunyai kerja tangan seperti jemeki dan manik yang berkilauan, maka ia menjadi trend tahun ini.

Ujar Alagarsamy : "Semua sari sama ada Kanthasamy mahupun Ayan mempunyai kerja tangan jemeki dan manik, Cuma yang membezakannya ialah corak asal sari."




Apabila dilihat dengan teliti, sari Ayan lebih kosong dengan kerja manik dan jemeki yang berat di hujung manakala sari Kanthasamy pula mempunyai corak di seluruh sari dengan padanan jemeki serta manik yang seimbang.

"Semuanya bergantung kepada cita rasa pembeli," kata Alagarsamy yang turut tidak mengenepikan sari-sari tradisional lain yang masih menjadi pilihan khususnya wanita yang lebih dewasa.

Sari sutera, sutera Kashmir, Banares dan sebagainya adalah sari-sari tradisional pilihan sepanjang masa dan tidak terhad untuk sambutan Deepavali sahaja. Harganya juga lebih mahal dan persembahan sari yang meriah menjadikannya kurang diminati golongan muda.

Di Anita Sarees Centre, kesemua koleksi terkini sari Kanthasamy dan Ayan boleh didapati pada harga dari RM40 dan ke atas.

Bagaimana dengan kaum lelaki? "Bagi kaum lelaki, mereka mempunyai pilihan seperti kurtha pendek dan panjang, jippa, dhoti dan sarvaani.

"Bagi mereka yang mahukan koleksi yang ringkas dan murah, dan boleh dipakai ke mana-mana boleh memilih koleksi jippa Vijay yang menjadi pilihan semua orang termasuk kaum Melayu dan Cina," katanya.

Fesyen lelaki

Selain itu, mereka juga disajikan dengan pelbagai koleksi daripada biasa kepada meriah, kerja tenunan yang ringan kepada berat, bermanik dan material kain biasa kepada yang berkilauan.


CHOKKAR aksesori lengkap sari dan sut punjabi.


Bagi kaum wanita, aksesori adalah satu kemestian. Sambil menjemput ke kedai aksesori Anita Gold Coverin's di Lebuh Penang, Alagarsamy yang sudah berkecimpung dalam perniagaan ini sejak 30 tahun lalu berkata, tahun ini aksesori Joda Akhbar, filem Bollywood lakonan Hrithik Roshan dan Aiswarya Rai menjadi trend. "Ia agak mahal dan rekaannya agak meriah tetapi itu yang digemari pembeli," katanya kepada Kosmo!.

Selain itu terdapat aksesori lain pelbagai corak dan warna terdiri daripada anting-anting, subang, cincin, chokkar (rantai leher), gelang dan sebagainya. "Pembeli boleh membeli aksesori yang bersalut emas satu gram dengan jaminan selama setahun oleh kami atau aksesori mengikut warna pakaian mereka. Semuanya dijamin bermutu dengan harga berpatutan," katanya.

Anita Gold Covering's juga menawarkan barangan hiasan lain seperti tatu palsu, bindi (pelekat dahi), inai, manik penghias kening dan lain-lain lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: