
ROM - Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi semalam menyatakan beliau akan tampil dalam siaran televisyen dan di mahkamah bagi membuktikan tuduhan rasuah dan penipuan cukai yang dihadapinya merupakan tuduhan silap.
Beliau turut menegaskan akan terus memegang jawatan perdana menteri.
Berlusconi berhadapan dengan dua perbicaraan di Milan yang akan berlangsung selepas Mahkamah Perlembagaan kelmarin menyatakan perdana menteri itu tidak mempunyai imuniti ketika beliau masih memegang jawatan.
Keputusan mahkamah itu meningkatkan masalah Berlusconi yang sebelum ini berhadapan skandal seks dengan pelacur dan hubungannya bersama beberapa wanita muda.
Undang-undang kekebalan di Itali memberi imuniti kepada perdana menteri, presiden dan dua speaker daripada didakwa di mahkamah.
Mahkamah tertinggi di Itali itu memutuskan bahawa satu undang-undang yang memperuntukkan Berlusconi mempunyai kekebalan daripada didakwa semasa memegang jawatan perdana menteri didapati bertentangan dengan perlembagaan.
Pada minggu lalu, beribu-ribu pendudukl menyertai protes jalanan di Rom kerana terdapat percubaan untuk menyekat kebebasan akhbar.
Ia kemudian disusuli dengan keputusan sebuah mahkamah di Milan yang memerintahkan syarikat Fininvest yang dimiliki pemimpin itu membayar AS$1 bilion (RM3.4 bilion) kepada sebuah syarikat pesaing untuk satu kes pada 1990-an.
"Kedua-dua perbicaraan itu tidak munasabah. Ia adalah sandiwara yang akan saya terangkan kepada rakyat menerusi televisyen," kata Berlusconi.
Menurut Berlusconi, beliau menafikan cadangan untuk berundur manakala parti perikatan di parlimen memberi sokongan padu terhadapnya.
Berlusconi, 73, masih popular di Itali walaupun beliau di selubungi pelbagai dakwaan termasuk daripada isteri sendiri yang mengaitkannya dengan seorang model remaja belasan tahun.
Katanya, beliau bukan 'malaikat' dan menafikan pernah membayar mana-mana individu untuk melakukan hubungan seks atau menjalin hubungan haram.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: