Friday, October 9, 2009

Perhilitan aktif dalam konservasi hidupan liar


lANDAK kelihatan jinak diberi makan oleh Abdul Rasid Samsudin.


BEGITU antara bait-bait sajak Surat Dari Masyarakat Burung Kepada Datuk Bandar dan Balada Terbunuhnya Beringin tua di Pinggir Sebuah Bandar Raya,

petikan daripada sajak Sasterawan Negara Datuk Usman Awang yang menceritakan penuh duka masalah yang ditanggung kumpulan burung dan sepohon beringin kerana kerakusan manusia memusnahkan alam sekitar atas nama pembangunan.

Kemusnahan alam sekitar bererti tempat tinggal asal atau bahasa sainsnya dikenali sebagai habitat, sekali gus turut dirosakkan mengakibatkan spesies hidupan liar ini meninggalkan kehidupan mereka.

Selain diburu kerana nilai komersial, haiwan liar di hutan ini mati kerana dipisahkan dengan kehidupan asalnya, satu mala petaka yang akhirnya menyebabkan mereka pupus.

Justeru, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengambil inisiatif mewujudkan program pemuliharaannya sendiri bagi menyelamatkan haiwan ini daripada ancaman kepupusan.

Pupus bermakna jumlah akan berkurangan dan generasi akan datang tidak mungkin lagi mengenali apakah haiwan tersebut jika gambarnya ditunjukkan kepada mereka.

Mewujudkan zoo mungkin satu penyelesaian tetapi ia tidak dapat membantu secara terus untuk meningkatkan jumlah populasi mana-mana haiwan yang diancam kepupusan.

Bait-bait puisi itu bukan sekadar luahan rasa seorang seniman yang kecewa dengan kerosakan khazanah alam, tetapi ramai berkongsi pandangan bahawa program pemuliharaan haiwan liar perlu diperhebatkan.

Menyalahkan 'Datuk Bandar' sahaja adalah tidak adil. Oleh itu Perhilitan sebagai sebuah jabatan kerajaan memikul tanggungjawab tersebut.

Selain menjalankan kerja-kerja penguatkuasaan berdasarkan akta-akta berkaitan, Perhilitan yang terletak di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar juga menjalankan program pemuliharaan atau dikenali sebagai konservasi.

Salah satu program yang diperkenalkan jabatan tersebut ialah pembiakan komersial. Sehingga kini, tiga spesies hidupan liar dimasukkan dalam program tersebut iaitu pelanduk, seladang dan landak raya,

Program pembiakan komersial dilaksanakan bermula dengan spesies pelanduk (Tragulus javanicus).

Menerusi program itu, Perhilitan mengadakan program kerjasama dengan pihak Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Buat permulaan, spesies seladang telah dipilih dan lokasinya di Pusat Konservasi Hidupan Liar Jenderak, Pahang. Ini secara langsung akan menumpu kepada penambahan bilangan Seladang di dalam kurungan dengan kaedah-kaedah aplikasi pembiakan bioteknologi terkini.

Bagi landak raya (Hystrix brachyura), dua projek telah dimulakan bersama orang awam. Projek ini telah dimulakan pada awal tahun 2005 di Negeri Sembilan.

Sebuah lagi projek pembiakan landak raya dijalankan di Banting, Selangor.

Objektif utama program ini adalah untuk memastikan pertambahan yang tinggi bagi populasi hidupan liar di dalam kurungan yang boleh diperoleh melalui sistem pembiakan yang teratur dan aplikasi bioteknologi pembiakan terkini. Bagaimanapun, terdapat beberapa aspek aplikasi bioteknologi di dalam spesies ini yang perlu dikaji.

Walaupun keutamaan diberikan kepada pembiakan, dan skop genetik molekul, nilai-nilai tambah yang lain juga perlu dibangunkan bagi memperkukuhkan keperluan penggunaan spesies ini secara lestari.

Program pembiakan komersial ini juga telah mengambil kira kepentingan konservasi sesuatu spesies dan penggunaannya secara lestari.

Perhilitan juga mempunyai rezab hidupan liarnya sendiri untuk membangunkan dan mengurus program konservasi yang jumlahnya kini 13 buah.

Setiap rezab tersebut menempatkan spesies tertentu yang dikategorikan sebagai terancam dan perlu ditambah bilangannya. Pada masa sama, rezab-rezab berkenaan mempunyai pusat aktiviti untuk pendidikan dan kesedaran supaya pengunjung lebih menghargai haiwan liar.

Justeru, ia juga menjadi pusat rekreasi dan ekopelancongan dan selain menunjukkan bagaimana program pembiakabakaan dijalankan.

Salah satu elemen penting ialah Pengurusan Sumber Kepelbagaian Biologi yang mana aktiviti yang dijalankan bertujuan untuk memulihara kepelbagaian biologi in-situ di kawasan perlindungan.

Antara aktiviti utama yang dijalankan termasuklah merancang aktiviti pengayaan habitat dan sumber kepelbagaian biologi.

Salah satu rezab yang diwujudkan ialah Rezab Hidupan Liar Sungai Dusun, Selangor yang terletak berhampiran Kuala Kubu Baru atau kira-kira 120 kilometer ke utara ibu negara. Rezab Hidupan Liar Sungai Dusun ditubuhkan pada 1964 dengan keluasan 4,330 hektar.

Kawasan ini merupakan kawasan pertama yang dirizabkan untuk melindungi badak sumatera.

Rezab ini terdiri daripada hutan dikterokarp tanah pamah dan hutan paya gambut dengan puncak tertingginya 253 meter dari aras laut.

Rezab ini di kelilingi oleh Sungai Dusun di utara dan Sungai Tengi di selatan. Di sebelah baratnya pula terdapat terusan yang menghubungkan Sungai Tengi dan Sungai Bernam.

Di dalam Rezab ini juga terdapat pusat pembiakan ex-situ untuk spesies Hidupan Liar seperti tapir dengan laluan masuk melalui jalan utama ke Sungai Besar, Selangor. Pusat ini dikenali dengan nama Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun.

Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) Sungai Dusun ini siap sepenuhnya pada April 2000 dengan kos pembinaan sebanyak RM36 juta.

Tujuan asal pembinaan ialah bagi projek konservasi badak sumatera yang merupakan antara spesies yang diancam kepupusan di negara ini.

Pada tahun 2004, pusat konservasi ini tidak lagi menjalankan pemuliharaan badak sumatera tetapi tumpuan dijalankan terhadap projek konservasi tapir atau badak cipan (Tapirus indicus).

Sebagai permulaan tiga ekor badak cipan telah ditempatkan dalam kandang-kandang yang sedia ada. Pada Mac 2005, seekor anak badak cipan jantan telah dilahirkan.

Pada Mei dan Jun 2007, sepasang kembar anak badak cipan telah dilahirkan dalam bulan yang berasingan, daripada ibu yang sama di pusat ini.

Ia merupakan rekod pertama dunia yang bersejarah di PKHL Sungai Dusun. Ini kerana ia adalah anak kembar pertama spesies ini yang dilahirkan di dalam kurungan.

Sehingga kini, selain daripada badak cipan, spesies hidupan lain seperti buaya Julung-julung (Tomistoma schlegelii) dan , landak raya (Hystrix brachyura) juga dipelihara dan terlibat dalam program konservasi ex-situ di sini.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Perhilitan, Misliah Mohamad Basir, terdapat 153 ekor landak di pusat tersebut ketika ini untuk tujuan pembiakbaakan selain 12 ekor tapir atau badak cipan dan enam ekor buaya julung-julung.

Bagi spesies landak raya, ia dibiakkan untuk tujuan komersial yang mana penternak yang memohon anak sebagai baka akan diberikan kebenaran oleh Perhilitan.

''Mereka perlu mempunyai kemampuan menternak selain minat, sebelum di beri kebenaran," ujarnya semasa di temui di Rezab Konservasi Hidupan Liar di Sungai Dusun baru-baru ini.

Kaedah menternak secara komersial penting bagi meningkatkan populasi landak manakala Perhilitan membantu meningkatkan jumlahnya untuk dilepaskan ke dalam hutan.

Bagi tapir, ia hanya untuk program konservasi sahaja tanpa melibatkan aktiviti untuk tujuan komersial, sama seperti buaya julung-julung.

''Haiwan tersebut diselamatkan daripada berkeliaran kerana habitatnya diganggu atau mungkin tercedera dan dibawa ke pusat itu," katanya lagi.

Sementara itu menurut Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Rasid Samsudin, rezab seumpama itu penting bagi menyelamatkan haiwan liar daripada kepupusan.

''Dengan adanya rezab ini, kita biakkan semula spesies terpilih dan lepaskan semula ke dalam habitatnya,'' ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa mengambil tindakan yang sesuai dalam usaha mengelakkan haiwan liar daripada diancam kepupusan.

Sebagai sebuah negara membangun, Malaysia perlu mengadakan projek tertentu yang mungkin dianggap menjejaskan habitat haiwan liar tetapi pada masa sama, usaha konservasi perlu lakukan.

''Kita perlu seimbangkan pembangunan dengan konservasi dengan pengurusan habitat yang sesuai dan orang ramai perlu sama membantu ke arah itu," katanya sambil menambah bahawa undang-undang konservasi yang baru akan dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi bagi membolehkan sebarang hidupan liar akan terus dilindungi.

Ini bagi mengelakkan pengunjung luar yang datang ke negara ini tidak mengambil kesempatan membawa balik mana-mana spesies yang mereka temui dalam hutan.

Pada masa sama, satu pusat penempatan haiwan liar atau rescue center akan ditubuhkan di kawasan berhampiran rezab Sungai Dusun Dusun yang akan menempatkan mana-mana spesies yang dijumpai.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: