Thursday, October 8, 2009

Penyelamat tinggalkan Padang


BEBERAPA penduduk berdiri dekat kawasan tanah runtuh di Kampung Patamun, Padang Pariaman semalam.


PADANG - Semakin banyak pasukan penyelamat termasuk dari Korea Selatan, Singapura dan Britain bersiap sedia untuk meninggalkan Padang selepas peluang menemui mangsa yang masih hidup di bawah runtuhan bangunan-bangunan kini amat tipis.

Mereka berbuat demikian ketika para petugas bantuan berdepan kesukaran untuk sampai kepada mangsa-mangsa terselamat yang masih terputus bekalan makanan dan hilang tempat berlindung, selepas seminggu gempa bumi kuat bermagnitud 7.6 melanda wilayah Sumatera Barat.

Bantuan tiba mencurah-mencurah di sini sejak gempa bumi melanda pada 30 September lalu, tetapi kemusnahan besar selain hujan lebat dan kerosakan infrastruktur menyebabkan ia lambat tiba di kawasan-kawasan terjejas.

Helikopter merupakan satu-satunya kaedah pengangkutan paling mudah untuk sampai kepada komuniti-komuniti di beberapa kawasan berbukit dekat sini selepas gempa bumi itu mencetuskan tanah runtuh yang menimbus jalan-jalan raya.

"Saya kini tinggal di dalam khemah. Keluarga kami belum menerima sebarang bantuan. Saya kecewa dengan kerajaan tempatan. Saya melihat bantuan dihantar tetapi ia tidak berhenti di tempat kami," kata seorang mangsa tanah runtuh, Ardi, 31, yang tinggal di kampung Lubuk Laweh, dekat sini.


SEORANG penduduk tersenyum selepas dia menemui sehelai baju dari runtuhan sebuah bangunan di Padang semalam.


Bapa kepada empat anak itu kehilangan seorang anak perempuannya yang berumur lapan tahun dan seorang anak lelaki berumur empat tahun dalam kejadian tanah runtuh itu yang menimbus sebahagian besar kampung tersebut.

Kerja-kerja meruntuhkan sejumlah bangunan yang rosak teruk dengan menggunakan jentera berat tetap diteruskan di Padang iaitu sebuah bandar pelabuhan dengan 900,000 penduduk, di sebalik kebimbangan bahawa masih banyak mayat yang tertimbus di bawah runtuhan.

Angka rasmi kematian akibat gempa bumi itu yang dikeluarkan oleh kerajaan setakat ini kekal 704 orang dengan 295 masih hilang tetapi Menteri Kesihatan Indonesia, Siti Fadillah Supari berkata, jumlah itu dipercayai akan mencecah 3,000.

1 comment:

  1. RAHSIA MENJADI CANTIK DAN MENAWAN DALAM 3 MINIT. ANDA INGIN TAHU APAKAH RAHSIANYA ? LAYARI BLOG INI ATAU KLIK TULISAN BERWARNA BIRU DI ATAS :-

    http://cantikmenawan3minit.blogspot.com/

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: