![]() |
| |
LONDON - Seorang warga Britain, Gary McKinnon (gambar) yang dituduh menggodam sistem komputer tentera Amerika Syarikat (AS) gagal dalam usahanya untuk mengelak dihantar ke AS bagi menghadapi perbicaraan, kata peguamnya semalam.
McKinnon, 43, didakwa menceroboh berpuluh-puluh komputer milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Jabatan Pertahanan AS dan sejumlah cawangan tentera AS selepas serangan pengganas pada 11 September 2001 berlaku di negara itu.
Menurut McKinnon, dia menggodam komputer bagi mencari bukti kewujudan makhluk asing walaupun pendakwa raya menyatakan suspek meninggalkan nota di komputer tentera dengan mesej mengkritik dasar luar AS.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Britain membuat keputusan bahawa perintah ekstradisinya ke AS adalah sah di sisi undang-undang.
Bagaimanapun, peguam McKinnon, Karen Todner berkata, kes tersebut mungkin dikemukakan di Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah.
McKinnon yang merupakan pesakit autistik sebelum ini mengaku bersalah terhadap tuduhan menggodam komputer di Britain bagi mengelak dia diekstradisi ke AS.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: