![]() |
Muzikal yang sedang dipentaskan ini bukan sekadar teater untuk kanak-kanak
PEMENTASAN teater kanak-kanak sering kali mendapat sokongan padu daripada orang ramai. Pementasan seperti berjudul Siti Di Alam Fantasi, Ali Baba, Aladdin dan Sinbad antara yang mendapat sambutan hangat apabila ia dipersembahkan.
Ketika ini, teater Muzikal Gamat yang mempromosikan gaya hidup sihat, sayangkan alam sekitar dan kepentingan mendengar nasihat ibu bapa dipentaskan di Istana Budaya (IB) bermula 3 hingga 12 Oktober ini.
Bagi pelakon Gamat pula, teater muzikal itu menjadi medan terbaik untuk menonjolkan bakat lakonan di pentas yang berprestij berkenaan, dalam sebuah produksi yang dianggap cukup mencabar. Pada masa sama, ia memberikan pendedahan kepada bakat baru seperti Anith Aqilah, Muhammad Aidil Solehin Marhalim, Mazlan Mokhtar dan Eewen Teoh.
Masing-masing teruja menunggu tibanya masa tirai persembahan disingkap, ketika yang sama tidak menafikan sejuta debaran bersarang di dada. Maklum saja, Anith, Aidil, Mazlan dan Eewen bukan pelakon berpengalaman, apatah lagi apabila bercerita mengenai dunia teater. Muzikal Gamat hanyalah pengalaman sulung atau kedua buat empat bakat baru ini. Namun mereka tidak menjadikan kekurangan pengalaman sebagai penghalang untuk memberikan persembahan terbaik, apabila berada di pentas.
![]() |
| MAZLAN dan Eewen diberikan watak jahat. |
"Saya mencuba nasib menghadiri uji bakat Gamat tidak lama dulu kerana memang menyukai dunia teater. Sebelum ini, saya berasakan tidak reti (pandai) berlakon. Apabila penggiat teater, Rohaya Atan, menggalakkan untuk mencuba, maka saya memberanikan diri.
“Tidak sangka pula, saya dan Aidil yang diuji bakat secara pasangan, menarik perhatian mereka sehingga dua watak baru iaitu dua gamat yang bercinta diwujudkan," kata Anith.
Memegang watak bernama Gamat, Anith mengaku, latihan yang dijalaninya agak sukar, tetapi menjadi pengalaman itu cukup menyeronokkan bagi bekas peserta One In A Million musim ketiga ini.
"Apabila sudah mencuba sekali, rasanya tidak ada masalah untuk meneruskan minat dalam lakonan pentas. Berlakon teater memang lebih sukar tetapi ia lebih seronok daripada berlakon dalam drama televisyen," ujar pelajar tahun satu jurusan vokal di Akademi Seni, Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) ini.
![]() |
| ANITH (kanan) dan Aidil bercinta dalam Gamat. |
Pasangannya dalam teater berkenaan, Aidil, melahirkan kegembiraan apabila terpilih menjayakan teater arahan Zaifri Hussain itu kerana dia berpeluang untuk mengetengahkan bakat nyanyian dan lakonan, secara sekali gus.
Amat berpuas hati apabila diberikan watak seekor gamat, Aidil yang pernah menjayakan beberapa drama televisyen serta teater Mahsuri ini mengaku menggemari dunia nyanyian. Bahkan dia pernah menyertai uji bakat rancangan realiti Akademi Fantasia sehingga ke peringkat kedua. Lalu, kesempatan menonjolkan bakat nyanyiannya pada pementasan itu benar-benar membuatkan teruja.
Pemuda berusia 23 tahun ini juga berbangga dengan pemilihannya kerana difahamkan, pengarahnya agak berhati-hati dalam menentukan barisan pelakon untuk projek teater arahannya.
Bercerita mengenai sesi latihan pula, Mazlan atau lebih mesra disapa Lan saja, mengaku Zaifri seorang pengarah yang tidak suka pelakonnya menyimpan keupayaan sebenar sehinggalah tiba ke hari persembahan.
"Dia mahu melihat pelakonnya beraksi pada sesi latihan sebagaimana mereka berlakon pada persembahan sebenar. Dia ingin melihat sejauh mana kemampuan lakonan kita. Dari situ, dia boleh memperbaiki mana-mana kesilapan yang ada. Kita pun kenalah tunjukkan lakonan yang betul-betul, untuk memastikan segala-gala berjalan sempurna," ujar bekas peserta program Anak Wayang ini.
Mazlan yang membabitkan diri dalam lakonan teater di Pahang seawal tahun 2004 turut berkata, Gamat menjadi persembahannya cukup bermakna apabila ia muncul teater pertama lakonannya dipentaskan di IB.
Pelakon dan model sepenuh masa ini mengaku, lakonan teater dan televisyen tidak pernah dibeza-bezakan olehnya kerana dia percaya, kedua-dua bidang lakonan itu mempunyai kebaikannya tersendiri.
"Saya pasti memilih kedua-dua bidang lakonan, teater dan drama televisyen, kerana kedua-duanya sumber rezeki. Apatah lagi teater mampu menjadi medan terbaik untuk mengasah bakat sebagai pelakon, manakala kemunculan di televisyen memberikan ruang untuk kita memperkenalkan lagi nama kepada khalayak," kata Mazlan yang turut beraksi dalam Momok the Movie sebagai pelakon pembantu.
Bahasa Melayu semakin baik
SEMENTARA itu, seorang daripada dua pelakon Tionghua yang terbabit dalam Gamat, Eewen, menganggap peluang menjayakan teater muzikal kanak-kanak itu cukup berfaedah baginya apabila ia memberikan ruang untuk dia memperbaiki penggunaan bahasa Malaysia yang sudah agak lama ditinggalkan.
"Saya belajar di Taiwan selama empat tahun dan baru saja pulang ke negara ini pada Jun tahun lalu. Di sana, saya tidak sempat untuk bertutur bahasa kebangsaan kita, dek hakikat tiada pelajar Melayu di negara itu walaupun ramai juga pelajar Malaysia menuntut di sana.
"Jadi, pada awal-awal latihan dulu, saya berasa agak kekok dan banyak mendiamkan diri. Namun lama-kelamaan, komunikasi saya dalam bahasa Melayu semakin baik apabila bergaul dengan pelakon lain," kata wanita berasal dari Kedah ini.
Diberikan peranan sebagai obor-obor, Eewen sememangnya menyukai muzikal sejak kecil.
"Pembabitan saya dalam Gamat memang umpama jodoh yang tidak disangka-sangka. Saya pula menyukai muzikal. Lalu apabila saya terdengar iklan mengenai uji bakat teater ini di radio, saya terus mencari maklumat mengenainya.
“Saya juga calon terakhir yang diuji bakat bagi pementasan ini, Julai lalu. Sedar tak sedar, sudah dua bulan lebih kami berlatih," kata pemegang ijazah komunikasi ini yang juga ratu sorak sewaktu bergelar pelajar di Taiwan.
Selain empat pelakon ini, menceriakan lagi teater berkenaan ialah Amy Mastura, Zuhairi Ibrahim, Datin Natasha Hudson, Sarah Erwin, Aniza Jalal, Ellyna Ali dan puluhan pelakon lagi. Ia dipentaskan bermula 3 hingga 8 Oktober, dan disambung pada 11 dan 12 Oktober.



No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: