
BIARPUN baru empat tahun bersiaran, stesen radio Fly FM telah memperlihatkan peningkatan jumlah pendengar yang amat memberangsangkan di mana ia semakin meningkat pada setiap tahun.
Ketua Rangkaian Radio Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar menjelaskan, jumlah pendengar stesen radio itu telah meningkat sebanyak hampir empat kali ganda dan kini ia mencecah seramai 750,000 pendengar.
"Sewaktu mula-mula bersiaran, Fly FM hanya mempunyai sekitar 200,000 hingga 400,000 pendengar sahaja. Bagaimanapun jumlahnya meningkat setiap tahun sehingga empat kali ganda daripada jumlah pada tahun pertama ia beroperasi.
"Pada masa ini, jumlah pendengar Fly FM sudah mencecah 750,000 pendengar. Ia suatu prestasi yang cukup membanggakan walaupun baru empat tahun bersiaran," katanya kepada Hits ketika ditemui selepas pelancaran Konsert Fly FM's 4th. Fly-Niversary di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Konsert anjuran Fly FM dan ditaja oleh Magnum Corporation Sdn. Bhd., itu sempena ulang tahun ke-4 stesen radio itu akan diadakan percuma di Central Park Avenue, 1 Utama, Petaling Jaya, Selangor, dari pukul 4 petang hingga 12 malam.
Menurut Ahmad Izham, selain peningkatan bilangan penonton, Fly FM yang ke udara dalam bahasa Inggeris itu juga memperlihatkan pertambahan pendengar Melayu terutamanya di kawasan bandar-bandar utama.
"Walaupun Fly FM menggunakan medium bahasa Inggeris, tetapi 60 peratus hingga 70 peratus daripada pendengar stesen radio ini adalah golongan Melayu yang berusia 25 tahun ke bawah.
"Pada masa sama, stesen ini juga menyokong artis-artis tempatan terutama kumpulan pemuzik generasi baru dalam lagu-lagu yang disiarkan selain mengutamakan artis-artis antarabangsa. Kami utamakan muzik di mana celoteh para penyampainya adalah perkara kedua," ujarnya.
Jelasnya, Fly FM's 4th Fly-Niversary akan menampilkan artis-artis generasi baru tempatan seperti kumpulan One Buck Short, Yuna, Disagree, Caprice, Bittersweet, Bunkface, Estranged, Couple, James Baum, Shila, Faizal Tahir dan Joe Flizzow.
Konsert yang akan dianjurkan oleh Fly FM itu kata Ahmad Izham, merupakan salah satu penghargaan stesen radio tersebut buat para pendengar yang telah banyak menyokong sejak penubuhannya lagi.
"Kami dapati Fly FM mempunyai para pendengarnya yang setia. Setiap tahun ketika kami menganjurkan konsert seperti ini tidak kurang 10,000 peminat hadir meraikannya. Tahun ini kami harap jumlahnya juga akan bertambah.
"Untuk menghargai para peminat, Fly FM akan menyediakan sekitar 100 pas masuk percuma bertaraf VIP bagi para pendengar kami yang bertuah untuk menyaksikan konsert itu kelak.
"Dengan pas VIP itu, mereka berpeluang mendapat layanan istimewa termasuk makan, minum serta peluang bertemu artis-artis terbabit di belakang pentas secara eksklusif. Kami akan umumkan tentang pas VIP itu menerusi siaran di Fly FM kelak," katanya.
Ahmad Izham turut melahirkan rasa bangganya apabila satu lagi stesen radio di bawah Media Prima Berhad iaitu, Hot FM baru-baru ini diumumkan sebagai stesen radio nombor satu negara dengan mencecah 4 juta pendengar.
Hadir sama pada majlis pelancaran konsert itu ialah Ketua Operasi dan Pemasaran Magnum Corporation Sdn. Bhd., Seah Kok Leong dan Pengurus Pemasarannya, Suzanne Soo, para penyampai Fly FM serta artis-artis yang akan menjayakan konsert tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: