Kanageswari meluangkan masa kira-kira 10 jam sehari di restoran untuk mengendalikan segala urusan perniagaan. Bermula daripada memeriksa kualiti rasa makanan, kebersihan, layanan mesra pelanggan sehinggalah memeriksa harga secara rapi dan teliti.

HARI itu, telefon tidak berhenti berdering. Biasanya, deringan yang datang daripada kaunter restoran itu memberi isyarat bahawa ada bisnes yang masuk. Tetapi, lain pula halnya dengan panggilan telefon pada petang itu. Ia bukannya tempahan makanan, sebaliknya ucapan tahniah kemenangan.
Berpusu-pusu panggilan masuk sehingga juruwang yang selalu sibuk melayan gelagat pelanggan tak menang tangan menjawab setiap satu panggilan. Ada pemanggil dari Amerika Syarikat, Jerman, Britain dan New Zealand. Terdapat juga panggilan dari Turki, India, Brunei dan Singapura.
Keinginan menyampaikan pujian ikhlas itu tercetus disebabkan pemilik restoran itu akhirnya meraih kembali identitinya selepas disaman rangkaian restoran makanan segera terkemuka dunia, McDonald's sejak lapan tahun yang lalu. Sebelum ini, siapalah yang peduli akan kewujudan restoran yang terletak di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur itu. Tiba-tiba seluruh dunia seolah-olah mengenali sebuah restoran kecil, McCurry.
Tidak terhenti pada panggilan telefon sahaja, ucapan tahniah berlanjutan dengan kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) dan e-mel. Restoran itu juga menerima kunjungan luar biasa daripada warga kota yang ingin berkongsi kemenangan tersebut atau 'baru sedar' kewujudannya. Ini diikuti dengan kehadiran media tempatan dan antarabangsa untuk membuat liputan luas mengenai kejayaan itu.
"Hmm... tak tahu nak cakap apa. Macam baru sahaja bangun daripada satu mimpi yang indah. Memang sukar hendak menjelaskan perasaan ini. Rasa sangat gembira, teruja, lega dan puas hati. Tidak sangka perjuangan kami akhirnya mencapai matlamatnya.
"Bukan satu atau dua tahun. Tetapi lapan tahun, saya dan suami sabar menanti untuk mendengar berita baik ini," demikian luahan gembira pemilik bersama Restoran McCurry, Kanageswari Suppiah, 50, yang ditemui Kosmo! di restoran itu baru-baru ini.

Restoran India tempatan, McCurry telah mendapat kebenaran menggunakan huruf awalan 'Mc' pada papan tanda perniagaan yang sekian lama dimonopoli oleh McDonald's Corporation (McDonald's) pada awal September lalu. Keputusan Mahkamah Persekutuan negara ini sebulat suara menolak permohonan semakan bagi rayuan menghalang restoran itu menggunakan singkatan tersebut. Mahkamah turut memerintahkan McDonald's membayar kos RM10,000 kepada McCurry.
Kanageswari membuka kembali cerita lewat tahun 1996. Pada mulanya, restoran itu dinamakan Penang Curry House (KL) Sdn. Bhd. Ia merupakan satu-satunya restoran India layan diri di Jalan Ipoh. Walaupun ada gerai lain menawarkan masakan India tetapi ia tidak mengaplikasikan sistem layan diri.
Ketika itu, kerajaan sedang menggalakkan sistem layan diri sebagai langkah mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dalam industri makanan. Saranan itu bertepatan dengan pasaran semasa. Justeru, Kanageswari bersedia membuka restoran tersebut.
Dengan jumlah pelaburan kira-kira RM150,000, dia dan suaminya, AMSP. Suppiah, 55, membeli sebuah kedai di jalan berkenaan termasuk perkakasan perniagaan. Sungguhpun tiada pengalaman mengusahakan bisnes makanan, tetapi dengan bantuan rakan yang berpengalaman, mereka berjaya menguruskannya.

Apabila restoran mereka semakin dikenali ramai, pasangan suami isteri itu menukar namanya kepada McCurry Restaurant (KL) Sdn. Bhd. pada Julai 1998. Ia merupakan singkatan bagi Malaysian Chicken Curry. Restoran itu digemari warga kota kerana keenakan dan variasi hidangan kari ayamnya.
Namun, segala usaha gigih itu berkecai bagai cermin dihempas ke batu apabila McDonald's memfailkan saman terhadap mereka pada 6 Jun 2001, atas dakwaan 'Mc' adalah hak milik eksklusif McDonald's.
"Restoran ini adalah satu-satunya pencapaian hebat kami. Ini kerana, apabila ia beroperasi secara rasmi pada Februari 1999, dunia sedang dilanda kegawatan ekonomi dan pelbagai sektor menghadapi masalah kewangan sehingga banyak pengusaha terpaksa gulung tikar.
"Oleh kerana perniagaan restoran makanan lebih menjurus kepada urusan tunai maka kami nekad meneruskannya walaupun serba sedikit dapat merasai kesannya. Kami tetap mendapat keuntungan dan dapat menyara kehidupan keluarga. Tetapi, saman daripada McDonald's itu bukan sahaja memalit tanda hitam kepada perniagaan kami, malah mengurangkan kunjungan pelanggan," kata anak kelahiran Kluang, Johor itu.
![]() |
| PERKHIDMATAN layan diri yang diamalkan menjadi aspek tambah nilai restoran ini. |
![]() |
| |
![]() |
| ANEKA pilihan lauk yang lazat. |
Menurutnya, tempoh masa lapan tahun itu, satu perjalanan jauh yang penuh dengan suka dan duka. Kenalan pula bergurau sinis menyatakan bahawa sia-sia sahaja usaha menentang syarikat gergasi itu. Tanpa mempedulikan sindiran itu, mereka meneruskan perniagaan restoran walaupun kehilangan majoriti pelanggan yang berkunjung ke restoran itu gara-gara pertukaran nama.
Wanita yang bercita-cita tinggi itu tetap meluangkan kira-kira 10 jam sehari di restoran untuk mengendalikan segala urusan perniagaan. Bermula daripada memeriksa kualiti rasa makanan, kebersihan, layanan mesra pelanggan sehinggalah memeriksa harga secara rapi dan teliti. Ia bagi menarik lebih ramai pengunjung ke restoran yang beroperasi 24 jam sehari dengan dua syif itu.
Untuk menjaga kualiti rasa dan masakan, seorang chef yang mahir menyediakan pelbagai hidangan kari daripada ayam, kambing, nasi beriani, kari kepala ikan, tandoori ayam, roti nan dan lain-lain telah dilantik. Chef tersebut turut dibantu beberapa pekerja dalam menguruskan layanan para pelanggan dan persediaan makanan setiap hari.
Dalam kesibukan itu, sebagai ibu kepada Roshan Peri, 20, Dhivya Dhyana, 17, dan Lakshmi Priya, 14, Kanageswari masih mampu melayan kerenah mereka. Selain menghantar mereka ke kolej dan sekolah, Kanageswari meluangkan masa untuk mendengar segala luahan hati mereka bagi memberi sokongan dan dorongan kepada mereka dalam hal-hal sekolah dan kolej.
Bukan mudah menguruskan perniagaan yang sedang menghadapi kes mahkamah. Ada masanya, masalah perniagaan mengundang rasa tidak puas hati antara dia dan suaminya sehingga menimbulkan konflik dalam hubungan mereka. Bagaimanapun, dia berjaya menenangkan situasi tegang itu dan memberi sokongan kepada suaminya meneruskan perniagaan itu.
Lokasi restoran yang terletak berhampiran pusat bandar dan kawasan pejabat turut memberi peluang kepadanya mendapat pelanggan pelbagai kaum. Barisan masakan autentik India seperti 10 hingga 12 jenis menu ayam sinonim dengan namanya digemari warga tempatan. Selain hujung minggu, hari biasa restoran tersebut pasti dipenuhi pelanggan yang ingin menikmati sajian yang enak dan lazat.
Setelah lapan tahun menanti dan kemenangan dikecapi, ia menguatkan azam Kanageswari untuk membesarkan perniagaan dengan menawarkan francais McCurry.
"Pandangan seluruh dunia telah terarah ke restoran ini. Bagi membuktikan kredibiliti dan kelainan, saya perlu membuat pelbagai pembaharuan untuk mengharumkan lagi nama restoran di arena antarabangsa. Ini kerana, segala pujian yang diterima daripada orang ramai menyedarkan kami akan kekuatan McCurry.
"Berita kemenangan yang tersebar luas dalam kalangan rakan-rakan termasuk yang menetap di luar negara membuatkan saya tidak mampu menjawab panggilan telefon. Apa yang pasti, semua orang mengharapkan sesuatu daripada kami," ujar wanita itu yang juga merupakan Pengerusi MIC kawasan Seputeh sejak tahun 2000.
Namun, buat masa ini, dia hanya ingin menumpukan pasaran industri makanan tempatan. Katanya, perkhidmatan layan diri yang diamalkan turut menjadi aspek tambah nilai restoran itu kerana ia menjimatkan masa dan tenaga. Para pelanggan juga senang diuruskan.
Dari segi makanan, sudut makanan vegetarian diperkenalkan untuk menarik mereka yang mengamalkan diet tersebut. Dengan itu, orang ramai mempunyai banyak pilihan untuk menikmati masakan asli masyarakat India di situ pada harga berpatutan.
Apa yang nyata, kemenangan McCurry telah membuka lembaran baru buat para pengusaha tempatan yang ingin menggunakan nama singkatan Mc tersebut tanpa dibayangi keraguan.
Seorang pelanggan yang hanya mahu dikenali sebagai S. Narayanan berkata, dia menggemari kari ayam, kari ikan dan kari usus kambing McCurry kerana ia lebih sedap berbanding kebanyakan restoran lain yang pernah dikunjunginya di sekitar ibu kota. Dia juga makan di restoran itu setiap minggu sejak ia dibuka lapan tahun lalu. Harganya pula berpatutan dan makanan pun sedap.
"Saya suka masakan kari di sini. Kari yang dihidangkan sangat menyelerakan. Aroma kari membuatkan saya tidak sabar untuk menikmatinya," kata seorang ahli perniagaan yang baru pertama kali datang ke Restoran McCurry, V. Kesavan.



No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: